Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM sempena Upacara Sovereign's Parade Pengambilan Ke-21

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

UPACARA SOVEREIGN'S PARADE

PENGAMBILAN KE DUA PULUH SATU

SEKOLAH PEGAWAI KADET,

AKADEMI PERTAHANAN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS

04 REJAB 1444 / 26 JANUARI 2023

BERTEMPAT

PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

KAMPUNG TANAH JAMBU

 

 

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,  Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,  Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Pujian dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita dapat hadhir di Upacara Sovereign's Parade  Pengambilan Ke Dua Puluh Satu (21), Sekolah Pegawai Kadet Akademi  Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini. Beta  mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas  pertunjukan perbarisan yang penuh semangat sebentar tadi.
Seramai  64 orang Pegawai Kadet yang terdiri daripada 45 Lelaki dan 19 Wanita  telah berjaya menjalani latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu. Ini  bererti, seramai 752 orang pemimpin tentera telahpun berjaya dilahirkan  sejak penubuhan Sekolah Pegawai Kadet 14 tahun yang lalu. Beta turut  berbangga di atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan  penghargaan dan terima kasih kepada para ibu-bapa dan penjaga diatas  dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan latihan ini.
Pada  pengambilan kali ini, Beta gembira dengan langkah meningkatkan  kredibiliti dan kapasiti pembelajaran Sekolah Pegawai Kadet iaitu  seperti yang dapat dilihat melalui penglibatan latihan luar negeri ke  Republik Singapura seperti Joint Urban Operations bersama Singapore Armed Forces Training Institute-Military Institute (SAFTI-MI),  yang buat pertama kalinya melibatkan semua perkhidmatan Pegawai Kadet  Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Skop Sekolah Pegawai  Kadet juga turut dikembangkan lagi penglibatannya dengan mengikuti International Army Cadet Week bersama Republik Rakyat China dan SAFTI-MI International Cadet Conference di Republik Singapura.
Dalam  usaha untuk mengembangkan pembelajaran dan menghasilkan Pegawai Tentera  yang berpengetahuan tinggi, maka Akademi Pertahanan memang perlu untuk  membuat kolaborasi dengan universiti dan institusi pendidikan tentera,  samada dari luar negara mahupun tempatan sebagai academic provider  kepada Akademi Pertahanan. Selain bagi tujuan melahirkan pemimpin  tentera yang kredibel, komitmen seumpama ini juga adalah mampu untuk  menaikkan lagi taraf akreditasi pendidikan Akademi Pertahanan sehingga  sebanding dengan institusi pendidikan tentera luar negara.
Untuk melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, RBAF Leadershif Model  adalah memainkan peranan utama sebagai pembentuk watak atau karakter  yang kita kehendaki. Kita hanya mahukan pemimpin-pemimpin yang berwatak  atau berkarakter kebruneian semata­-mata, dengan ditambah lagi memiliki  sifat-sifat jujur, amanah, takwa, berani, setia dan profesional. Inilah  Model Kepimpinan yang sangat-­sangat didambakan oleh Brunei.
Berpandukan  kepada Model Kepimpinan seperti inilah, insya Allah, tapisan pemilihan  bagi bakal Pegawai ABDB di Sekolah Pegawai Kadet akan lebih terperinci  lagi dilaksanakan, dengan mengambil kira juga standard  pembelajaran dan mutu latihan hendaklah sentiasa ditahap yang tinggi dan  tidak berkompromi dengan apa-apa jua perkara yang boleh menjejaskan  mutu latihan.
Beta mengambil maklum,  bahawa mulai Pengambilan Ke Dua Puluh Dua (22) pada tahun 2023 ini,  Sekolah Pegawai Kadet buat julung kalinya akan menerima kemasukan  Pegawai Kadet dari luar negara. Ini selain dapat meningkatkan hubungan  diplomasi pertahanan, kehadhiran Pegawai Kadet luar negara juga akan  memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap Sekolah Pegawai Kadet  kita sebagai setanding dengan Sekolah Pegawai Kadet luar negara.
Untuk  akhirnya, Beta sekali lagi mengulangi ucapan setinggi-tinggi tahniah  kepada semua Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka.  Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan  Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Colour Sergeant  dan Jurulatih Sekolah Pegawai Kadet diatas usaha mereka melatih dan  mendidik Pegawai-Pegawai Kadet. Semoga Sekolah Pegawai Kadet, Akademi  Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang maju  dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala, Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan ini mengurniakan Tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Enam Puluh Empat (64) Pegawai Kadet Pengambilan Kedua Puluh Satu (21).
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 

Attachments