Muslimin yang dirahmati
Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan
melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di
dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang sempurna,
Islam bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadah seperti sembahyang, puasa,
menunaikan haji dan sebagainya. Malahan agama Islam juga menyuruh umatnya untuk
menjaga kesejahteraan hidup, berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama
lain. Oleh itu bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk
saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur antara satu dengan yang lain.
Menasihati dan menegur adalah perbuatan yang sangat baik dan dianjurkan dalam
Islam, sememangnya kita sebagai manusia perlu mendapat teguran supaya kita
menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri.
Perlu diingat, nasihat atau teguran yang
disampaikan perlulah dengan adab dan sopan. Kerana tanpa adab dan cara yang
betul, ia bukan sahaja akan menimbulkan salah faham bahkan akan menimbulkan
kemarahan orang yang ditegur dan menyebabkan terjadinya pertengkaran kerana
tidak semua orang boleh menerima nasihat dan teguran. Oleh itu, adab dan sopan
perlu seiring dalam menasihati, menegur dan memberikan pendapat. Niat kita
menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan dan bukannya bertujuan
untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk. Oleh itu cara
kita menegur mestilah berhemah, berhati-hati dan jangan sengaja mencari
kelemahan orang yang ditegur. Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassallam:
عن تميم
الداري : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة قلنا : لمن؟ قال : لله
ولكتابه ولرسوله ولائمة المسلمين وعامتهم. (رواه الإمام مسلم)
Maksudnya:
Daripada Tamim
Midari, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Agama itu nasihat.
Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitabNya,
kepada rasulNya, kepada para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara
umum.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Sesungguhnya setiap
nasihat atau teguran perlu diteliti dan dihalusi, orang yang menegur mestilah
dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga
mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kerana semua itu tidak akan
menyelesaikan mestilah, akan tetapi sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan. Ada
tatacara dan adab yang perlu kita ambil perhatian dalam menasihati dan menegur
dengan cara yang baik, antaranya ialah:
Pertama: Berilah
nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut, janganlah sesekali
kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa
yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk
mendedahkan aib orang. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Taha ayat 44:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا
لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
صدق الله العظيم
“Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang
lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan)”
Kedua: Elakkanlah dari menasihati dan
menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai, nasihati dan tegurlah
ketika dia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup, berilah
nasihat dan teguran dengan adab dan cermat bukannya dengan cara yang boleh
menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur.
Ketiga: Berilah nasihat dan teguran dengan
menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung
perasaan orang yang ditegur, berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai
agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan
akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi.
Keempat: Orang yang menasihati dan menegur
hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu
adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di
atas nasihat dan teguran yang diberikan. Apabila kita ingin menasihati dan
menegur seseorang, nasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita
ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli
keluarga kita ditegur.
Kelima: Sentiasa bersangka baik terhadap
orang yang kita nasihati dan tegur kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa
yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala
dalam Al-Hurujat ayat 12:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ
ءَامَنُوا۟ اجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ
صدق الله العظيم
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Budayakanlah amalan nasihat-menasihati dan
tegur-menegur dengan kata-kata yang lemah-lembut dan berbudi-bahasa. Berilah nasihat
dan teguran dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala
dan dengan cara yang penuh berhemah agar nasihat dan teguran dapat diterima
dengan hati yang terbuka. Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan
bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturrahim
antara kita. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan hidup
rukun damai, harmoni dan bersatu-padu dan semoga kita semua akan mendapat
keselamatan, kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah An-Nahl ayat 125:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ
بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلْهُم بِالَّتِى هِىَ أَحْسَنُ
ۚ
صدق الله العظيم
“Serulah ke jalan Tuhanmu Wahai Nabi
Muhammad dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”