TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI RAYA 'IDIL ADHA
TAHUN 1444H / 2023M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Alhamdulillah, kita dapat lagi menyambut 'Idil Adha yang mulia dalam suasana aman lagi sejahtera. Suasana aman adalah kurnia paling berharga, yang bukan semua tempat di dunia dapat menikmatinya. Oleh itu, marilah sama-sama kita memeliharanya dengan penuh tanggungjawab sambil bersyukur.
Selain kita memerlukan suasana aman, kita juga memerlukan keadaan selesa dan kesihatan. Maka untuk itu faktor-faktor alami adalah turut menjadi perhitungan.
Sekarang, berbangkit fenomena pemanasan global yang membawa impak besar kepada kehidupan, disamping juga tidak kurang merunsingkan ialah isu meningkatnya penyakit mental.
Perubahan iklim menurut kajian akan mengurangkan pengeluaran hasil tanaman di seluruh dunia, mempengaruhi dan menjejaskan kesejahteraan umat manusia.
Tahap pemanasan melampau boleh membawa kesan yang sangat buruk seperti kematian, penyakit kronik, kehilangan pendapatan dan kurang bekalan air serta makanan.
Sementara itu, turut menambahkan lagi kebimbangan ialah apabila baru-baru ini, sempena menyambut Hari kesihatan Mental Sedunia 2022, telah dianggarkan, bahawa beban kesihatan mental di peringkat global adalah semakin meningkat.
Di Negara Brunei Darussalam, pada tahun 2021 sahaja, sebanyak 1,515 individu telah diagnosis dengan anxiety disorder dan lebih dari 900 individu didapati mengalami depressive disorder.
Menurut kajian global, pandemik Covid-19 adalah menjadi penyebab meningkatnya tahap tekanan mental sehingga mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi, dianggarkan satu (1) dalam empat (4) individu mengalami masalah mental.
Maka beta melihat, kedua-dua isu: Pemanasan Global dan meningkatnya penyakit mental, perlulah sama-sama diberi perhatian mendalam oleh semua pihak.
Pihak berwajib hendaklah menyediakan garis panduan dan nasihat, bagaimana cara untuk menghadapi fenomena ini dan apa cara atau terapi untuk mengelak dan mengubati penyakit mental.
Beta melihat, dua fenomena ini harus dihadapi dan ditangani seperti kita menghadapi dan menangani Covid-19, kerana semua itu adalah sama sahaja berstatus 'musibah'. Kalau Covid-19 kita hadapi dengan SOP saintifik dan vaksin ketuhanan, mengapa terhadap dua fenomena ini tidak boleh dilakukan demikian?
Tetapi soalnya, kita memerlukan inisiatif bersama pihak-pihak yang berkenaan. Misalnya mengenai gejala mental, Beta telahpun mengikuti dan membaca dua ceramah utama oleh pihak kesihatan dan pihak ugama, dimana kedua-duanya mengemukakan pendekatan berbeza tetapi sama-sama mempunyai nilai signifikan yang boleh dijelmakan menjadi tindakan bersepadu mengenainya. Tetapi belum ada kedengaran usaha ke arah itu.
Pendekatan pihak ugama melihat, bahawa penyakit mental itu pangkalannya ialah 'di hati', dan penyakit hati pula menurut al-Qur'an ubatnya ialah 'zikir'. Pendekatan ini pada hemat beta amatlah menyuntik untuk difikirkan sebagai salah satu jenis rawatan di pusat-pusat perubatan. Pihak-pihak berkenaan Kesihatan dan Ugama sangat elok untuk menunduki perkara ini bersama-sama.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mengenai fenomena pemanasan, kita di negara ini patut sama-sama peka untuk sentiasa berhati-hati, kerana cuaca yang sangat panas boleh membawa kesan buruk kepada tubuh badan, seperti contohnya boleh membawa kepada “strok haba".
Oleh hal yang demikian, langkah terpenting ialah mematuhi segala garis panduan kesihatan seperti antaranya, meminum banyak air tanpa perlu menunggu sehingga dahaga, membatasi aktiviti luaran dan memakai pakaian yang bersesuaian dan sebagainya.
Kerana pemanasan melampau juga adalah satu musibah, maka kita orang-orang Islam janganlah lupa untuk membanyakkan do'a dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan memohon supaya kita dan negara diberikan perlindungan oleh Allah daripada kesan pemanasan yang membahayakan itu.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Beta juga berharap, supaya para jema'ah haji kita di Tanah Suci akan bersama-sama mengambil ingatan bagi melindungi diri masing-masing daripada kesan pemanasan melampau yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala di sepanjang kerja-kerja haji, serta juga akan beroleh haji yang mabrur. Amin.
Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Adha al-Mubarak kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.