Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MENGUKUHKAN KEHARMONIAN KELUARGA

​Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Agama Islam adalah agama yang syumul iaitu agama yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah dalam sifat kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan dalam naluri setiap insan. Sifat kasih sayang amat penting dalam sebuah keluarga yang kukuh, bahagia dan harmoni.
Sesungguhnya hubungan sebuah keluarga bergantung pada ikatan kasih sayang antara ibubapa, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Oleh itu, binalah kasih sayang sesama ahli keluarga supaya kebahagiaan dan keharmonian akan terjalin sepanjang masa. Daripada Jarir bin Abdullah Radiallahu Anhu katanya: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang maksudnya: Allah tidak mengasihi sesiapa yang tidak mengasihi manusia. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam agama Islam, telah cantik disusun oleh yang Maha Berkuasa panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara berkaitan dengan kehidupan manusia iaitu melalui panduan Al-Qur'an dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam, antara aturan ilmu yang ada dalam kalam suci Allah Subhanahu Wata'ala dan panduan hidup Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam adalah berkait rapat dengan cara membentuk keluarga harmoni dan sejahtera untuk seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Keluarga harmoni ialah satu kelompok sosial yang terdiri daripada suami isteri, ibubapa, anak pinak, cucu-cicit dan sanak-saudara yang sama-sama dapat merasakan senang terhadap satu sama lain dan terhadap hidup itu sendiri. Mereka boleh hidup dengan gembira, mempunyai objektif hidup yang jelas untuk dicapai sama ada secara individu atau bersama, optimistik dan mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain, berasa selesa dengan apa yang ada dan sebagainya. Keharmonian sesebuah keluarga itu akan tercapai apabila semua anggotanya sama-sama berusaha untuk mewujudkan keluarga harmoni.
Keluarga harmoni bolehlah dikatakan sebagai keluarga yang mana semua anggota keluarganya berasa aman, tenteram, tenang, bahagia dan mereka saling berkasih sayang semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala.
Adapun tanggungjawab membentuk sesebuah keluarga merupakan tanggungjawab bersama. Daripada Abdullah bin Umar Radiallahu Anhuma berkata ia, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang maksudnya: Dan seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Dan seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumahtangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam pembentukkan keluarga harmoni, ibubapa memainkan peranan yang paling utama. Antara tanggungjawab ibubapa ialah menyediakan keperluan-keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang diperlukan oleh anak. Mereka juga perlu memastikan keperluan tersebut bersumberkan rezeki yang halal.
Selain itu, para ibubapa hendaklah bukan sahaja memberi kasih sayang dengan adil dan saksama kepada anak-anak bahkan tunjuk ajar dan teladan terbaik kepada anak-anak. Kebaikan anak-anak terlibat dalam masalah sosial adalah berpunca kerana tidak mendapat kasih sayang yang sempurna.
Justeru, ibubapa seharusnya memberikan didikan dari aspek agama dan sosial yang sempurna kepada anak-anak semenjak mereka kecil lagi. Keluarga yang tidak dibentuk berlandaskan ajaran agama Islam, boleh mengundang berbagai-bagai masalah antaranya seperti berlaku penganiyaan, penyelewengan, masalah akhlak, sosial dan seumpanya.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Ibubapa haruslah menunjuk contoh yang baik terlebih dahulu kepada anak-anak kerana ibubapa merupakan suri teladan dalam sesebuah keluarga. Mereka hendaklah berinteraksi dengan sopan dengan anak-anak. Apabila anak-anak melihat situasi tersebut, mereka akan meneladani sikap ibubapa mereka. Mereka hendaklah mengelakkan pengunaan kata-kata kesat, sentiasa mendengar keluhan dan pandangan anak-anak supaya anak-anak berasa dihargai dan disayangi.
Mereka juga hendaklah menunjukkan tingkah laku yang sopan dan penyayang dan mengambil berat akan kesejahteraan anak-anak. Ibubapa mempamerkan sikap teamwork dalam sama-sama mengelinga kesejahteraan anak-anak agar anak-anak faham kesejahteraan dan keharmonian keluarga itu wujudnya daripada peranan kedua ibubapa.
Seterusnya, ibubapa harus memantau tingkah laku anak-anak mereka dalam usaha mewujudkan keluarga harmoni. Ibubapa harus melihat tingkah laku anak-anak sama ada positif atau negatif.
Anak-anak yang melakukan tingkah laku yang positif haruslah diberi pujian, manakala anak-anak yang melakukan amalan negatif haruslah dinasihati agar mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama. Sememangnya diketahui bahawa tugas mendidik anak di zaman paska tekonologi ini sangat mencabar, sekiranya tersalah langkah pasti akan mengundang kemudharatan kepada sesebuah keluarga.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam menjadi sebuah keluarga yang harmoni ini bukan sahaja ibubapa yang memainkan peranan penting bahkan seorang anak juga tidak kurang pentingnya dalam membentuk sesebuah keluarga yang harmoni.
Setiap anak diwajibkan taat, menghormati dan memuliakan ibubapa. Di samping itu, anak-anak juga wajib mematuhi segala perintah dan nasihat mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan apabila berbicara, anak-anak hendaklah menggunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakiti hati kedua ibubapa. Tunjukkanlah rasa kasih terhadap jasa ke dua orang tua yang telah mendidik dan membesarkan kita.
Perlu diingat, anak-anak hendaklah sentiasa mengambil peduli dan bertanya khabar ke dua ibubapa walaupun anak-anak tersebut sudah berkeluarga dan tinggal di rumah yang berasingan dengan mereka, anak-anak juga perlu mengambil berat dan bertanggungjawab memeduli ibubapa lebih-lebih lagi pada ibubapa yang sudah lanjut usia dan memerlukan penjagaan.
Adalah menjadi kewajipan kepada anak-anak agar meluangkan masa untuk memenuhi keperluan ibubapa dari segi makan minum, pakaian, perubatan, tempat tinggal dan kasih sayang sebagaimana yang mereka berikan kepada anak-anak sewaktu kecil dahulu.
Sesungguhnya pengorbanan dan jasa ibubapa yang melahirkan serta membesarkan kita dengan penuh kasih sayang tidak akan terbalas hatta dengan segunung emas sekalipun.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan institusi kekeluargaan di negara ini, Negara Brunei Darussalam mengisytiharkan hari Ahad minggu pertama dalam bulan Mei setiap tahun sebagai Hari Keluarga Kebangsaan.
Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan merupakan satu wadah untuk menyatukan usaha secara Whole of Nation dalam menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian keluarga dan pengukuhan institusi keluarga untuk mengatasi segala cabaran, terutama sekali dalam perpaduan masyarakat dan pembangunan negara.
Akhirnya, marilah sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga kita mendapatkan keturunan keluarga yang sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dan semoga keluarga kita menjadi sebuah keluarga yang harmoni serta sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Furqan ayat 74 tafsirnya:
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa."
 ​

Attachments