Jemaah yang dirahmati Allah,Bertaqwalah kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Setiap negara di dunia ini pasti mengharapkan kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan. Begitu juga dengan negara kita yang sentiasa bercita-cita dan mempunyai aspirasi negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Negara Zikir yang mencakupi nilai-nilai seperti keadilan, kemakmuran, kesejahteraan, pembangunan berdaya tahan, serta kekal dalam berkat dan lindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dan juga berwawasan luas, jauh ke hadapan berlatarbelakangkan nilai dan akal budi orang Brunei.
Kita juga mempertahankan pemerintahan beraja sebagai asas bernegara. Menghayati dan menyertai proses pembangunan di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Maka untuk mencapai hasrat dan cita-cita tersebut, kita hendaklah bersatu padu menghadapi pelbagai cabaran. Orang Brunei sememangnya sudah sebati dengan amalan bersatu padu. Pencapaian dan perkembangan selama bertahun-tahun sebelumnya menciptakan landasan untuk harapan dan komitmen masa hadapan. Nilai dan amalan orang Brunei yang diwarisi ini Insya Allah akan menjamin kelangsungan hidup beraja, bernegara dan bermasyarakat menuju بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ (Negara yang aman makmur dan Tuhan Maha Pengampun) sebagaimana yang dihasrat dan diimpikan, seperti yang termaktub dalam surah Saba' ayat 15:
Tafsirnya: (Negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur dengan buah-buahan yang banyak) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam bernegara, konsep bersatu padu itu sangat penting, iaitu kesepaduan di antara pemimpin, masyarakat dan rakyat. Kebersamaan sebagai kekuatan utama dalam menghadapi cabaran dan mencapai matlamat.
Untuk mencapai tujuan dan cita-cita negara, perlulah ada tindakan, usaha aktif dan berterusan, mempunyai komitmen untuk bergerak maju dan mengatasi rintangan dalam menuju pembangunan, menggunakan ilmu dan kepakaran serta sentiasa berusaha memperbaiki kaedah dan cara bertindak serta memanfaatkan kemajuan ilmu dan teknologi.
Alhamdulillah negara kita lahir dalam menempa kemerdekaan telah diiringi dengan laungan takbir memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah dan rahmatNya serta memohon keberkatan dan petunjuk dalam menerajui pentadbiran negara. Apa yang kita harapkan semoga negara kita mampu bersaing dengan negara lain dalam aspek kemajuan dan pembangunan, mampu menghadapi cabaran arus gelombang globalisasi yang semakin mencabar dengan mempertingkatkan lagi nilai-nilai ajaran Islam dalam kehidupan dan pentadbiran serta mengekalkan keharmonian yang sedang kita semua kecapi sekarang ini.
Lahirnya kemerdekaan negara kita dengan zikir melambangkan sebuah negara yang berimejkan negara yang menjulang Islam. Zikir yang berunsur puji-pujian dan rasa ketaqwaan dalam mengingati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala, maka nikmat kerahmatan serta keberkatanlah yang akan mengiringi dan melindungi negara yang kita cintai ini. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 152:
Tafsirnya: Maka ingatlah kamu kepadaKu (dengan melakukan sembahyang, berzikir dan lain-lain perbuatan taat) nescaya Aku akan mengingati kamu. Dan bersyukurlah kepadaKu (dengan taat mengerjakan suruhanKu) dan janganlah kamu mengingkariKu (dengan berbuat derhaka dan maksiat).
Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita juga bersyukur bahawa keamanan dan kesentosaan yang kita nikmati selama ini adalah berkat kepimpinan raja yang sentiasa memayungi negara dengan menitik beratkan ajaran-ajaran Islam dalam memastikan setiap urus tadbir dan pengurusan negara, pembangunan umat dan prasarana adalah berpandukan ajaran Islam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 208:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu semua ke dalam agama Islam secara keseluruhan (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya) dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu ialah musuh yang nyata.
Sesungguhnya keamanan hidup dan keamanan bernegara itu akan lebih berkesan apabila rakyat dan penduduk di sesebuah negara itu sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu, bagi menzahirkan rasa syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas nikmat kemerdekaan negara kita yang tercinta ini, bersempena dengan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-41 tahun ini, marilah kita beramai-ramai hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara iaitu pada petang esok, hari Sabtu, 23 Sya'ban 1446 Hijrah bersamaan 22 Februari 2025 Masihi bagi sama-sama menunaikan sembahyang fardhu Maghrib berjemaah, membaca surah Yaasin dan doa kesyukuran.
Mudah-mudahan dengan doa yang kita pohonkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala negara kita tetap kekal menjadi sebuah negara بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Ahzab ayat 41-43:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah mengingat Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang mengurniakan rahmat kepada kamu dan malaikat-malaikatNya pula (berdoa memohonkan ampun bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu daripada kegelapan-kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan Dia adalah Maha Pengasih kepada orang-orang yang beriman.
