Bengkurong, Rabu, 05 Jamadilakhir 1447 bersamaan 26 November 2025–Bagi meraikan murid-murid yang berjaya menamatkan persekolahan Ugama sehingga lulus Darjah VI dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) serta sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar cemerlang, Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malek, Kampung Bengkurong petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan SSSRU Darjah VI Tahun 2024M, Penyampaian Hadiah Cemerlang Peperiksaan Akhir Tahun 2025, dan Pelancaran Platform Digital Pendidikan bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas.
Seramai 30 orang murid, terdiri daripada 3 orang murid sesi pagi dan 27 orang murid sesi petang, menerima sijil dalam Majlis tersebut. Sementara itu, seramai 33 orang murid dari sesi pagi dan petang turut menerima Hadiah Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Akhir Tahun 2025.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Haji Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah Kawasan Brunei IV, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Sayyidul Istighfar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Yang Mulia Awang Haji Kamirulazman bin Haji Kula, Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malek. Diteruskan dengan ucapan Tetamu Khas Majlis, disusuli dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada murid-murid yang diraikan. Majlis turut diserikan dengan persembahan Tausyeh sebelum menyaksikan pelancaran Platform Digital Pendidikan sekolah berkenaan oleh Tetamu Khas.
Penganjuran majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai hasil usaha gigih murid-murid, di samping dorongan dan sokongan ibu bapa, serta komitmen dan dedikasi para guru dalam memastikan kecemerlangan pendidikan murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Malik.