Muslimin yang dirahmati
Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan
melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di
dunia dan selamat di akhirat. Dan khasnya dalam bulan Ramadhan ini, bulan mulia
dengan peluang-peluang yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala bagi kita
beramal ibadah dan amal khairat untuk meraih pahala yang berganda sambil
memohon ampunan dan redha Allah Subhanahu Wata'ala. Kerana itu, di samping kita
menunaikan kewajipan ibadah puasa, kita tingkatkan lagi amal ibadah kepada Allah
Subhanahu Wata'ala kerana segala segala amal ibadah yang dikerjakan di bulan
ini dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat ganda, maka kita rebutlah peluang
ini dengan memperbanyakkan membaca Al-Qur’an, berzikir, berdoa, beristigfar,
bersedekah dan sebagainya.
Di bulan Ramadhan yang mubarak ini, ramai
di kalangan kita mengambil kesempatan menziarahi tanah perkuburan. Amalan
menziarahi kubur adalah amalan yang mulia lazim dilakukan di negara ini. Amalan
tersebut semakin bertambah bila tibanya Ramadhan dan di pagi Hari Raya
Aidilfitri.
Menziarahi tanah perkuburan merupakan satu
aamalan yang dituntut oleh syarak dan ia adalah satu jalan yang paling berkesan
untuk menimbulkan rasa zuhud iaitu meninggalkan keseronokan dunia dan
mengingati akan kematian. Ingatlah, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara,
akhirat jugalah yang kekal abadi. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam
yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah:
عن ابن مسعود
رضى الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: كنت نهيتكم عن زيارة القبور،
فزوروها. فإنها تزهد فى الدنيا، وتذكر الآخرة
Maksudnya:
Daripada Ibnu Mas’ud
Radiallahu Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Pada mulanya aku
melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana
sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan (menjadikan hidup tidak
dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia) dan mengingati akhirat.
Menziarahi kubur juga adalah salah satu
cara untuk kita mendoakan orang yang telah meninggal dunia sama ada kepada
kedua ibubapa, anak-anak, saudara-mara dan muslimin-muslimat yang telah kembali
ke rahmatullah agar mereka sentiasa dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah
Subhanahu Wata'ala. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عن أبى هريرة
رضى الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إذا مات الإنسان انقطع عنه
عمله الا من ثلاثه: إلا من صدقة جارية، او علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعوله.
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu,
bahwasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Apabila seseorang
manusia itu mati, akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga
perkara: sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak
yang soleh yang mendoakan baginya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam kita hendaklah mematuhi
dan menjaga adab-adab ketika menziarahi kubur. Antaranya:
Pertama: Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita
berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
Kedua: Apabila kita sampai ke tanah perkuburan,
disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dengan iringan
doa, antaranya:
Assalamualaikum sekalian saudara-saudara
penghuni kubur! Mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan kepada kamu
saudara-saudara sekalian. Sesungguhnya kami In sya Allah akan menyusuli kamu,
kami memohon kepada Allah untuk kita semua yang masih hidup dan yang sudah
kembali ke rahmatullah akan beroleh kesejahteraan.
Ketiga: Tidak berbual dengan percakapan kosong
yang tidak berfaedah semasa berada di tanah perkuburan.
Keempat: Haram melakukan perkara khurafat yang
menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah dengan harapan
semoga memperolehi berkat dan sebagainya.
Kelima: Sunat duduk menghadap ke arah mukanya
serta membaca ayat suci Al-Qur’an seperti membaca surah Al-Ikhlas atau membaca
surah Yaasin dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.
Keenam: Sunat menghadap kiblat ketika berdoa
semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Seperti lazimnya di negara kita, amalan
bersedekah selalu dilakukan selepas ziarah kubur, amalan itu sememangnya amalan
yang baik dan terpuji kerana amalan bersedekah adalah antara sunah Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan
sampai kepada penghuni kubur tersebut. Walau bagaimanapun, janganlah dijadikan
bersedekah di kubur itu suatu kewajipan atau kemestian sehingga membebankan
diri sendiri.
Setelah itu disunatkan pula menjirus air
dan meletakan pelepah yang masih hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih
basah di atas kubur. Semasa berada di tanah perkuburan, kita dilarang memijak
kubur dengan senghaja tanpa keperluan atau hajat, tetapi tidaklah menjadi
kesalahan jika tiada jalan lain dan terpaksa melaluinya. Makruh hukumnya jika
kita duduk di atas kubur yakni bertepatan dengan kedudukan mayat di dalam
kubur. Tetapi tidaklah dilarang jika duduk disekitar atau disekeliling kubur
tersebut.
Sesungguhnya amalan menziarahi kubur
mempunyai tujuan dan hikmahnya tersendiri, antaranya adalah supaya dikasihi
oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebab mengikuti sunah Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam. Selain itu, ziarah kubur juga dapat mengingati
kepada kita asal-usul kejadian kita yang berasal daripada tanah dan kepada
tanah juga kita akan dikembalikan. Dengan penghayatan sedemikian, In sya Allah
akan mengamit rasa hati dan kesedihan yang akan melahirkan kesedaran untuk
melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala laranganNya.
Akhirnya, marilah kita sama-sama
mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian dan persiapan menuju ke alam
barzakh kerana kita tidak mengetahui apakah nasib kita setelah berada di
dalamnya. Oleh itu, tingkatkanlah amal ibadah, carilah keredhaannya agar kita
mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kesan dari
amalan ziarah kubur yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran
kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada Allah
Subhanahu Wata'ala. Semoga ahli kubur dan kita semua mendapat rahmat daripada Allah
Subhanahu Wata'ala dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari siksa kubur
dan azab api neraka. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Jumuah ayat 8:
أعوذ بالله من
الشيطان الرجيم
قُلۡ إِنَّ ٱلۡمَوۡتَ
ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنۡهُ فَإِنَّهُ ۥ مُلَـٰقِيڪُمۡۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ
إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ
تَعۡمَلُونَ
صدق الله العظيم
“Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu
lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu juga, kemudian kamu akan
dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang
nyata, lalu dia akan memberitahu kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan.”