Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Ke-13 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Tahun 1445H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KETIGA BELAS

KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN

TAHUN 1445H/2023M

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala,  kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir Ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan ketiga Belas pada pagi yang Mubarak ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Ucapan penghargaan juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik yang telah memberikan bimbingan dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Begitu juga kepada ahli keluarga di atas doa dan prihatin mereka, sehingga anak-anak berjaya.

Ilmu dan pengalaman yang diraih oleh para graduan adalah amanah untuk diamalkan dan dicurahkan kepada masyarakat.

Pendidikan bukanlah proses berkala, malah merupakan proses berterusan untuk sepanjang hayat.

Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah malah berterusan sehingga ke rumah atau ke mana sahaja.

Pendidikan sebenar, sepatutnya berlaku di rumah atau dalam keluarga. Kerana masa anak-anak adalah lebih banyak di rumah berbanding di sekolah.

Kerana itu, institusi keluarga mempunyai peranan penting dalam menyambung pembelajaran anak-anak di sekolah.

Sekarang, kita mendapati masyarakat secara umum telah dilanda oleh pelbagai isu sosial, kesan daripada penyalahgunaan media sosial atau medsos.

Ini, jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan kepada mental, akhlak dan pembaziran. Begitu juga boleh menyuburkan angan-angan fantasi yang jauh dari realiti.

Maka dalam hubungan ini, institusi keluarga berkewajipan untuk mengambil tahu segala aktiviti yang tidak sihat anak-anak, di dalam dan di luar rumah.

Di sini, pihak-pihak berwajib yang menangani teknologi maklumat dan komunikasi adalah dikehendaki untuk menggandakan usaha memantau dan mengawal laman sesawang, aplikasi dan permainan video atau media sosial yang boleh menjejaskan akidah, akhlak, kesihatan dan disiplin.

Beta sukacita mengambil maklum KUBU SB sentiasa mengemaskan kurikulum pengajiannya, tanpa mengabaikan objektif utama melahirkan para graduan yang bertakwa.

Beta juga sukacita mengetahui bahawa KUPU SB sentiasa berusaha untuk memantapkan program-program ko-kurikulumnya. Dan yang terbaharu, KUPU SB dengan kerjasama Jabatan hal Ehwal Masjid telah mula mengaturkan pelajar-pelajarnya untuk menyertai program Kepimpinan dan Pengimarahan Masjid di masjid-masjid yang bersesuaian.

Sehubungan itu, tentu pihak KUPU SB juga boleh memainkan peranan membimbing, bagaimana untuk memberikan kefahaman yang betul kepada generasi muda mengenai penggunaan media sosial dan sekali gus mengenai pengurusan masjid bagi para pegawai, imam, bilal, pelapis imam dan ahli jawatankuasa ta'mir masjid.

Pada hemat Beta, KUPU SB juga mempunyai potensi dalam melahirkan para guru yang bukan saja mendidik dalam Pengajian Islam, bahkan subjek-subjek umum yang lain juga. Dalam Majlis Konvokesyen Kesebelas 2021 yang lepas, Beta telah memperkenankan penubuhan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Rais, pegawai-pegawai utama dan ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas khidmat yang telah mereka sumbangkan kepada Allah jua.

Marilah kita terus berdoa, semoga KUPU SB sentiasa berada di landasan yang betul kerana Allah Subhanahu Wata'ala.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments