Muslimin yang dirahmati
Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan
melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di
dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadhan adalah antara bulan yang
ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam dan bulan ini mempunyai kelebihan
daripada bulan-bulan yang lain. Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah
Subhanahu Wata'ala kerana diberi peluang pada tahun ini untuk bertemu lagi di
bulan yang mulia ini. Sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan Ramadhan adalah
bulan ibadah. Di bulan ini merupakan peluang untuk melipat gandakan lagi amal
ibadah kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala sama ada amalan-amalan fardhu dan
sunat. Maka amat beruntunglah orang-orang yang merebut ganjaran yang telah
dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan amatlah rugi bagi mereka yang
mensia-siakannya.
Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam, daripada Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Setiap amalan kebaikan yang dilakukan
oleh anak Adam akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus
kali ganda. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman yang tafsirnya: Kecuali amalan
puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu, Aku sendiri yang akan membalasnya.
Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang
berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu ketika dia berbuka dan ketika
berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah
lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. {Riwayat Imam Muslim}.
Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan waktu
terbaik untuk kita mendidik diri kita ke arah kebaikan kerana pada bulan ini
kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan
kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Antara amalan-amalan
sunat yang dianjurkan untuk dilakukan disepanjang bulan Ramadhan adalah:
Pertama: Bersahur. Ulamak sepakat
mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat. Sahur bukan sahaja memberikan
tenaga untuk kita berpuasa di siang hari malah ia juga mengandungi keberkatan. Bersahur
merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut
agama lain. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:
عن عمرو بن
العاص قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فصل ما بينصيامنا وصيام أهل الكتاب
أكتاب أكلة السحر {رواه إمام مسلم}
Maksudnya:
Daripada Amru bin Asd
berkata: Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam)
dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur.
Kedua: Memperbanyakkan amalan sedekah,
tidak kira kecil atau besar, banyak atau sedikit adalah sangat digalakkan dalam
Islam terutama sekali dalam bulan Ramadhan kerana dengan bersedekah dapat
meringankan beban mana-mana anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan
bantuan.
Ketiga: Sembahyang sunat Terawih secara
berjemaah di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat kerana
sesungguhnya barangsiapa yang menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan
memperbanyakkan sembahyang sunat kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada
Allah Subhanahu Wata'ala akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sebagaimana
sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam
bersabda: Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam Ramadhan kerana iman
dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah
lalu. {Riwayat Imam Bukhari}
Keempat: Sembahyang sunat Witir, jangan
sekali-kali meninggalkan sembahyang sunat Witir kerana ia merupakan sembahyang
sunat Muaakad (sunat yang dituntut) yang mengiringi sembahyang sunat Terawih. Sembahyang
Witir bukan hanya dikhususkan di bulan Ramadhan sahaja bahkan sunat didirikan
pada setiap malam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:
عن على بن
أبى طالب أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إن الله يحب الوتر فأوتروا يا أهل
القرآن {رواه الإمام الترمذى}
Maksudnya:
Daripada Ali bin Ali
Talib, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya Allah itu
Tunggal, suka kepada yang ganjil, maka dirikan sembahyang Witir wahai ahli
Al-Qur’an (Wahai orang-orang yang beriman dengan Al-Qur’an).
Kelima: Membaca Al-Qur’an, bulan Ramadhan
merupakan bulan Al-Qur’an, oleh itu, perbanyakkanlah membaca Al-Qur’an pada
bulan Ramadhan setiap waktu sekurang-kurangnya satu juz setiap hari agar dapat
khatam Al-Qur’an sekali dalam bulan Ramadhan.
Keenam: Amalan memberi makan untuk berbuka
puasa (menyungkaikan). Selain daripada bersedekah, amalan memberi makan kepada
orang yang berpuasa atau menyungkaikan juga amat digalakkan. Sabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam:
عن زيد بن
خالد الجهني رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من فطر صائما
كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيء {رواه إمام الترمذى}
Maksudnya:
Daripada Zaid bin
Khalidil Jahni Radiallahu Anhu berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:
Sesiapa memberi makan orang-orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti
orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu
sedikit pun juga.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam bulan Ramadhan ini, lazimkan lidah
kita dengan zikir dan selawat. Hiasilah pandangan mata kita dengan merenung dan
membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Pada malamnya pula, usahakanlah agar kita tidak
meninggalkan sembahyang sunat Terawih, Witir dan Tahajjud. Jadikanlah bulan
Ramadhan sebagai penggerak yang membawa kepada perubahan yang besar dalam diri
kita dan mampu mendidik hati dan jiwa kita untuk sentiasa patuh mengerjakan
segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah
Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan ibadah puasa kita kerjakan sepanjang bulan
Ramadhan ini diterima dan mendapat ganjaran serta keredhaan daripada Allah
Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin
Surah Al-Isra’ ayat 19:
أعوذ بالله من
الشيطان الرجيم
وَمَنْ أَرَادَ الْءَاخِرَةَ
وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا
صدق الله العظيم
“Dan sesiapa yang menghendaki kebahagiaan
hidup akhirat dan berusaha mengerjakan amal kebajikan untuk tujuan itu dengan
usaha yang bersungguh-sungguh sedang dia beriman maka mereka itulah yang usaha
mereka dikurniakan ganjaran yang baik (diberi pahala)”