Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023

​TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 


SEMASA MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI WAWASAN BRUNEI 2035 

KALI PERTAMA 

BAGI TAHUN 2023





Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,  Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,  Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Beta  bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana mengizinkan kita  dapat duduk bersama di Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035  kali Pertama bagi tahun 2023 pada hari ini. 


Beta  terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Paduka Anakanda Duli Yang  Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji  Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di atas  pimpinan khidmat bakti tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan  selama menjadi Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035. 


Di  kesempatan ini juga, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli  di atas pelantikan semula dan pelantikan baru dalam Majlis Tertinggi  Wawasan Brunei 2035. Begitu juga Beta merakamkan penghargaan dan terima  kasih kepada mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 di  atas sumbangan-sumbangan yang telah diberikan. 


Pengemaskinian  keahlian Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan wadah  strategik yang Beta harapkan akan menjadikan majlis sebagai landasan  utama Whole of Government. Dengan adanya keahlian semua Menteri-Menteri  Kabinet diharapkan akan dapat mencetuskan pemikiran-pemikiran besar  serta transformatif ke atas menjana kesejahteraan rakyat dan penduduk  serta memastikan kemakmuran negara dipertahankan. 


Beta  menaruh harapan yang tinggi kepada ahli-ahli yang baru dilantik untuk  memberikan sokongan padu bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035. Wawasan  Brunei 2035 adalah merupakan aspirasi Beta sendiri bagi melihat  pembangunan negara berjalan lancar. Pada awalnya Wawasan diterbitkan  melalui Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang bagi merancang  pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan. Beta difahamkan  pelbagai usaha sudahpun dijalankan bagi merealisasikan Wawasan 2035 ini.  Namun persoalannya, sejauh manakah usaha telah berhasil sedang tempoh  cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi? 


Dalam  keadaan dunia sangat sukar diramal, maka Negara Brunei Darussalam juga  tidak terkecuali dari menghadapi kesan-kesan global seperti konflik  geopolitik, penularan wabak Coronavirus dan situasi ekonomi tidak  menentu. 


Ini  semua sudah setentunya memaksa kita untuk berfikir lebih fokus kepada  pemeriksaan dasar dan kemampuan. Perlu diingat, pembentukkan asal  Wawasan Brunei berlaku dalam satu masa yang berbeza dari masa sekarang.  Oleh itu untuk melihatnya sentiasa relevan dan unggul maka kita perlu  memastikan apa yang dirancang akan tetap kekal sebagai sasaran. 


Maka  disinilah pentingnya Wawasan Brunei 2035 diberikan perhatian sewajarnya  dalam kita mengharungi cabaran-cabaran sukar yang dibawa oleh arus  perubahan masa yang sangat pesat dengan lebih fokus kepada pencapaian  matlamat-matlamat yang dirancang. 


Kita  tidak mahu Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal retorik sahaja sebagai  satu angan-angan kosong, tetapi kita mahu ia mesti direalisasikan  sepenuhnya sebagai agenda utama pembangunan negara. 


Beta  mengambil maklum terhadap usaha-usaha mengukuhkan perlaksanaan  strategik dan pelan-pelan tindakan yang menjurus kepada mencapai  Matlamat- Matlamat Utama Wawasan iaitu melalui Manpower Blueprint bagi  Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower  Planning and Employment Council (MPEC); Sosial Blueprint bagi Matlamat  Kedua yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan  Isu Sosial (MKIS) dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga yang  diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 


Beta  berharap dengan adanya Blueprint-Blueprint ini negara akan dapat  mentransformasikan tindakan termasuk pensejajaran dengan keperluan  projek- projek Rancangan Kemajuan Negara. 


Beta  juga berharap permesyuaratan di peringkat Jawatankuasa Kerja Wawasan  2035 akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai landasan Whole of Government  yang menyatukan isu-isu termasuk juga penyelesaian sebarang  permasalahan. 


Wawasan  Brunei 2035 adalah merupakan harapan tinggi rakyat dan penduduk negara  ini untuk melihat tindakan-tindakan yang diambil melalui Majlis  Tertinggi ini akan lebih fokus kepada kepentingan rakyat,  "people-centered". 


Untuk  ini kita nampak masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan setakat  perlaksanaan inisiatif-inisiatif sahaja belumlah mencukupi. Jika tidak  diikut oleh penelitian-penelitian terhadap inisiatif-inisiatif tersebut,  bagaimana hasil atau keberkesanan ia juga diharapkan untuk melihat  lebih jauh lagi ke hadapan semua perancangan yang mampu membawa negara  kepada perubahan-perubahan besar yang di tunggu-tunggu. 


Oleh  itu semua pihak tidaklah boleh goyang kaki melainkan sama-sama mesti  serentak menggandakan usaha ke arah mencapai semua sasaran yang telah  ditetapkan. Pihak pelaksana tidak boleh lemah atau semangat sejuk untuk  menghadapi sebarang cabaran. Sangat mustahak untuk diingat bahawa  sebarang usaha atau kerja untuk mengurus negara dan kerajaan memang  tidak sunyi dari cabaran. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Attachments