Temburong, Selasa, 04 Jamadilakhir 1447 bersamaan 25 November 2025–Dalam usaha memupuk budaya pembacaan Al-Quran dalam kalangan para pelajar serta mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, Sekolah Arab Temburong meraikan seramai 34 orang pelajar Sanah 6 dan Sanah 8 yang telah menyempurnakan pembacaan 30 Juzu' Al-Quran dalam satu majlis Khatam Al-Quran yang diadakan petang tadi bertempat di Dewan Sekolah Arab Temburong, Pekan Bangar.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Morsidi bin Ag Tuah, Ketua Unit Sekolah Arab, Bahagian Kenaziran, Jabatan Pengajian Islam.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Sebelum Membaca Al-Quran oleh para peserta Khatam. Diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis. Kemudiannya, bacaan surah-surah terpilih, takhtim serta Doa Khatam. Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Khatam yang disampaikan oleh Tetamu Khas Majlis.
Penganjuran Majlis Khatam Al-Quran di sekolah-sekolah Ugama dan Arab merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memupuk kecintaan para pelajar terhadap Al-Quran, di samping memperkukuh budaya pembacaan, pemahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan generasi muda sekaligus memperkukuhkan syiar Islam di negara ini.