Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Adz Dzariyat ayat 56:
Tafsirnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk menyembah Aku.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia dengan tujuan untuk beribadah kepada-Nya. Sepanjang hidupnya, manusia akan diuji untuk menentukan untung nasibnya di dunia dan juga di akhirat kelak. Bagi memastikan diri berjaya dalam menghadapi ujian yang diberikan, manusia harus memiliki iman dan taqwa agar dapat terus menjalankan tanggungjawab dan mampu menjalankan segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala laranganNya.
Manusia yang hidup tanpa iman boleh diibaratkan seperti rumah tanpa asas yang kukuh. Ia mudah roboh dan tidak mampu melindungi penghuninya. Iman yang kental dan kukuh akan melindungi manusia dari segala macam kesesatan, kelemahan dan pelbagai bencana lainnya sepanjang mengharungi kehidupan.
Hakikatnya, tanpa iman, manusia tidak akan dikurniakan keredaan dan petunjuk daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Hanya dengan iman, manusia mampu mengecapi kebahagian di dunia dan di akhirat.
Namun begitu, manusia adalah makhluk yang sering lalai dan lupa. Kerana itulah keimanan boleh berkurang dan bertambah. Maka bagi memastikan iman terus kekal pada kedudukannya yang terbaik, serta bagi meningkatkan keimanan diri, antara kaedah dan cara yang boleh diamalkan ialah dengan mempelajari ilmu agama bersumberkan al-Quran dan Hadis seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menghayati maknanya, mempelajari Asma'ul Husna, mempelajari sirah nabawiyah, mempelajari nilai-nilai agama Islam, mempelajari kehidupan para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, tabiin dan tabiut tabiin dan seumpamanya.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Al-Quran merupakan mukjizat teragung Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Di dalamnya terkandung segala rahsia ilmu dan pengajaran yang boleh diambil sesuai dengan keperluan manusia yang sedang tercari-cari Tuhannya. Sebahagian ayat al-Quran mampu menggetarkan hati dan membuatkan seseorang menangisi segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukannya, lalu memberikan ketenangan hati kepadanya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Shaad ayat 29:
Tafsirnya: (Al-Qur'an ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran.
Apabila seseorang memahami sifat Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui, maka ia akan menahan lidahnya, anggota tubuhnya dan gerakan hatinya dari segala yang tidak disukai Allah Subhanahu Wata'ala. Begitu juga apabila seseorang memahami sifat-sifat Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Indah, Maha Agung dan Maha Perkasa, maka semakin besarlah keinginannya untuk bertemu Allah Subhanahu Wata'ala di hari akhirat sehingga bersungguh-sungguh memenuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan memperbanyakkan amal ibadah. Ia akan sentiasa menjaga kelakuan dan tindakannya kerana yakin, Tuhannya Maha Melihat segala yang dikerjakan hamba-hamba-Nya.
Begitu juga dengan mempelajari sirah nabawiyah iaitu dengan memahami perilaku dan keperibadian, keagungan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, akan menumbuhkan rasa kasih dan cinta kita terhadap Baginda. Kecintaan kepada Baginda pula kemudiannya berkembang menjadi keinginan untuk mencontohi keperibadian dan mematuhi segala nasihat dan sunnah yang ditinggalkannya. Sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhuma bahawa ada seorang lelaki mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, bilakah akan tibanya Hari Akhirat? Lantas Baginda bersabda, 'Apakah persiapanmu untuk menghadapi Hari Akhirat?' Jawab sahabat, 'Wahai Rasulullah, aku telah mengerjakan sembahyang, menjalani ibadah puasa dan bersedekah, namun, aku merasakan semua itu belum mencukupi buat bekalanku. Namun, ketahuilah, di dalam hati, aku sangat mengasihimu, ya Rasulullah.' Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda, ' Insya-Allah, di akhirat kelak engkau akan bersama-sama orang yang kau kasihi." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Jelaslah bahawa mengasihi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam adalah salah satu jalan menuju syurga, dan membaca riwayat hidupnya (sirah) adalah cara terpenting untuk lebih mudah memahami dan mencintai Baginda.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya mempelajari nilai-nilai agama Islam dengan menghayati syariat Islam, hukum-hukumnya, akhlak yang diajarkannya, perintah dan larangannya, akan menimbulkan kekaguman terhadap kesempurnaan ajaran agama Islam.
Begitu juga dengan merenungi tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala yang ada di sekeliling kita. Renunglah kejadian alam, sesungguhnya kita perlu yakin bahawa ada kekuatan luar biasa yang mampu menciptakan alam yang sempurna ini. Di dalamnya terbina sebuah struktur dan sistem kehidupan yang rapi dan lengkap.
Kita juga hendaklah berusaha keras melakukan amal perbuatan yang baik secara ikhlas. Lakukan permbersihan hati dari sifat-sifat buruk dan selalulah menjaga kesuciannya. Miliki sifat mahmudah seperti sabar, tawakal, takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan jauhi sifat mazmumah seperti tamak, kikir, berperasangka buruk dan sebagainya.
Perbanyakkan zikir, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan mengajak orang lain kepada kebaikan serta melarang kemungkaran, istiqamah dalam mengerjakan amal fardu ain dan fardu kifayah.
Akhirnya, kita memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga menjadi hambaNya yang sentiasa beriman dan bertaqwa, memiliki hati yang tenang dan tenteram, berbahagia dan berjaya di dunia hingga ke akhirat yang kekal abadi, aamiin ya rabbal alamin.
Surah Fath ayat 4:
Tafsirnya: Dialah yang telah menurunkan ketenangan dalam hati orang-orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka yang sedia ada. Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
