TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2023
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta mengajak seluruh rakyat dan penduduk untuk sama-sama merafa'kan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki tahun baru Masihi 2023.
Mengimbas balik masa tiga tahun dalam menghadapi COVID-19, kita telah melihat, musibah ini, walaupun membawa kesan sampingan kepada kehidupan, namun hikmahnya telah menciptakan peluang untuk kita berdikari memperkasa bidang-bidang utama seperti sekuriti makanan, perbekalan, pendidikan, kewangan dan kesihatan.
Inilah hikmah yang tidak pernah terlintas difikiran kita, dan malah banyak lagi untuk kelangsungan hidup, termasuk membanyakkan amal salih, beribadat, berdo'a, bersabar dan bertawakal kepada Allah.
Demikian juga hikmah fizikal pandemik telah meningkatkan kapasiti kaedah digital, yang membolehkan semua pihak dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan cepat dalam bidang pekerjaan mahupun pembelajaran secara maya.
Akan lebih bermakna lagi jika pengalaman ini dapat menyuntik semangat rajin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta berganding bahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
Dengan adanya semangat sedemikian, akan mencetuskan minat besar para belia, khasnya untuk menceburi bidang-bidang baharu seperti big data, cloud computing, tenaga hijau (green energy) dan teknologi mesra alam (environmentally-friendly technology).
Kearah mencapai tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035, Kerajaan Beta sedang melaksanakan Economic Blueprint dan juga sedang merangka strategi melalui Social Blueprint dan Manpower Blueprint. Beta berharap, setiap strategi yang sedang dan akan dilaksanakan melalui blueprint-blueprint berkenaan akan mendapat dokongan padu daripada pelbagai stakeholders.
Sedia disedari, bahawa ekonomi negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kadar inflasi, yang turut didorong oleh ketegangan geopolitik di peringkat global. Ini, telah mendedahkan Brunei kepada cabaran pahit imported inflation yang membawa berlakunya kenaikan harga barangan di negara ini. Kadar inflasi telah meningkat dari 3.8 peratus kepada 4.7 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah direkodkan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk meminimakan kesan kenaikan harga barangan dengan memastikan bekalan dan sekuriti makanan adalah stabil dan mencukupi.
Dalam memulakan tahun 2023, semua lapisan rakyat dan penduduk perlu bertekad untuk menjalani kehidupan bersih tanpa diganggu oleh gejala-gejala buruk seperti rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan menagih dadah. Jika ini dapat dihindari, bererti satu kelebihan bagi Brunei.
Alhamdullillah, pada tahun 2022, Beta telah mengadakan beberapa siri keberangkatan keluar negara dan telah berhasil menandatangani beberapa perjanjian dan Memorandum Persefahaman dengan beberapa pertubuhan dan institusi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (P.B.B.); International Monetary Fund (I.M.F.); World Health Organization (W.H.O.) dan lain-lain. Semua ini dianggarkan dapat membantu perkembangan dan pengiktirafan profesionalisme sumber tenaga manusia.
Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, para barisan hadapan (frontliners) dan sukarelawan, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2022.
Beta juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak penyakit mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.
Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan. Kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, khususnya dalam menangani isu dan cabaran serantau dan antarabangsa pasca COVID-19 dalam pemulihan ekonomi seperti perdagangan digital, kedayatahanan, perubahan iklim dan kesihatan am.
Selamat Tahun Baru Masihi 2023 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.