Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Jordan

​TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT

DAN PENDUDUK SERTA PENUNTUT NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

YANG BERADA DI JORDAN


PADA:

1 JUN 2023

 

TEMPAT:

HOTEL INTERCONTINENTAL, AMMAN, JORDAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil  'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'  Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa  Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana  dapat bersua muka dengan rakyat dan penduduk serta para pelajar Negara  Brunei Darussalam yang sedang berada di sini masa ini.
Beta  gembira dengan peluang ini, yang membolehkan Beta mengetahui keadaan  sekalian yang hadhir, khasnya para pelajar yang sedang meneruskan  pengajian mereka di sini.
Beta  mendapat tahu, bilangan pelajar kita yang ada, cuma dalam lingkungan  belasan orang sahaja. Namun bilangan yang kecil ini sangat bermakna  kepada negara.
Beta  menyifatkan mereka adalah bertaraf 'duta' kepada negara, untuk  menjalinkan hubungan mesra diantara Negara Brunei Darussalam dan Negara  Jordan.
Di  sini, siapa yang mengenali para pelajar kita, dengan sendirinya adalah  mengenali Brunei. Jika elok mereka, maka eloklah Brunei. Begitu juga  sebaliknya, kalau buruk mereka, maka buruklah Brunei.
Oleh itu, Beta berpesan, supaya para pelajar mengutamakan akhlak yang baik, dengan ugama pula menjadi pegangan yang kuat.
Semua  kita mesti ingat, bahawa di era globalisasi ini, terlalu banyak anasir  yang bergiat untuk membawa kepada keburukan. Ia ada di mana-mana, bahkan  mungkin ada di dalam rumah kita, atau sepejabat dengan kita, atau  sekuliah dengan kita, atau di mana sahaja, sedang mereka itu, tidak  mudah untuk dikenali, kecuali kalau ada petunjuk dan pertolongan  daripada Allah, maka barulah kita akan terselamat daripada kejahatan  mereka.
Maka  untuk mendapatkan keselamatan itu, kita seyugia dikehendaki untuk  memenuhi persyaratan ta'at kepada Allah, sebagaimana firmanNya yang  menjanjikan perkara itu dalam Surah A-Talaq, Ayat 2, tafsirnya: “Dan  siapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan  menjauhi segala laranganNya) nescaya Allah akan menyediakan untuknya  jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya)."
Jadi  Beta berharap, para pelajar akan memenuhi persyaratan ini, demi untuk  memperolehi jalan keluar, terhindar daripada segala kesusahan.
Dengan  beroleh keselamatan dan terhindar dari kesusahan, para pelajar sudah  tentu akan lebih mudah untuk mencapai kejayaan dalam pengajian, sebagai  anugerah, atau balasan dari keta'atan mereka.
Beta  sesungguhnya sentiasa menginginkan kejayaan para pelajar, kerana mereka  sangat diperlukan oleh negara sebagai agen pembangunan yang berkesan,  sama ada pembangunan kebendaan mahupun pembangunan di bidang kerohanian.
Ingatlah,  di hadapan para pelajar adalah masa depan yang serba sukar. Maka kerana  itu, kita sangat memerlukan sumber tenaga manusia yang hebat untuk  menghadapinya.
Dari manakah kita boleh mendapat sumber tenaga yang demikian itu? Tentu sahaja dari pusat-pusat pengajian tinggi yang diiktiraf.
Maka  dalam hubungan ini, tidak diragukan lagi, para pelajar sekalian adalah  orang-orang yang beruntung kerana berpeluang untuk menjadi pelajar di  pusat-pusat pengajian yang dimaksudkan itu.
Dengan  berpeluang menjadi pelajar, maka akan berpeluang pula untuk menjadi  pemimpin di masa hadapan. Oleh itu, janganlah sia­siakan peluang ini,  kerana peluang, biasanya hanya sekali sahaja.
Akhirnya,  Beta berdo'a, semoga semua pelajar, keluarga dan pegawai-pegawai yang  bertugas di sini akan sentiasa berada dalam sejahtera, sihat 'afiat dan  maju jaya. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Attachments