Bandar Seri Begawan, Rabu, 05 Jamadilakhir 1447 bersamaan 26 November 2025–Sebagai sebuah Negara Zikir yang menekankan konsep Melayu Islam Beraja (MIB), tulisan Jawi menjadi medium penting dalam mengekalkan tradisi, budaya dan identiti Masyarakat Melayu Islam di Negara Brunei Darussalam. Seiring dengan tulisan Rumi, pemeliharan tulisan Jawi amat penting agar warisan berkenaan kekal hidup dan memberi makna kepada generasi akan datang. Oleh itu, dengan mengekalkan tulisan Jawi, Negara Brunei Darussalam bukan sahaja menghargai khazanah warisan tetapi juga memastikan kesinambungan antara budaya dan nilai Islam agar terus terpelihara dalam arus kemodenan.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Bengkel Tulisan Jawi bagi Pegawai-Pegawai, Guru-Guru Sekolah Arab dan Ugama dan Penyampaian Hadiah Tulisan Jawi bagi Pelajar-Pelajar Sekolah Arab dan Ugama Kali Ke-41 Tahun 1447H/2025M bertempat di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat dan diteruskan dengan menyaksikan tayangan video. Diikuti dengan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Dari sejumlah 142 penyertaan oleh para pelajar Sekolah Arab dan Ugama seluruh negara, seramai 32 orang pelajar telah menerima hadiah bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Sementara itu, bagi kategori tenaga pengajar, seramai 10 daripada 22 orang peserta telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang diadakan pagi tadi.
Pertandingan Tulisan Jawi ini diharapkan akan terus menjadi wadah dalam melahirkan generasi muda yang mencintai tulisan Jawi serta menguasai seni penulisannya dengan baik, seiring dengan usaha berterusan mengekalkan warisan bangsa, agama dan negara.