Bangar, Khamis, 06 Jamadilakhir 1447 bersamaan 27 November 2025–Sekolah Arab Temburong pagi tadi mengadakan Majlis Hari Pelajar bagi meraikan seramai 58 orang pelajar sekolah berkenaan atas pencapaian cemerlang mereka bagi tahun 2025. Majlis mengambil tempat di Dewan Sekolah Arab Temburong.
Selain untuk meraikan kecemerlangan pembelajaran akademik dan Arab serta memberi penghargaan kepada para pelajar yang mencapai kejayaan, penganjuran majlis juga bertujuan untuk memperkukuh budaya kecemerlangan, menanam rasa syukur serta mengeratkan hubungan antara warga sekolah, para ibu bapa dan penjaga serta masyarakat setempat.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pelajar yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Md Asri bin Haji Timbang. Diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan dan lagu rasmi sekolah. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Serikartini binti Haji Omar, Guru Besar Sekolah Arab Temburong.
Acara turut diserikan dengan persembahan dari para pelajar dan kemudiannya penyampaian sijil dan hadiah. Majlis diakhiri dengan Haflut Takharruj bagi para pelajar Tahun 8 yang telah menamatkan pembelajaran mereka di sekolah berkenaan.