Berakas, Isnin, 19 Jamadilawal 1447 bersamaan 10 November 2025–Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Rabu, 19, 20 dan 21 Jamadilawal 1447 bersamaan 10, 11 dan 12 November 2025 bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pada hari pertama ini, seramai 23 orang peserta terdiri daripada 18 orang Qari dan 5 Qariah memperdengarkan bacaan masing-masing (Pagi dan Petang).
Tetamu Khas pada sebelah pagi ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Manakala sebelah petang, Yang Mulia Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seramai 41 orang peserta (iaitu 32 Qari dan 9 Qariah) yang terpilih telah melalui Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bertempat di Masjid Setia 'Ali, Pekan Muara pada 21, 22 dan 23 Oktober 2025 lalu. Dan, 10 orang (iaitu 5 Qari dan 5 Qariah) sebagai peserta menunggu dari Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah /2025 Masihi.
Manakala 17 orang Qari daripadanya adalah peserta Musabaqah yang mendapat markah 80% ke atas 3 tahun berturut-turut di peringkat Separuh Akhir Kebangsaan; Johan Qari Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Seterusnya, Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Hadiah dan Cenderamata kepada Para Peserta dan Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M akan diadakan pada hari Khamis, 22 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025, pukul 1.45 petang di tempat yang sama.
Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan ini dapat diikuti langsung (livestreaming) melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama @kheu.brunei dan Microsoft Teams https://tiny.cc/kheumusabaqah.
Penganjuran Musabaqah tersebut dihasrat dapat memajukan dan mengembangkan lagi bidang Al-Qur'an serta dapat mendorong masyarakat ke arah celik Al-Qur'an di samping sebagai wadah dan zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memohon kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala untuk perlindungan daripada sebarang kelalaian.








Foto: BPAAM dan SkiPPA