Muslimin
yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala
dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah
orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa
mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia
dan juga di akhirat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat
106 tafsirnya:
“Dan mohonlah ampun kepada
Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih”
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Agama Islam telah
mengajarkan kita beberapa langkah bagi menjernih dan membersihkan hati dan jiwa
kita daripada sebarang dosa dan maksiat iaitu dengan memperbanyakkan zikir,
taubat dan istighfar. Hakikat istighfar dalam agama Islam itu adalah untuk
menundukkan jiwa, hati dan fikiran kepada Allah Subhanahu Wata'ala sambil
memohon ampun kepadaNya dari segala dosa.
Sesungguhnya perintah
bertaubat dan beristighfar itu bukan hanya bagi orang yang berbuat maksiat dan
berbuat dosa semata-mata, malah kita semua adalah dituntut untuk sentiasa
bertaubat dan beristighfar itu serta jangan sekali berputus asa dengan rahmat Allah
Subhanahu Wata'ala. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Zumar
ayat 53-54 tafsirnya:
“Katakanlah (sampaikanlah
firmanKu itu wahai Nabi Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas
terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Dan kembalilah
(bertaubatlah) kepada Tuhan kamu serta berserah dirilah kepadaNya sebelum
datang azab ke atas kamu, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.”
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Terdapat banyak fadhilat
ataupun kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala bagi mereka yang
mengamalkan istighfar. Adapun antara kelebihan istighfar itu ialah:
Pertama: Memperolehi keampunan
daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Kedua: Menyenangkan hati dari
kegelisahan dan gundah-gulananya.
Ketiga: Mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu
Wata'ala.
Keempat: Memperolehi perlindungan Allah Subhanahu
Wata'ala dari tipu daya dan hasutan syaitan.
Kelima: Memperolehi keutamaan dan
anugerah daripada Allah Subhanahu Wata'ala berupa nikmat bagi sesiapa yang
mengamalkan seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang
melimpah. Daripada Ibnu Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wassallam bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya
Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempatan, kesenangan bagi
setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehNya.” (Hadis riwayat Imam
Abu Daud)
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Di dalam Al-Qur’an dan
hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam banyak mengajar tentang doa-doa
yang mengandungi lafaz istighfar yang bertujuan untuk mengharap makfirah atau
pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala antaranya ialah penghulu
istighfar. Daripada Syadad bin Aus Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya istighfar yang paling
baik adalah kamu mengucapkan: Ya Allah adalah tuhanku tiada tuhan melainkan
engkau, engkau menciptakan aku dan aku adalah hambamu, aku tetap pada ikatanmu
dan janjimu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang
aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmatMu kepadaku dan aku mengakui
dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Tiada yang mengampuni dosa-dosa kecuali
Engkau.
Baginda Nabi Sallallahu
Alaihi Wassallam yang bermaksud: Siapa yang beristighfar seperti itu pada siang
hari dengan penuh keimanan kemudian ia mati sebelum waktu malam tiba, maka ia
akan masuk syurga dan siapa yang beristighfar seperti itu pada malam hari
dengan penuh keimanan kemudian dia mati sebelum waktu pagi tiba, maka ia akan
masuk syurga. (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Perlu diketahui, bahawa
istighfar itu sangat penting dalam kehidupan kerana terdapat banyak fadhilat ataupun
kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada sesiapa yang membaca
dan mengamalkan istighfar itu diabaikan apatah lagi dilupakan.
Sedangkan Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam sendiri menjadikan istighfar itu sebagai amalan
harian. Betapa pula kita yang hanya sekadar insan biasa. Walaupun Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam seorang yang maksum atau bebas daripada dosa, baginda
tetap beristighfar setiap hari sebanyak seratus kali agar dipelihara daripada
melakukan perkara-perkara yang menyebabkan dosa, oleh yang demikian, marilah
kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala ,
mudah-mudahan segala taubat dan istighfar kita diterima Allah Subhanahu
Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Nuh ayat 10-12:
“Maka aku berkata (kepada
mereka): “Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha
Pengampun.” “(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan
yang lebat kepada kamu.” “Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia
akan mengadakan untuk kamu kawan-kawan serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai
(yang mengalir di dalamnya).”