Berakas, Rabu, 05 Jamadilakhir 1447 bersamaan 26 November 2025–Ke arah usaha meningkatkan kefahaman mengenai kewajipan sembahyang sebagai tiang agama bagi setiap umat Islam, serta memberi pendedahan tentang kaedah sembahyang bagi golongan yang uzur termasuk sembahyang secara berbaring dan menggunakan isyarat, di samping membimbing penjaga serta ahli keluarga dalam membantu pesakit menunaikan sembahyang lima waktu dengan sempurna, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengungkayahkan Bengkel Kesempurnaan Sembahyang bagi Orang Sakit sempena Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.
Penganjuan bengkel juga bertujuan untuk mengukuhkan kesedaran bahawa ibadah sembahyang tetap wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan, selagi berkemampuan serta menyokong usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkasa syiar Islam melalui pendidikan, latihan, dan bimbingan praktikal.
Seramai 55 orang peserta (20 orang lelaki dan 35 orang perempuan) yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyertai bengkel yang diadakan selama tiga hari berturut-turut, bermula dari 24 November hingga 26 November 2025 di beberapa lokasi terpilih di negara ini.
Adapun perisian bengkel termasuk taklimat mengenai kewajipan sembahyang bagi umat Islam, kaedah sembahyang secara berbaring serta isyarat dan juga peranan penjaga membantu pesakit untuk menunaikan sembahyang lima waktu.
Sehubungan dengan itu, petang tadi diadakan Majlis Penutup Bengkel Kesempurnaan Sembahyang bagi Orang Sakit sempena Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah dengan Penyampaian Sijil dan Penghargaan kepada para peserta dan pembengkel bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Datin Dr. Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syi'ar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Setiausaha Bersama Bengkel Kesempurnaan Sembahyang sempena Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah. Majlis pada petang itu turut diserikan dengan tayangan slide video dan gambar sepanjang bengkel dilaksanakan. Diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta dan pembengkel yang disempurnakan oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Foto: PDI