Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASSALAM PERINGKAT NEGARA TAHUN 1445H

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Rabiulawal 1445H bersamaan 28 September 2023M–Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengepalai perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II. Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abd Rahman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah.

Ini diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh Gabungan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri ; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan sebaik sahaja sampai kepada 'Ya Habibi' tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Manakala Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat mengepalai bacaan Selawat yang menandakan perarakan akan dimulakan.

Pada tahun ini seramai 5,037 orang menyertai perarakan terdiri daripada 87 pasukan dalam 5 kategori iaitu pasukan tidak bernombor; kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan; institusi pengajian tinggi, maktab, sekolah menengah, sekolah arab, sekolah menengah swasta; kampung-kampung dan masjid; dan persatuan serta sektor swasta.

Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah turut diadakan secara serentak di keempat-empat daerah. Di Daerah Belait sambutan diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait. Hadir selaku Tetamu Khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha. Di Daerah Tutong pula, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah diadakan di Kawasan Lapang berhadapan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. Hadir selaku Tetamu Khas ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Sementara itu di Daerah Temburong, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1445 Hijrah diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong. Hadir selaku Tetamu Khas ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abd Abdul Manaf bin Haji Metussin.










 

 

 

 

​Foto: i-Ready BPAAM


Attachments