Kiarong, Ahad, 17 November 2019M-Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong hari ini telah
mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 25 Kali Khatam bagi Ahli Jawatankuasa Takmir
Masjid Surau dan Balai Ibadat seluruh Negara bersempena dengan sambutan Jubli
Perak Jame` `Asr Hassanil Bolkiah Negara Brunei Darussalam. Majlis Khatam
Al-Quran yang dikendalikan oleh Jame` `Asr Hassanil Bolkiah dengan kerjasama
Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Tutong, Belait dan Temburong
ini telah berlangsung di Dewan Sembahyang Lelaki Jame` `Asr Hassanil Bolkiah,
Kampong Kiarong, Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis
tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz
Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal
Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam dan Datin.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran
Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal
Ugama dan Datin; Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya
Maharaja Lela Haji Yussof, Setiausha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan
Datin; Yang Mulia Awang Haji Seruddin bin Haji Timbang, Timbalan Setiausaha
Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri, Pengarah
dan Penolong Pengarah Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan
Pegawai-Pegawai dan Kakitangan yang pernah berkhidmat di Jame` `Asr Hassanil
Bolkiah semenjak 25 tahun yang lalu.
Seramai 750 peserta khatam mengikuti
majlis tersebut yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid,
Surau dan Balai Ibadat dari keempat-empat daerah.

Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan
surah al-Fatihah oleh Tetamu Kehormat Majlis. Di ikuti dengan bacaan
surah-surah lazim beramai-ramai oleh peserta khatam yang dipimpin oleh Yang
Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, diikuti
dengan Bacaan takhtim dikepalai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato
Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat dan doa khatam dibacakan oleh Yang Dimuliakan
Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.
Persembahan dikir marhaban di bawakan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Takmir
Masjid, Jame` `Asr Hassanil Bolkiah. Bagi memberkati majlis Doa Kesyukuran
dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa
bin Haji Murat.
Majlis Khatam Al-Quran 25 Kali
Khatam ini diadakan adalah bagi
menyemarakkan sambutan Jubli Perak Jame` `Asr Hassanil Bolkiah dengan
acara-acara keugamaan dalam menghayati dan mengaplikasikan pengajaran yang
terkandung di dalam kitab suci Al-Quran di dalam kehidupan seharian.
Ianya juga diadakan adalah bagi mengenang
jasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan
Negara Brunei Darussalam yang banyak
berjasa terhadap pembinaan masjid ini dan sebagai satu manifistasi
kesyukuran kehadrat Allah subhanahu watalla diatas penganugrahan seorang raja
yang mementingkan ajaran Islam dalam pentadbirannya dan mewakafkan sebuah
masjid kepada penduduk dan rakyat di Negara ini yang menjadi lambang syiar
Islam bukan saja di Negara Brunei Darussalam bahkan juga di rantau ini
disamping mengeratkan hubungan silaturrahim diantara ahli-ahli Jawatankuasa
Takmir Masjid senegara.



