Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 Tahun 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

KALI KE-33 TAHUN 2023

 

PADA HARI SABTU:

7 RABIULAWAL 1445H / 23 SEPTEMBER 2023M


TEMPAT:

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dapat hadir bagi meraikan dan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 pada tahun ini.

Sambutan Hari Guru kali ini bertema: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan". Tema ini merujuk kepada peranan para guru selaku pengemudi dan pencetus kemajuan di masa hadapan. Kemajuan yang dimaksudkan lebih tertumpu kepada melahirkan insan-insan yang berilmu dan berkemahiran.

Untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti ini, tentu sahaja memerlukan para guru yang berkalibar dan inovasi. Oleh itu Beta penuh berharap, supaya Kementerian Pendidikan dan Kementerian hal Ehwal Ugama dapat terus menumpukan usaha bagi meningkatkan kualiti para guru melalui sokongan dasar dan program-program pembangunan kapasiti.

Ke arah ini, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama sama-sama memperkemaskan lagi dasar pendidikan negara. Maka sehubungan itu, Beta sukacita memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta Pendidikan  Wajib Penggal 211, yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah di negara ini iaitu dari enam (6) tahun kepada lima (5) tahun, untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak.

Menyentuh pula mengenai kepentingan kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik yakni STEAM, yang pernah Beta timbulkan sebelum ini, adalah tidak dapat disangkal lagi, bahawa kemahiran STEAM dapat meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif para pelajar, serta sekaligus dapat mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks.

Beta gembira mengetahui bahawa penekanan kemahiran STEAM bukan sahaja dilaksanakan dalam kurikulum biasa, malahan juga diintegrasikan dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum sekolah.

Bagi mengukuhkan lagi kemahiran ini, maka Beta juga telah memperkenankan bagi mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni dalam komponen STEAM dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras. Ini diharapkan akan dapat mendokong sistem pendidikan yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan mengikut perubahan dan perkembangan semasa.

Dari aspek inclusivity dan equality pendidikan, alhamdulillah Beta menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan dalam memeduli kesejahteraan dan pendidikan pelajar-pelajar berkeperluan khas. Dalam hal ini, Beta mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Khas pertama di negara ini. Penubuhan ini tidak syak lagi telah berjaya melakar satu lagi pencapaian dan sistem pendidikan negara, dan diharapkan ianya menjadi pemangkin kepada masyarakat secara umum untuk sama-sama memeduli kesejahteraan pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dengan perubahan dasar-dasar dan ekspektasi yang semakin besar terhadap tenaga pengajar, maka Beta berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak berkenaan meneliti dan memperkemaskan Skim Perkhidmatan Perguruan (SPG). Selain menambahbaik skop dan aliran kerja dalam pemilihan dan pengambilan guru, perlu juga pihak Kementerian mengkaji dan mengiktiraf tugas-tugas tambahan yang dipikul oleh para guru sebagai sebahagian komponen penting dalam proses penilaian. Selain dari memastikan kesejahteraan para guru, proses penelitian juga perlu mengekalkan kualiti guru-guru berkenaan.

Kita sama-sama berharap, bahawa apa jua perancangan berkaitan pendidikan, akan membawa lebih dekat kepada sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035. Dalam hal ini, Beta turut melihat peranan penting institusi pendidikan teknikal dan vokasional dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan tenaga manusia atau modal insan dengan memupuk dan mengembangkan kemahiran, kecenderungan, sikap, moral, nilai dan kreatif, ke arah melahirkan rakyat yang berdikari dan berguna.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini. Semoga segala usaha para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Beta juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga guru.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​


Attachments