Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

HARI APRESIASI KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI MERAIKAN PENCAPAIAN-PENCAPAIAN SEPANJANG TAHUN 2025

27 November 2025

HARI APRESIASI KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI MERAIKAN PENCAPAIAN-PENCAPAIAN SEPANJANG TAHUN 2025

Berakas, Khamis, 06 Jamadilakhir 1447 bersamaan 27 November 2025–Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian yang telah diraih oleh warga Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jabatan-jabatan di bawahnya, dan bagi menghargai perkhidmatan serta jasa baik yang telah dicurahkan oleh pegawai-pegawai serta kakitangan yang bersara, kementerian ini mengendalikan Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Meraikan Pencapaian-Pencapaian Sepanjang Tahun 2025 bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat pada petang tadi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.  Diikuti Ucapan Alu-aluan dan Penghargaan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Dalam ucapannya, antara lain menjelaskan bahawa Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Meraikan Pencapaian-Pencapaian Sepanjang Tahun 2025 merupakan sebuah majlis yang memfokuskan kesungguhan, ketekunan dan dedikasi seluruh warga kementerian dalam menggalas amanah, memperkukuh dan memartabatkan pembangunan keagamaan negara, yang menjadi asas kepada kemakmuran, keharmonian, dan keberkatan Negara Brunei Darussalam."

Seterusnya, Tetamu Kehormat Majlis berkesudian menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para penerima dari Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diraikan.

Sebanyak 166 sijil penghargaan dan cenderamata telah disampaikan kepada para penerima yang terdiri daripada 4 orang Pemenang Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H/2025M dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; 4 orang Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-32 Tahun 2025; 2 orang Penerima Anugerah Guru Cemerlang Sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-35, Tahun 2025; 8 orang Penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) Sempena Sambutan Hari Guru Kali Ke-35, Tahun 2025; dan 148 orang Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang Bersara.

Majlis diakhiri dengan Doa dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Saifullah bin Haji Rosli, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An Na'im Kampung Panchor Mengkubau, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Penganjuran Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama 2025 menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan warga kementerian dalam mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2025. Ia menjadi wadah untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang, memupuk budaya kerja berkualiti serta memperkukuh semangat kerjasama dalam menyokong usaha berterusan kementerian ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan ugama di negara ini.

 

​Foto: SkiPPA BPAAM