Muslimin yang dirahmati
Allah,
BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan
sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya
orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang
paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah
Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di
akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Harta merupakan amanah daripada Allah
Subhanahu Wata'ala untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan bukannya untuk
dipersiakan. Oleh itu, agama Islam telah mengajurkan kepada kita cara
berbelanja dan mengurus harta itu dengan betul iaitu dengan penuh bijaksana,
bersederhana dan tidak berlebih-lebihan ataupun membazir.
Perlu diingat, bahawa agama kita melarang
dan menegah umatnya daripada perbuatan membazir. Sesungguhnya orang yang
membazir itu diungkapkan daripada Al-Qur’an sebagai saudara syaitan dan syaitan
itu pula amat suka kepada orang yang boros dan membelanjakan harta mereka
mengikut hawa nafsu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Isra’ ayat
26 dan 27 tafsirnya:
“Dan janganlah engkau membazir
(membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syarak) sesungguhnya orang-orang
yang membazir (membelanjakan) harga pada jalan yang menyalahi (syarak) itu
ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada
Tuhannya.”
Jemaah yang dirahmati Allah,
Berbelanja bagi memenuhi keperluan kita itu
tidaklah salah, akan tetapi kita hendaklah melakukannya menurut kemampuan dan
mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan dan hawa nafsu. Oleh itu,
kita perlu membuat perubahan sikap dengan menerapkan inisiatif baharu dalam hal
ehwal pengurusan kewangan kita, iaitu:
Pertama: Muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya
hidup iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan pada keperluan sahaja.
Kedua: Elakkan diri daripada berhutang lebih-lebih
lagi berhutang bagi perkara-perkara tidak berfaedah dan tidak penting.
Ketiga: Mengamalkan budaya menabung. Ini kerana
amalan menabung bukan sahaja dapat mendidik diri kita untuk berjimat-cermat,
akan tetapi apa yang paling penting ialah amalan menabung itu dapat membantu
ketika kita menghadapi situasi kecemasan dari segi kewangan tanpa perlu
berhutang ataupun meminta bantuan daripada orang lain seperti jika berlaku
hal-hal kecemasan, keperluan yang mendesak bagi perbelanjaan pendidikan
anak-anak, membaiki kereta rosak dan seumpamanya.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Harta yang kita miliki itu bukanlah hak
milik mutlak kita semua, akan tetapi terdapat juga hak orang lain di dalamnya
yang perlu kita tunaikan. Justeru, agama kita menggalakkan umatnya supaya
melaksanakan konsep tolong-menolong dan bantu-membantu iaitu dengan
mengeluarkan zakat, bersedekah, berwakaf, membantu fakir miskin, menolong
anak-anak yatim dan seumpamanya, kerana dengan yang demikian akan dapat
menimbulkan sifat hotmat menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama
lain tanpa mengira darjat, keluarga, rakan, jiran sama da kita kenali ataupun
tidak.
Sesungguhnya infak atau membelanjakan harta
di jalan Allah Subhanahu Wata'ala seperti bersedekah dapat membantu dan melatih
jiwa kita untuk menjadi orang yang sentiasa berbuat baik, prihatin, belas
kasihan, jauh dari sifat sombong dan seumpamanya. Firman Allah Subhanahu
Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 272 tafsirnya:
“Dan kamu tidak pula membelanjakan
(sesuatu) melainkan kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan apa jua harta yang
kamu belanjakan, akan disempurnakan (ganjaran pahalanya) kepada kamu. Dan kamu
pula tidak dianiayai (tidak dikurangkan pahala).”
Akhirnya, amalkan sikap bijaksana dan
bersederhana dalam berbelanja dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah
Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rahmat yang berterusan, nikmat yang
berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayahnya supaya kita dapat hidup
dengan bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Hadid ayat 7 tafsirnya:
“Berimanlah kepada Allah dan rasulNya, dan
belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta kurniaannya yang
dijadikan kamu sebagai penguasanya. Maka orang-orang yang beriman antara kamu
dan membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah), mereka
beroleh pahala yang besar.”