Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PROGRAM SATU MINGGU SATU JUZUK  MURID-MURID SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV BAGI TAHUN 1447H/2025M

27 November 2025

MAJLIS KHATAM AL-QURAN PROGRAM SATU MINGGU SATU JUZUK MURID-MURID SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV BAGI TAHUN 1447H/2025M

Mulaut, Khamis, 06 Jamadilakhir 1447 bersamaan 27 November 2025–Program Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) mula diperkenalkan di persekolahan Ugama pada tahun 2016 dengan tujuan memperkasa pembacaan Al-Quran dalam kalangan murid-murid sekolah ugama di samping memupuk budaya membaca Al-Quran sebagai amalan harian. 

Program ini merupakan antara usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi melahirkan generasi Brunei yang celik Al-Quran. 

Pada petang tadi, seramai 97 orang murid sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei IV diraikan dalam satu Majlis Khatam Al-Quran setelah berjaya menyempurnakan bacaan 30 Juzuk Al-Quran.  Acara yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JPKSSU) Kawasan Brunei IV itu diadakan di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Mulaut.

Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Ketua Kampung Putat.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam.  Diikuti dengan Doa Khatam yang dibacakan oleh Yang Mulia Awang Emil Kheir Gavino bin Muhammad Allan Hanafi dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam. Acara diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban oleh gabungan guru-guru Ugama Lelaki Kawasan Brunei IV. 

Seterusnya, Tetamu Kehormat menyempurnakan penyampaian Sijil Khatam kepada 51 orang murid lelaki dan 46 orang murid perempuan yang terdiri daripada murid Darjah IV hingga Darjah VI.  Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Murni bin Haji Ibrahim, pegawai di Jabatan Pengajian Islam.​