Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

HINDARI AMALAN BERHUTANG

​Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Amalan berhutang kini menjadi keperluan dalam sebahagian kehidupan manusia. Antaranya untuk membiayai pembelian rumah kediaman, kenderaan, tanah, modal menjalankan perniagaan dan pelbagai keperluan-keperluan lain. Dari sudut syarak, Islam mengharuskan untuk berhutang kerana ia merupakan salah satu bentuk muamalat dalam Islam. Namun bagi tujuan yang memberikan manfaat dan hendaklah dengan syarat ia dijalankan berdasarkan syariat.

Namun dalam masa yang sama, Islam sebagai agama yang sempurna juga mengajar umatnya bagaimana cara mengurus pendapatan dan perbelanjaan dengan betul iaitu dengan bersederhana. Kerana itu, jika kita menghayati dan mengikuti ajaran agama kita dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan, maka sudah pasti kita tidak akan terjebak dan terbelenggu dalam beban hutang yang banyak. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 67 tafsirnya:

Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka itu adalah sederhana antara kedua-duanya.

Walaupun agama kita tidak melarang umatnya berhutang akan tetapi berhutang itu bukanlah suatu perkara yang digalakkan. Kerana itu, agama Islam menasihatkan umatnya agar menghindari amalan suka berhutang.

Oleh yang demikian, sekiranya kita terpaksa juga berhutang, maka kita hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang tersebut. Bukan sewenang-wenangnya berhutang, akan tetapi apabila tiba masa untuk membayar pula, kita selalu bertangguh-tangguh dan adakalanya langsung tidak mahu membayar sehingga menyebabkan perkelahian dan permusuhan.

Perlu diingat, hutang adalah janji yang telah dimeterai. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan bagi orang yang berhutang untuk membayar hutangnya atau memulangkan harta tersebut. Dan haram hukumnya sekiranya ingkar untuk melunaskannya. Akan tetapi tidak dinafikan terdapat juga segelintir orang yang berhutang dan tidak dapat membayar hutangnya disebabkan sumber kewangan yang kurang mencukupi.

Walau bagaimanapun mereka hendaklah sentiasa berusaha dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menjelaskan semua hutang yang ada. Ini kerana, Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang-orang yang ingin melunaskan atau melangsaikan hutangnya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Siapa yang mengambil harta manusia (berhutang) disertai maksud akan membayarnya maka Allah akan membayarkannya untuknya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud merosakkannya (merugikannya) maka Allah akan merosakkan orang itu. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Selain itu, orang yang berhutang juga wajib memaklumkan kepada ahli warisnya agar hutangnya dibayar sekiranya beliau meninggal dunia dan belum sempat melunaskan hutangnya. Ini kerana dosa hutang tidak akan diampunkan Allah selagi tidak dijelaskan.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat beberapa sebab ataupun punca kenapa seseorang itu dilimpahi tanggungan hutang sehingga akhirnya dia sendiri tidak mampu membayarnya atau keberkatan untuk melunaskannya walaupun sebenarnya dia mempunyai kemampuan. Antaranya:

Pertama: Kurang iman, kurang pengetahuan agama dan kurang ketaatan untuk mengikut syariat.

Kedua: Terlalu terikut-ikut dengan trend semasa.

Ketiga: Terlalu banyak berhutang walaupun untuk perkara-perkara yang tidak penting dan tidak diperlukan.

Keempat: Berhutang bagi tujuan bermewah-mewah atau suka menunjukkan kemewahan.

Kelima: Suka melenggah-lenggahkan membayar hutang sedangkan dia sudah mampu melunaskannya.

Keenam: Hutang yang bertindih-tindih sedangkan hutang-hutang yang sebelumnya belum lagi selesai dilunaskan.

Ketujuh: Berhutang dalam kadar yang dia sendiri tidak yakin akan mampu melunaskannya kembali.

Kelapan: Berhutang untuk perkara-perkara haram dan ditegah.

Kesembilan: Kurang bijak dalam mengatur perbelanjaan serta kurang bijak menilai yang mana lebih utama.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda ada mengajarkan doa supaya dilindungi dari hutang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu berkata, Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam sentiasa berdoa: Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kegundahan dan dukacita, ke tidak mampuan dan kemalasan, sifat pengecut dan kikir serta terlilit hutang dan terkuasai oleh orang-orang (yang berbuat zalim).

Jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat adab-adab yang boleh kita ikuti supaya dipermudahkan untuk melunaskan hutang dan tidak terhimpit dengan tanggungan hutang, antaranya:

Pertama: Hanya berhutang sekiranya benar-benar terpaksa bagi keperluan yang penting dan tidak dapat dielakkan.

Kedua: Mengelakkan menambah hutang sebelum terlunas hutang-hutang yang terdahulu.

Ketiga: Sekiranya telah tiba tempoh pembayaran yang disepakati tetapi kita belum mampu untuk melangsaikan hutang tersebut, maka hendaklah berbincang dengan elok untuk meminta penangguhan.

Keempat: Memberi maklumat kepada pemiutang dari semasa ke semasa dan memberi maklum balas dan tidak mengelak apabila dihubungi, tidak melarikan diri dan sentiasa berlaku baik kepada pemiutang. Janganlah disebabkan belum mampu untuk membayar hutang, si pemiutang dilayang bagaikan musuh atau orang asing.

Kelima: Merancang perbelanjaan dengan teliti dan mengutamakan keperluan-keperluan utama dan meninggalkan keinginan-keinginan yang tidak penting.

Keenam: Menanamkan sifat qanaah. Sebagai orang Islam, biarlah kita hidup dengan sifat qanaah iaitu hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian.

Akhirnya, sayugia sebagai peringatan kepada kita semua agar tidak terjebak dengan hutang-piutang yang banyak, maka kita hendaklah mengukur baju di badan sendiri, janganlah kita mudah terpengaruh dengan budaya hidup yang serba mewah kerana kita hidup di dunia yang fana ini biarlah berpada-pada dan bersederhana. Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu menurut kata hati dan hawa nafsu kerana berhutang itu memanglah mudah dan senang akan tetapi membayarnya pula adalah amat berat dan sangat susah.

Surah Al-Baqarah ayat 283 tafsirnya:

Dan jika kamu sedang musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedang kamu tidak mendapati pencatat maka hendaklah diadakan barang jaminan untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (saksi-saksi) menyembunyikan perkara-perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya dia ialah orang yang berdosa hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Attachments