TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
KONVOKESYEN KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
KALI KE-5
TAHUN 1436 HIJRAH / 2015 MASIHI
PADA HARI SABTU
10 OKTOBER 2015 / 26 ZULHIJJAH 1436
Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil
‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu
‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti
Perguruan Ugama Seri Begawan Kali Ke-5 pada pagi ini.
Beta dengan amat sukacita
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan, di atas kejayaan
mereka menamatkan pengajian masing-masing.
Perlu diingat, KUPU SB adalah
ibarat kilang untuk mendapatkan penghasilan yang terbaik. Ini sangat
bersesuaian, nisbah dengan namanya sendiri yang disandarkan kepada ugama.
Atas nama ugama itu, KUPU SB
adalah pemegang amanah utama bagi melahirkan sumber tenaga yang benar-benar
‘arif ugama.
‘Arif ugama di sini termasuklah
ilmu itu perlu mantap di dada, dan jika ia tumpah di atas kertas pun masih saja
seperti itu juga.
Kita tidak mahu ilmu ugama itu
dibayangi oleh budaya semasa, kerana budaya bukanlah ugama, lebih-lebih lagi
jika budaya itu memang bertentangan dengan ugama.
Termasuk juga di sini
penggunaan-penggunaan kaedah atau istilah, yang asalnya datang daripada orang lain,
hendaklah dipastikan ianya tidak menyalahi ugama.
Kerana kita tahu, orang ugama pun
kadang-kadang tidak menghayati nilai-nilai ugama, seperti turutan-turutan
membuang kupiah, dan jika menulis buku atau kajian dan lain-lain, tidak mahu
mengikut sunnah, seperti memulai dengan Bismillah.
Ini semua jika berlaku kepada
KUPU SB, tidak diragukan lagi ianya adalah satu tragedi.
Semua graduan dan guru ugama
perlu ingat, bahawa ilmu dan pengalaman berharga yang mereka perolehi adalah
amanah untuk dicurahkan kepada masyarakat.
Sebagai motivasi, negara telah
memperkenalkan Skim Perkhidmatan Guru (SPG) kepada guru-guru, semenjak beberapa
tahun yang lalu. Namun kita masih lagi belum mendengar tentang Skim
Perkhidmatan Guru Ugama. Oleh itu, ada baiknya jika perkara ini diambil
perhatian oleh pihak berkenaan.
Dalam era serba mencabar ini,
semua orang khasnya anak-anak adalah sentiasa terdedah kepada pengaruh-pengaruh
negatif, yang menjadi punca utama berlakunya pelbagai gejala sosial.
Masalah ini tidak boleh tidak,
menjadikan peranan guru ugama adalah semakin diperlukan.
Kita tidak boleh lagi berfikir
secara mundur ke belakang, tetapi kita perlu berfikir jauh lebih maju ke
hadapan.
Bermacam-macam jenis penyakit
sedang menyerang, termasuk penyakit yang sangat payah dikawal yang bernama
‘penyakit rohani atau akhlak’. Penyakit ini begitu cepat berkembang, memerlukan
kebolehan atau kepakaran luar biasa untuk merawat dan bahkan mencegahnya.
Duduk paling depan sekali ialah
guru-guru ugama, dan inilah tujuan KUPU SB ditubuhkan untuk melahirkan
guru-guru ugama yang berkualiti, yang mempunyai kebolehan atau kepakaran dalam
mendidik dan mentarbiah anak bangsa.
Mereka tidak dapat lagi mengelak
tanggungjawab ini. Inilah kerja asasi mereka. Malah inilah perjuangan suci mereka.
Beta sangat gembira mengetahui
bahawa KUPU SB sedang menyusun semula program dan kurikulumnya supaya lebih
relevan dan efektif dalam konteks latihan perguruan. Ini memang penting, untuk
tujuan mengemas dan melengkapkan diri.
Beta juga mengambil maklum dengan
kegiatan-kegiatan intelektual dan kebajikan KUPU SB, di dalam dan luar negara,
seperti pertukaran pelajar dan kegiatan dalam Consortium of Asia-Pacific
Education Universities dan Asia-Pacific University-Community Engagement Network
serta juga merindangkan lagi hubungan persefahaman dan kerjasama dengan
pusat-pusat pengajian tinggi luar negara.
Apa yang Beta harapkan, KUPU SB
bukan sahaja mengambil manfa’at terbaik dari pengalamannya dengan pusat-pusat
pengajian tinggi luar negara, bahkan KUPU SB juga mesti turut menyumbangkan
pengalamannya yang ‘tersendiri’ selaku sebuah institusi Perguruan Islam di
rantau ini.
Menyebut peranan KUPU SB dan guru
ugama dalam pendidikan, belumlah lengkap rasanya kalau tidak disebut juga
peranan ibu bapa. Kerana ibu bapa itu adalah wadah semula jadi untuk mendidik.
Ini dapat dikesan dari hadith
Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassalam yang bermaksud: “Tiada seorangpun dari anak
yang dilahirkan, melainkan keadaannya adalah putih lagi bersih. Lalu kedua ibu
bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”.
Lihatlah, betapa kuat dan
besarnya pengaruh serta budibicara ibu bapa itu. Jika mereka menginginkan putih
untuk anak-anak, maka putihlah anak-anak itu, demikian juga sebaliknya.
Manakala pengaruh dan budibicara para guru pula tidaklah sampai begitu
keadaannya.
Namun dua-dua institusi, ibu bapa
dan guru ini, sangat mustahak untuk berganding bahu melaksanakan tugas dan
tanggungjawab yang besar ini.
Akhirnya, Beta dengan amat
sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada
Pengerusi dan Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, Pegawai-Pegawai
Utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat
dan sumbangan mereka. Semoga mereka mendapat ganjaran lumayan daripada Allah
Subhanahu Wata’ala.
Sekian,
Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.