Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

PENGAJARAN DARI PERISTIWA ISRA’ DAN MI’RAJ

​Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Ketika ini kita sedang berada di bulan Rejab, bulan yang terdapat di dalamnya satu peristiwa penting dan bersejarah dalam takwim Islam iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah merupakan salah satu tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala yang diperlihatkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam. Tanpa iman yang kukuh di hati, sudah tentu amat sukar untuk diterima akan kebenarannya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-Israa’ ayat 1 tafsirnya:

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (Baitul Muqaddis di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya supaya kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Lihatlah wahai kaum muslimin, betapa bernilainya peristiwa ini di dalam Islam sehingga terdapat satu surah di dalam Al-Qur’an dengan nama surah Al-Israa’. Ulamak bersepakat mengatakn perjalanan agung ini berlaku selepas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dilantik menjadi rasul dan sebelum baginda Sallallahu Alaihi Wassallam berhijrah dari Mekah ke Madinah. Allah Subhanahu Wata'ala juga telah berfirman tentang peristiwa Mi’raj iaitu ketika baginda naik ke langit, dalam surah An-Najm ayat 13-18 tafsirnya:

Dan demi sesungguhnya dia telah melihat Jibril (dengan rupa yang asal) sekali lagi. (Iaitu) di Sadratul Muntaha. Di sisi Sadratul Muntaha itu ada Jannatul Maqwa. (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam melihat Jibril) ketika Sadratul Muntaha itu ditutupi oleh sesuatu yang menutupinya. Penglihatannya itu tidak menyimpang (daripada apa yang dilihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda kekuasaan Tuhannya yang sangat besar.

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj benar-benar dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dengan roh dan jasad baginda, dalam keadaan sedar dan bukan hanya igauan mimpi semata-mata. Justeru, kita wajib meyakini dengan sepenuh hati bahawa Isra’ dan Mi’raj adalah benar-benar berlaku kepada baginda Sallallahu Alaihi Wassallam dengan kuasa dan kehendak Allah Subhanahu Wata'ala bagi memperlihatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam perkara-perkara yang mengandungi pengajaran dan yang utama sekali ialah mengenai memfardhukan ibadat sembahyang lima waktu yang kita tunaikan semata-mata kerana Allah, yakni beribadah kepada Allah yang Maha Esa, tidak menyekutukan dengan lain.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu mengandungi makna yang mendalam dan mempunyai maksud yang luas dan lebih umum, bukannya hanya satu sejarah agung yang menjadi ristaan sepanjang zaman. Ia merupakan suatu gambaran beberapa aspek penting dalam kehidupan manusia hari ini dan mengandungi pelbagai pengajaran serta contoh tauladan. Antaranya ialah mengenai kepentingan membersihkan atau mensucikan jiwa atau rohani.

Adapun yang dimaksudkan dengan pembersihan rohani di sini ialah dengan taubat. Ini kerana memang menjadi tuntutan dalam agama supaya kita sentiasa bertaubat. Sesungguhnya hukum bertaubat itu adalah wajib. Kita wajib segera bertaubat daripada segala dosa yang telah kita lakukan.

Contohnya orang yang selalu meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, orang yang pernah mencuri, minum arak dan sebagainya, hendaklah dia segera bertaubat. Tidak boleh dia berkata seperti: “Nantilah kalau sudah tua saya bertaubat.” Atau dia berkata “Nantilah saya bertaubat di depan kaabah.”

Adapun sebab diwajibkan segera bertaubat itu adalah kerana jika dia melalai-lalaikan taubat, ditakuti usia tidak panjang dan dijemput ilahi sebelum sempat bertaubat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Tahrim ayat 8 tafsirnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha...”

Berdasarkan ayat tersebut, Allah Subhanahu Wata'ala telah memerintahkan kita untuk bertaubat dengan taubat yang sebenar-benar taubat, bukannya taubat yang sekadar di mulut sahaja, tetapi taubat yang sungguh-sungguh iaitu taubat nasuha. Taubat nasuha itu ada syarat-syaratnya, jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan, syaratnya ada tiga:

Pertama: Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat yang telah dilakukannya.

Kedua: Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiat itu.

Ketiga: Hendaklah dia berjanji, berazam untuk tidak akan kembali melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka syaratnya ditambah lagi satu syarat, iaitu hendaklah dipulangkan semula hak orang itu dan meminta maaf kepada orang tersebut.

Selain daripada itu, peranan taubat itu juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurniaan taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan seumpamanya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Taubat atau penyesalan itu sebaik-baiknya diikuti dengan melakukan sembahyang sunat taubat dan memperbanyakkan lafaz istigfar. Istigfar ini juga sangat digalakkan untuk kita mengamalkan dan melazimkannya pada setiap hari. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Oleh yang demikian, segala suruhan dan larangan yang diperintahkan kepada kita hendaklah kita patuhi. Walaupun sesuatu perkara itu nampak kecil di mata manusia, janganlah diremeh-temehkan. Sesungguhnya melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh syarak itu adalah perkara besar.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria. Dalam kejadian yang amat dahsyat itu, ribuan orang telah terkorban, manakala bangunan-bangunan dan kemudahan telah runtuh dan musnah, dan mereka yang terselamat pula kehilangan harta benda, tempat tinggal dan orang yang dikasihi. Takziah kita ucapkan kepada negara Turkiye dan Syria. Sesungguhnya kita semua milik Allah Subhanahu Wata'ala dan akan dikembalikan pula kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Adapun bala bencana yang diturunkan adalah sebagai tanda keperkasaan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dengan tujuan sebagai ujian dan peringatan kepada hamba-hambaNya. Pastinya kejadian tersebut adalah ujian yang sangat besar buat saudara-saudara kita di sana. Justeru, marilah kita bermuhasabah dan mendoakan kesejahteraan, keselamatan serta perlindungan buat mereka dan juga untuk kita semua agar Allah Subhanahu Wata'ala melindungi dan memelihara kita dari sebarang bentuk kemudharatan dan musibah yang dahsyat. Bayangkan, gegaran begitu sahaja boleh membawa kemusnahan yang sangat besar apatah lagi keadaannya pada hari kiamat dan huru-haranya kelak dijanjikan lebih dahsyat lagi. Ini menjadi bukti dan petunjuk betapa lemahnya manusia dan agungnya kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Bagi orang yang beriman, akan menerima ujian yang diberikan dengan penuh keredhaan dan kesabaran serta menghadapinya dengan tenang. Sebaliknya mereka yang tidak beriman akan menghadapi dengan rasa kesusahan dan putus asa. Dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi tersebut, kerajaan Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan tabung kemanusiaan gempa bumi Republik Turkiye dan Republik Syia bagi tujuan mengumpulkan derma seangkat-angkat hati dari seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk disumbangkan kepada mangsa berkenaan.

Sehubungan dengan itu, pihak berkenaan telahpun menempatkan tabung-tabung bantuan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat dan tempat-tempat yang telah ditentukan di seluruh negara termasuk sumbangan boleh disalurkan melalui SMS Brunei Prihatin. Ia adalah bagi kemudahan rakyat negara ini ikut serta menghulurkan derma mereka. Mudah-mudahan amal yang kita lakukan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesengsaraan dan penderitaan yang mereka tanggung.

Surah Al-Ankabut ayat 2-3 tafsirnya:

Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan (hanya) berkata “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah Mengetahui orang-orang yang benar beriman dan sesungguhnya Dia Mengetahui orang-orang yang berdusta.

Attachments