Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1448 HIJRAH / 2027 MASIHI

​

Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan laluan permulaan dan medan untuk para Qari dan Qariah Negara melangkah ke Peringkat Akhir, Serantau dan Antarabangsa.  Penganjuran Musabaqah ini dihasrat akan dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada Qari dan Qariah Negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Qur'an mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur. Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan itu, Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi akan diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, 06, 07 dan 08 Jamadilakhir 1448 bersamaan 16, 17 dan 18 November 2026, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 

Manakala Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah akan diadakan pada hari Khamis, 09 Jamadilakhir 1448 bersamaan 19 November 2026 juga di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Seramai 79 orang peserta terdiri daripada 61 Qari dan 18 Qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama hingga hari terakhir pertandingan.

Bagi memberi peluang orang ramai untuk mengikuti Musabaqah ini, siaran secara langsung boleh diikuti melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama @kheu.brunei.  

Sama-samalah kita memajukan dan mengembangkan lagi bidang pembacaan serta penghayatan Al-Qur'an dan seterusnya mendorong masyarakat ke arah celik ilmu-ilmu Al-Qur'an di samping sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta merafakkan doa untuk memohon pertolongan kepada-Nya dan juga peringatan supaya kita semua jauh dari kelalaian.​


Attachments