TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1444H/2023M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Dengan amat sukacita, Beta mengajak seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam untuk sama-sama merafa'kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya menemukan kita lagi dengan bulan Ramadhan yang mubarak, yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Ramadhan adalah bulan istimewa, yang menguji kesabaran kita untuk berpuasa selama sebulan. Ganjaran beribadat dalam bulan Ramadhan, melebihi ganjaran beribadat di dalam bulan-bulan yang lain.
Menurut sebuah hadits Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, bahawa satu fardhu yang ditunaikan pada bulan Ramadhan adalah umpama menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan yang lain.
Demikian, betapa hebatnya penghormatan Allah Subhanahu Wata'ala terhadap bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, kita di negara ini mempunyai peluang amat luas untuk merebut fadhilat Ramadhan. Dengan keadaan negara aman dan ekonomi mantap, akan membolehkan kita untuk menghayati Ramadhan dengan lebih selesa.
Ini adalah kurnia istimewa kepada kita dan negara, berbanding di setengah-setengah tempat di dunia, mereka bergelut dengan pelbagai musibah, seperti peperangan, gempa bumi, banjir besar yang menjejaskan harta benda dan nyawa.
Bayangkan bagaimana umat Islam berpuasa sambil menghadapi kemelut peperangan, musibah gempa dan banjir besar. Kita, Cuma mampu membayangkannya sahaja sambil bersimpati dan berdo'a untuk mereka.
Berbalik lagi kepada keadaan negara kita. Jutaan syukur kita rafa'kan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, kerana ancaman koronavirus telahpun semakin menipis dan sekatan juga dilonggarkan.
Ini juga adalah satu rahmat yang membolehkan kita dapat memeriahkan masjid dengan sembahyang-sembahyang fardhu, bertadarus Al-Quran dan sembahyang sunat tarawih tanpa sekatan.
Seyogia rahmat ini janganlah diabaikan untuk kita dapat meraih lebih banyak pahala. Pahala adalah rezeki hebat untuk kita jawat di akhirat nanti.
Marilah kita sama-sama berharap, semoga rahmat Allah ini akan berpanjangan hendaknya untuk kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa sebulan penuh dalam keadaan sihat 'afiat dan sejahtera.
Demikian juga diharapkan untuk kita mendapat Lailatulqadar yang penuh berkat yang hanya berlaku dalam bulan Ramadhan sahaja.
Bagi tujuan ini, kita perlulah mengikut panduan-panduan yang telah digariskan oleh ulama, seperti menghidupkan sepuluh malam-malam terakhir di bulan Ramadhan dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan menghampakan kita dari memperolehi pahala Lailatulqadar itu.
Untuk akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di negara ini, semoga kita sama-sama dapat menunaikan kewajipan berpuasa tanpa sebarang halangan atau gangguan. Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.