Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

LAZIMKAN DIRI DENGAN ISTIGHFAR

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana diberi kesempatan berada di tahun baharu 1440 hijrah. Dengan kedatangan tahun baharu ini mudah-mudahan kita akan lebih istiqamah dalam mentaati perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Ketahuilah, hidup di dunia ini adalah sementara dan akhiratNya. Ketahuilah, hidup di dunia ini adalah sementara dan akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Oleh itu, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadah sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hasyr ayat 18:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٌ۬ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٍ۬‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Agama Islam telah mengajarkan beberapa langkah yang patut kita lakukan dalam membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang dosa dan maksiat seperti memperbanyakkan zikir dan istighfar. Ketahuilah, sesungguhnya jika seseorang hamba itu sering melakukan dosa dan maksiat, maka perbuatannya melakukan dosa dan maksiat itu akan menjadi penghalang dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan ia lebih cenderung lagi untuk menghampirkan diri kepada perkara-perkara munkar dan maksiat. Oleh itu, perbanyakkanlah taubat dan istiqfar kerana dengan istiqfar boleh menjadi jiwa, hati dan fikiran tunduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala untuk memohon ampun ke atas segala dosa yang telah dilakukan. Dan Allah Subhanahu Wata'ala telah memerintahkan hamba-hambaNya supaya sentiasa beristighfar dan memohon keampunan kepadaNya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mukmin ayat 55:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَٱسۡتَغۡفِرۡ لِذَنۢبِكَ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ بِٱلۡعَشِىِّ وَٱلۡإِبۡڪَـٰرِ

صدق الله العظيم

“Dan mohonlah keampunan bagi dosamu serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya banyak fadhilat atau kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala bagi mereka yang mengamalkan istighfar. Antaranya:

Pertama: Memperolehi kecintaan Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 222:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Kedua: Allah Subhanahu Wata'ala memberi nikmat dengan kurniaanNya yang berupa keluasan rezeki dan kesenangan hidup, sebagaimana dalam sebuah hadis:

عن ابن عباس رضى الله عنهما، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من لزم الإستغفار جعل الله له من كل ضيق مخرجا، ومن كل هم فرجا، ورزقه من حيث لايحتسب {رواه الإمام أبو داؤد}

Maksudnya:

Daripada Ibni Abas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya.

Ketiga: Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyesali atas segala perbuatannya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam tentang doa-doa yang mengandungi lafaz istighfar antaranya ialah penghulu istighfar. Daripada Syadad bin Aus Radiallahu Anhu daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya istighfar yang paling baik adalah kamu mengucapkan:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ.

Maksudnya:

Ya Allah Engkau adalah Tuhanku tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.”

Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam: Siapa yang beristighfar seperti itu pada siang hari dengan penuh keimanan kemudian ia mati sebelum malam tiba, maka ia akan masuk syurga dan siapa yang beristighfar seperti itu pada malam hari dengan penuh keimanan kemudian dia mati sebelum pagi tiba, maka ia akan masuk syurga. (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Walaubagaimana terdapat juga lafaz doa dan istighfar yang mudah dan sering digunakan seperti:

Pertama: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Ertinya:

Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan kecuali Dia, yang tetap hidup dan kekal dan aku bertaubat kepadaNya.

Kedua: رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأبْرَار

Tafsirnya:

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti yang banyak berbuat kebajikan.

Ketiga: رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الخَاسِرِينَ

Tafsirnya:

Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang rugi.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Perintah taubat dan istighfar itu bukan hanya bagi orang yang berdosa, malah kita semua dituntut untuk sentiasa bertaubat dan beristighfar serta jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala surah Az-Zumar ayat 53-54:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ (٥٣) وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُ ۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (٥٤)

صدق الله العظيم

“Katakanlah (sampaikanlah firmanku ini wahai Nabi Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih. Dan kembalilah (bertaubat) kepada Tuhan kamu serta berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab ke atas kamu, kemudian kamu tidak dapat akan diberi pertolongan.”

Sesungguhnya istighfar itu sangat penting dalam kehidupan, maka tidak sewajarnya ia diabaikan apatah lagi dilupakan. Oleh itu, marilah kita sentiasa beristighfar pada setiap masa dan ketika serta berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala, mudah-mudahan segala taubat dan istighfar kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan memperolehi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Nuh ayat 10-12:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارً۬ا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارً۬ا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٲلٍ۬ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡہَـٰرً۬ا (١٢)

صدق الله العظيم

“Maka aku berkata (kepada mereka): Memohon ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Jika kamu berbuat demikian, nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu. Dan Dia memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

Attachments