Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-62 Tahun

​TITAH

KEBAWAH  DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH  MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN  SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI  DARUSSALAM

SEMPENA

SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-62 TAHUN 2023 

TARIKH:

HARI RABU,

31 MEI 2023

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,  Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,  Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta  bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dapat hadir pada pagi ini untuk  meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei  (ABDB) yang ke-62 tahun. 
Sebentar  tadi kita telah menyaksikan perbarisan raksasa yang sangat bermutu lagi  kemas yang melambangkan tahap kecekapan dan kewibawaan Angkatan  Bersenjata Diraja Brunei. 
Dalam  keadaan sekarang semua negara kecil dan besar, sama-sama perlu membina  persekitaran dalaman, kawasan rantau dan sejagat yang aman dan damai.  Oleh itu, ABDB perlu terus komited dalam menjaga kedaulatan dan keamanan  Negara Brunei Darussalam sambil dalam masa yang sama menghormati dan  memperbaiki hubungan dengan negara-negara lain. 
Kita  sedia menyedari bahawa membina kekuatan bukanlah kerja yang mudah, ia  sangat bergantung kepada keutuhan organisasi dan keberkesanan  kepimpinan. Pada hemat Beta, ABDB yang kecil boleh menjadi kuat dengan  adanya kesatuan yang kukuh dan berkebijaksanaan membentuk struktur serta  mempunyai keupayaan tempur, kapasiti anggota, logistik dan kepimpinan  yang berkualiti. 
Mengenai kepimpinan,  Beta sangat berharap supaya model kepimpinan ABDB yang berpaksikan  nilai-nilai teras ABDB, maqasith Syariah dan falsafah Melayu Islam  Beraja akan benar-benar dapat difahami, dihayati dan diamalkan sebagai  panduan utama oleh semua peringkat pemimpin ABDB. 
Dalam  usaha memantapkan keupayaan dan mengambil sukut baik hari yang  bersejarah ini, Beta sukacita memperkenankan penubuhan Skuadron Pesawat  Taktikal Armada dan pembesaran Skuadron Peronda bagi Tentera Laut Diraja  Brunei. Skuadron Pesawat Taktikal Armada ini akan mengawasi lebih jauh  lagi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif negara. Manakala pembesaran  Skuadron Kapal Peronda berikutan dengan pertauliahan KDB AS-Siddiq  baru-baru ini adalah untuk menampung keperluan dan memperluaskan lagi  skop operasi maritim khusus di perairan persisiran pantai negara. 
Dalam  konteks keberkesanan pertahanan, Beta gembira dengan pencapaian operasi  sepadu sekuriti dan sempadan darat dibawah teraju Markas Angkatan  Bersama ABDB yang dilaksanakan melalui pendekatan seluruh kerajaan  'Whole of Government Approach' dan pendekatan senegara 'Whole of  Nation', dengan keterlibatan langsung Unit Batalion Trop Risik, Skuadron  Bot Tempur Tentera Darat Diraja Brunei, Squadron Unmanned Aerial System  (UAS) Tentera Udara Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei serta  agensi-agensi penguatkuasa undang-undang kebangsaan lainnya serta tidak  terkecuali juga penglibatan institusi mukim dan kampung melalui  pengawasan kejiranan di seluruh negara. 
Hasil  operasi sepadu telah mencapai banyak kejayaan dalam menyumbang  penurunan trend kes-kes tangkapan sejak penubuhan Kawasan-kawasan  operasi Area of Operations (AOP) di beberapa tempat strategik dan  hotspots seluruh negara sejak April tahun 2020 apabila negara berhadapan  dengan gelombang pandemik COVID-19. 
Dalam  pembangunan modal insan kita boleh berbangga dengan Institusi  Pendidikan dan Latihan di ABDB telah mencapai kejayaan-kejayaan  signifikan. Kursus-kursus dan program yang dijalankan di Akademi  Pertahanan Institut Latihan ABDB, Sekolah-sekolah Latihan Tentera Darat,  Tentera Laut, dan Tentera Udara telah memperolehi pengiktirafan  kebangsaan dan antarabangsa. 
Ini  dapat dilihat dari permintaan yang tinggi oleh angkatan-angkatan tentera  sahabat bagi mengikuti kursus-kursus profesional di ABDB. Pada tahun  ini sahaja, Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan, Sekolah Infantri  Tentera Darat Diraja Brunei dan Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Brunei  telah menerima penuntut daripada luar negara buat pertama kalinya. 
Beta  gembira bahawa mulai tahun ini, ABDB melalui Institut Latihan ABDB akan  berupaya menghasilkan seramai 960 anggota tentera yang terlatih  berbanding sebelumnya hanya 540 anggota setahun. Beta percaya dengan  perkembangan ini, ABDB mampu untuk mengisi jawatan-jawatan yang sudah  lama kosong sejak beberapa tahun ini dan mengukuhkan lagi bilangan  tentera yang terlatih,  di samping memberi peluang pekerjaan kepada  belia-belia dan beliawanis yang mencari pekerjaan. 
Di  sambutan Hari Ulang Tahun ABDB pada hari ini, Beta gembira dengan  penglibatan angkatan-angkatan Tentera Udara negara sahabat dalam  mempamerkan pesawat-pesawat strategik mereka. Semua ini mencerminkan  perpaduan dan hubungan diplomasi pertahanan yang kukuh di antara  negara-negara sahabat dan Negara Brunei Darussalam. Sementara itu, turut  memeriahkan lagi ialah penglibatan syarikat-syarikat pertahanan  tempatan dan luar negara mempamerkan produk-produk industri pertahanan  masing-masing. Syabas dan diucapkan setinggi-tinggi penghargaan. 
Beta  juga sangat teruja dan bangga dengan komitmen berterusan di kalangan  mantan-mantan perajurit ABDB dalam sama-sama membangun dan menjaga  kesejahteraan negara. Walaupun mereka sudah bersara dari perkhidmatan  tentera, namun masih aktif dengan kerja-kerja berkebajikan seperti  menjadi sukarelawan dalam pertubuhan-pertubuhan tertentu, malah ada juga  yang berjaya dalam perniagaan, dilantik sebagai pemimpin di peringkat  akar umbi dalam institusi kampung dan mukim, dan dilantik menjadi Ahli  di dalam Majlis Mesyuarat Negara mewakili zon-zon tertentu. Ini adalah  contoh-contoh terbaik yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi  penerus di masa hadapan. Beta ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  mereka, dan berharap Persatuan PERWIRA akan terus berperanan  menyatupadukan pesara-pesara atau veterans ABDB dalam usaha memelihara  keselamatan dan keamanan negara. 
Di  hari yang berbahagia ini juga, kita tidak lupa mendoakan pegawai-pegawai  dan perajurit yang telah kembali kerahmatullah semoga roh-roh mereka  ditempatkan bersama-sama para syuhada. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin. 
Akhirnya,  Beta mengucapkan tahniah dan selamat meraikan Hari Ulang Tahun Angkatan  Bersenjata Diraja Brunei yang ke-62 tahun kepada seluruh warga ABDB  yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara yang berada di dalam  atau sedang bertugas di luar negara. 
Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Attachments