Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

TINGKATKAN AMALAN MEMBACA AL-QUR’AN DI BULAN RAMADHAN

Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Salah satu sejarah Islam terbesar yang berlaku di bulan Ramadhan adalah peristiwa turunnya Al-Qur’an sebagai petunjuk dan pedoman kepada umat manusia. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ad-Dukhan ayat 3 tafsirnya:
“Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Qur’an itu pada malam yang berkat. Sesungguhnya kami ialah pemberi peringatan.”
Al-Qur’an adalah kitab Allah yang bukan sahaja dituntut untuk dibaca, bahkan untuk dijadikan rujukan dan panduan bagi semua perkara dalam kehidupan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Jasiyah ayat 20 tafsirnya:
“Al-Qur’an ini menjadi panduan bagi manusia dan petunjuk serta rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenaran).”
Jemaah yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah di negara kita, membaca Al-Qur’an sudah menjadi amalan harian di kalangan masyarakat Islam sama ada secara bersedirian atau berkumpulan. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini, amalan membaca lebih giat dilaksanakan terutama dengan mengadakan aktiviti membacanya secara berkumpulan.
Terdapat beberapa faedah pembacaan Al-Qur’an secara kumpulan yang biasa dilaksanakan dikalangan masyarakat kita, antaranya adalah pembacaan Al-Qur’an yang dilaksanakan dengan cara bergilir-gilir dan saling memperdengarkan bacaan masing-masing, iaitu bertadarus. Setiap ahli kumpulan akan membaca sambil didengar dan diperbetulkan bacaannya oleh ahli-ahli lain jika ada sebarang kesalahan. Setelah selesai bacaan tiga puluh juzuk, maka majlis khatam Al-Qur’an akan diadakan.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Kelebihan dan fadhilat membaca Al-Qur’an secara berkumpulan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan amalan yang biasa dilakukan oleh para salaf dan kholaf dari kalangan para sahabat dan tabi’in. Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: “Tidakkah sekelompok orang berkumpulan di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Qur’an melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat dan di kelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka kepada malaikat-malaikat yang berada disisinya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Berdasarkan hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa membaca Al-Qur’an secara kumpulan adalah amalan yang digalakkan. Secara praktikalnya aktiviti membaca Al-Qur’an dengan cara begini biasanya dilakukan sekurang-kurangnya oleh dua orang pembaca atau dalam kumpulan yang lebih ramai.
Setiap orang akan membaca dan memperdengarkan bacaan masing-masing dengan menjaga lafaz atau sebutan ayat-ayat Al-Qur’an, sementara yang mendengar pula berkewajipan untuk mendengar dan menyemak bacaan tersebut. Sekiranya terdapat kesilapan atau kesalahan dalam bacaan, maka orang yang mendengar dan menyemak akan segera memperbetulkannya.
Sesungguhnya fadhilat serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada orang yang membaca Al-Qur’an itu menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjadikan Al-Qur’an sebagai amalan harian. Ada yang mengambil inisiatif mengumpul keluarga atau kawan-kawan dan menubuhkan kumpulan khusus untuk membaca Al-Qur’an dan membahagikan juzuk-juzuk atau ayat-ayat Al-Qur’an di kalangan mereka untuk dibaca sehingga selesai.
Apa lagi adanya kemudahan telekomunikasi melalui aplikasi serta Whatsapp atau Telegram, kumpulan membaca Al-Qur’an mudah ditubuhkan dan hasil bacaan cepat dikemaskini setiap waktu.
Pembahagian juzuk-juzuk atau ayat-ayat Al-Qur’an dibaca dengan cara berasingan atau bersendirian di tempat masing-masing dan tidak memperdengarkan kepada ahli yang lain.
Pembahagian cara begini tidak menjadi suatu kesalahan, bahkan ia merupakan perkara yang baik dan berkebajikan untuk dilaksanakan bagi memperoleh fadhilat dan ganjaran pahala membaca Al-Qur’an. Selain itu, cara sedemikian dilihat sebagai salah satu usaha untuk mengalakkan orang ramai lebih giat membaca atau memperbanyak bacaan Al-Qur’an serta menjadikannya sebagai amalan harian.
Walau bagaimanapun aktiviti seperti ini, iaitu membaca Al-Qur’an berkumpulan dengan cara membahagikan bacaan Al-Qur’an mengikut juzuk masing-masing tanpa membaca 30 juzuk dan tanpa mendengar bacaan ahli kumpulan yang lain, adalah tidak dikira sebagai khatam Al-Qur’an, kerana tidak ada sesiapapun daripada mereka yang telah menghabiskan pembacaan Al-Qur’an atau membaca dan mendengar bacaan rakan mereka dalam kumpulan sehingga selesai tiga puluh juzuk, malah mereka hanya membaca secara bersendirian sebahagian dari Al-Qur’an sahaja.
Maka jika setiap ahli kumpulan itu mahu mencapai khatam Al-Qur’an, semua ahli kumpulan hendaklah membaca semua juzuk dari juzuk 1 sehingga juzuk 30, dan bukannya dengan cara membahagikan juzuk tersebut.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadhan ini adalah masa yang terbaik untuk kita lebih mendekati Al-Qur’an. Inilah masanya kita berusaha untuk khatam Al-Qu’ran dengan cara dan faedah yang sesuai. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjadikan amalan membaca Al-Qur’an sebagai budaya atau gaya hidup seharian. Bukan sahaja kita membacanya dengan tertil dan fasih, tetapi juga memahami dan meneliti isi kandungan yang terdapat di dalamnya untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Dengan yang demikian, Al-Qur’an itu akan mampu menjadi ubat dan penawar, menjadi panduan dan petunjuk, menjadi jawapan dan penyelesaian kepada segala permasalahan. Sesungguhnya amalan membaca Al-Qur’an dan sekaligus mengamalkan isi kandungannya adalah jalan ke arah kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Surah Fathir ayat 29 tafsirnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca kitab Allah (Al-Qur’an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami kurniakan kepada mereka sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara berterang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang sekali-sekali tidak akan rugi.”​

Attachments