Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

ISTIQAMAH DALAM MENGERJAKAN AMAL IBADAH

​​Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sekarang kita telahpun berada penghujung bulan Ramadhan, dan inilah masanya bagi kita untuk merebut peluang mempertingkatkan lagi amal ibadah dan juga amal kebajikan untuk memperolehi ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Di penghujung Ramadhan ini, sayugia diingatkan supaya kita jangan lupa mengeluarkan dan membayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan juga untuk orang-orang yang berada di bawah tanggungan kita.
Sesungguhnya mengeluarkan zakat itu adalah salah satu dari rukun Islam yang lima yang wajib kita tunaikan, mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya, sama ada zakat fitrah mahupun zakat harta. Ini jelas sepertimana dalam sebuah hadis daripada Ibni Umar Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah memfardhukan zakat fitrah di bulan Ramadhan atas setiap orang Muslim, iaitu satu gantang kurma atau satu gantang gandum, sama ada merdeka atau hamba, laki-laki atau perempuan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Umat Islam meraikan dan menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Oleh itu, dalam keseronokan dan kegembiraan kita meraikan dan menyambut Aidilfitri ini, janganlah sampai kita lupa untuk terus melakukan amal ibadah dan berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan sempurna secara istiqamah iaitu secara berterusan untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Istiqamah yang dimaksudkan itu ialah berdiri teguh di atas jalan yang lurus, berpegang kukuh kepada akidah Islam dan melaksanakan syariatnya dengan tekun, tidak berubah dan tidak berpaling dalam apa jua keadaan sekalipun.
Adapun dalam kita beristiqamah, walaupun dengan amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih afdhal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tetapi hanya sekali-sekala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda menjelaskan bahawa amalan yang paling baik dan dikasihi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah amalan yang berterusan. Ataupun istiqamah walaupun sedikit. Daripada Aisyah Radiallahu Anha bahawa pada suatu malam Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam mengambil tikar yang diperbuat daripada pelapah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam, dan di waktu siang baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orang pun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutinya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam datang dan menemui mereka lalu bersabda: “Wahai kalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawa sanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Jemaah yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya orang yang istiqamah dalam beribadah, beramal kebajikan, berakhlak mulia dan mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Fusilat ayat 30 tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian maka malaikat akan turun kepada mereka (sambil berkata) : “Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
Daripada ayat Al-Qur'an tersebut, terdapat beberapa hikmah yang terkandung dalam istiqamah, antaranya:
Pertama: Seseorang yang istiqamah dalam beriman dan dalam amal ibadatnya akan selalu didatangi oleh para malaikat dan itu adalah satu keuntungan disebabkan malaikat itu membawa rahmat.
Kedua: Seseorang yang istiqamah, tidak mudah berasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Ketiga: Orang yang istiqamah tidak mudah berasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia merasa semua itu adalah memang milik Allah Subhanahu Wata'ala.
Keempat: Mereka yang istiqamah juga akan mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Agama kita menuntut umatnya untuk sentiasa beristiqamah dalam melakukan amal kebajikan. Oleh itu, apa yang kita amalkan dan kerjakan di sepanjang bulan Ramadhan seperti mengerjakan sembahyang-sembahyang suna, bertadarus, berzikir, berdoa, beriktikaf, bersedekah dan seumpamanya, semua itu hendaklah diteruskan dan diamalkan di bulan-bulan yang lain untuk menjadikan pembakar semangat supaya kita terus berusaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Janganlah setelah kita berjuang berhabis-habisan di bulan Ramadhan untuk meraih ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala, tetapi apabila kita memasuki bulan Syawal dan bulan-bulan lain, kita kembali untuk melakukan dosa dan maksiat di dalamnya.
Perlu diketahui, bahawa istiqamah merupakan salah satu sifat yang mulia lagi terpuji yang sangat dituntut oleh Allah Subhanahu Wata'ala agar kita sentiasa taat kepadaNya, itulah istiqamah yang ditekankan dalam kitab suci Al-Qur'an, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Hud ayat 112 yang tafsirnya:
Maka hendaklah engkau (wahai Nabi Muhammad) sentiasa beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang benar) sebagaimana yang diperintahkan kepada mu, dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui. Sesungguhnya Dia Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Memandangkan istiqamah itu mempunyai banyak kebaikan, ditambah pula dengan ganjaran yang sangat banyak, maka beristiqamahlah pada setiap amal ibadah dan amalan yang berkebajikan, dan tinggalkanlah perkara-perkara yang munkar.
Mudah-mudahan dalam kita beristiqamah akan dapat membentuk diri kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah, dengan berlalunya bulan Ramadhan bukan bererti apa yang kita lakukan di bulan Ramadhan itu turut berakhir dan terhenti. Semoga segala ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat berkat, rahmat dan inayah daripada Allah Subhanahu Wata'ala, Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Ali-Imran ayat 133 tafsirnya:
Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu) kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

​ 


Attachments