Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Bagi Tahun 1445H / 2023M

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD

SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

BAGI TAHUN 1445H / 2023M

 ​

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat lagi menyambut dan memperingati Maulud Nabi, Sayyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada tahun ini.

Sudah menjadi tradisi kita, bulan Rabi'ulawal dimeriahkan dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam di dalam majlis-majlis keugamaan, seperti di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat. Semuanya itu tidak lain dari menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Namun ungkapan cinta sahaja tidak cukup tanpa diiringi dengan perbuatan mentaati suruhan dan meninggalkan larangan.

Apabila kita mengikut perintah Rasul, tandanya kita mengasihi Baginda, sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali 'Imran ayat 31, tafsirnya:

“Katakan (Wahai Muhammad!): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Meskipun Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sudah tiada, namun Baginda meninggalkan pesanan-pesanan untuk dihayati dan ditaati. Jika semua ini dilakukan, pasti akan mengundang keberkahan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan juga untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Bercakap mengenai keluarga, bermakna kita merujuk kepada satu kelompok penting dalam masyarakat. Sesungguhnya keluarga bahagia menjadi asas dan matlamat pembangunan negara. Manakala keluarga bahagia, itulah jaminan untuk mendapatkan warisan insan yang berkualiti lagi beriman.

Kerana itu, memastikan setiap institusi keluarga berkeadaan sempurna lagi bahagia adalah tanggungjawab semua. Walaupun ramai yang berpuas hati menganggap keluarga masing-masing adalah baik-baik sahaja, namun kita juga masih patut bimbang kerana masih banyak berlaku permasalahan rumahtangga di dalam masyarakat kita di negara ini.

Beta difahamkan, statistik jumlah aduan rumahtangga secara keseluruhan yang dilaporkan ke Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bagi tiga tahun kebelakangan ini (antara tahun 2020 hingga 2022) adalah berjumlah 1,952 kes. Manakala jumlah aduan yang diterima antara bulan Januari hingga bulan Jun tahun ini sahaja berjumlah 384 kes.

Pada hemat beta, jumlah kes aduan yang semakin meningkat ini, tidak boleh dipandang ringan, melainkan memerlukan usaha mengatasinya. Maka ke arah itu Beta mengambil maklum, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi menangani perkara ini dengan mengadakan perkhidmatan Kursus Pra-Nikah bagi pasangan yang akan bernikah, Seminar Kekeluargaan dan Kursus Pasca Perkahwinan bagi pasangan yang sudah bernikah yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan. Bukan itu sahaja, Beta juga difahamkan, bermula tahun 2014, taklimat berkaitan kekeluargaan, sudah dilaksanakan kepada institusi-institusi pengajian kerajaan dan swasta. Namun, sehingga kini aduan isu permasalahan rumahtangga masih saja terus meningkat pada setiap tahun.

Beta berpandangan, pihak-pihak yang berkenaan perlulah lebih proaktif mengambil inisiatif menangani isu-isu permasalahan rumahtangga, dengan menanam  kesedaran awal akan akibat yang sangat buruk jika ianya tidak ditangani segera. Ia boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian keluarga, malah juga boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Para ibu bapa mesti terus memainkan peranan mengasuh dan mendidik anak-anak, termasuk ke atas mereka yang akan dan sudah mendirikan rumahtangga, masih sahaja perlu ditegur atau diingatkan bagaimana menjaga atau memelihara keutuhan keluarga yang dibina. Kerana nasihat atau peringatan daripada ibu bapa itu adalah sangat besar pengaruhnya, di samping mempunyai keberkatan tersendiri.

Oleh itu, bersempena memperingati Maulidur Rasul Shallallahu 'Alaihi Wasallam ini, marilah kita sama-sama berazam untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati, mengikut calak keluarga Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Semoga dengan azam ini, Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmatNya kepada semua keluarga, dari kalangan warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments