Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT DAERAH BELAIT TAHUN 1445H / 2023M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Kuala Belait, Khamis, 12 Rabiulawal 1445H bersamaan 28 September 2023M–Sejumlah 2,296 peserta terdiri daripada 35 pasukan menyertai Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Belait bagi Tahun 1445H/2023M yang diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait.
Pasukan yang menyertai adalah daripada ahli-ahli jawatankuasa, pasukan-pasukan beruniform, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, sekolah-sekolah menengah dan Arab, masjid, surau, balai ibadat, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta persatuan-persatuan di Daerah Belait.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait.  Diikuti dengan bacaan intisari oleh Yang Mulia Awang Mohd Sufri Kamaluddin bin Morsidi, Guru Ugama Terlatih, Sekolah Ugama Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof, Lorong 3 Selatan, Seria.
Tazkirah Khas berkisar mengenai tema Sambutan Maulud pada tahun ini iaitu “Sunnah Dihayati, Hidup Diberkati"  disampaikan oleh Yang Mulia Dr Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Pensyarah dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Setelah itu, Tetamu Khas diperkenalkan kepada ketua-ketua pasukan dan seterusnya menyampaikan Sijil Penyertaan kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dengan diiringi persembahan Tausyeh daripada murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Faizal bin Haji Abdullah.  Menyerikan lagi  majlis, persembahan Dikir Marhaban daripada kumpulan yang terdiri daripada kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Daerah Belait.
Manakala bacaan Sayyidul Istighfar, Doa Selamat dan diikuti dengan laungan Selawat sebanyak 3 kali dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Teraban, Kuala Belait, Yang Mulia Awang Muhammad Nor Islam bin Mohd Suria.
Perarakan mengelilingi Pekan Belait sejauh 3.4KM didahului oleh pasukan yang diketuai oleh Tetamu Khas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Sambutan dan kemudiannya diikuti oleh pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.


Attachments