Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KEPENTINGAN AIR DALAM KEHIDUPAN

​Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya dan Allah Subhanahu Wata'ala juga telah menganugerahkan nikmat yang terlalu banyak dan tidak terkira kepada hamba-hambaNya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ibrahim ayat 34 tafsirnya:
“Dan Dia mengurniakan kepada kamu segala apa yang kamu pohonkan kepadaNya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi sangat kufur."
Antara nikmat terbesar yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wata'ala adalah air. Air merupakan sumber kehidupan yang paling berharga dan menjadi asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di bumi ini.
Alhamdulillah, kita sangat beruntung kerana negara kita dikurniakan dengan sumber air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat dan penduduk serta akitiviti-aktiviti sosio-ekonomi seperti pertanian, perikanan, perindustrian dan seumpamanya. Hampir keseluruhan penduduk di negara ini dapat menikmati bekalan air bersih yang berterusan.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Perlu kita ketahui dan sedari bahawa terdapat beberapa negara luar menghadapi masalah kekurangan bekalan air atau masalah pencemaran kepada sumber air yang ada.
Menurut statistik Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada masa ini lebih dua billion orang tidak mendapat bekalan air yang bersih. Mereka terpaksa mengangkat sendiri air dari telaga atau sungai menuju ke rumah masing-masing untuk kehidupan seharian. Lebih membimbangkan lagi adalah kesan kepada mereka yang meminum dan menggunakan air yang tidak bersih atau tercemar, akan menyebabkan masalah kepada kesihatan dan juga kematian akibat wabak penyakit dan sebagainya.
Oleh yang demikian, dengan nikmat air yang kita terima, sama-samalah kita bersyukur dengan mengamalkan sikap berjimat-cermat ketika menggunakannya. Ini kerana berjimat-cermat adalah satu amalan yang mulia.
Sesungguhnya pihak kerajaan telah menyediakan prasarana dan kemudahan air yang bernilai berjuta-juta ringgit untuk membersihkan, merawat dan membekalkan air ke rumah-rumah dan premis-premis di negara ini.
Akan tetapi sama ada kita sedar ataupun tidak, kita seakan kurang menghargai nikmat air kerana buat masa ini ia masih mudah diperolehi. Akibat kurang menghargai nikmat air, terdapat sebilangan orang yang membazirkan air dengan menggunakannya lebih dari kadar yang diperlukan.
Bayangkan saja kesukaran yang berlaku setiap kali bekalan air ditutup atau dengan sebab-sebab lain seperti kemarau, paip air rosak dan yang seumpamanya. Rutin kehidupan harian kita pasti akan terjejas.
Dalam menghadapi keadaan begini, sebagai pengguna kita hendaklah meningkatkan kesabaran dan memberikan kepercayaan kepada pihak yang telah diamanahkan untuk melaksanakan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam menjalani dan melakukan aktiviti harian seperti penyediaan makanan, minuman, memasak, mencuci, menyiram tanaman, mandi dan sebagainya, gunakanlah air dengan lebih bijak dan jangan membazir atau berlebihan ketika menggunakannya. Ini kerana ia boleh merugikan individu mahupun negara.
Ulamak sepakat mengatakan bahawa membazir air merupakan suatu perbuatan yang ditegah walaupun pada ketika ini air banyak dan mudah diperolehi. Sifat membazir secara umumnya adalah satu sifat yang dicela. Ini kerana Allah Subhanahu Wata'ala tidak menyukai orang-orang yang membazir dan berlebih-lebihan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-'Araf ayat 31 tafsirnya:
“Dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam adalah contoh yang terbaik dalam pengunaan air. Sebagaimana yang diceritakan oleh Anas bin Malik Radiallahu Anhu, dia berkata: Bahawasanya Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam berwudhu dengan satu mud air dan mandi dengan satu sok (empat mud) hingga lima mud air. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Adapun satu mud itu ialah bersamaan dengan kira-kira satu litar air, manakala lima mud pula bersamaan dengan kira-kira lima litar air. Berdasarkan hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sangat berjimat dalam menggunakan air.
Oleh yang demikian wahai kaum muslimin, marilah kita sama-sama meningkatkan kesedaran betapa pentingnya air dalam kehidupan kita seharian, disamping mengubah sikap dengan mengambil langkah berjimat cermat dalam pengunaan air bagi mengelakkan pembaziran, iaitu menggunakan air dengan mengikut kada keperluan sahaja. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk membersih, merawat dan membekalkan air untuk kita gunakan setiap hari. Di samping itu sama-samalah kita mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala dan berdoa mudah-mudahan nikmat tersebut akan sentiasa berkekalan dan terus kita nikmati. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Waqiah ayat 78-70 tafsirnya:
Tidakkah kamu perhatikan air yang kamu minum? Adakah kamu yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan) atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami menghendaki Kami menjadikan ia masin maka mengapakan kamu tidak bersyukur?
 ​

Attachments