Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 18 Jamadilawal 1447 bersamaan 08 November 2025–Pernahkah kita merenung sejenak betapa besarnya nikmat kesihatan yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala berikan? Ramai antara kita sedar apabila kita jatuh sakit, barulah kita tahu betapa berharganya nikmat kesihatan itu. Sedangkan dalam kehidupan kita seharian, kesihatan inilah merupakan kunci kepada segala urusan, baik urusan dunia seperti pekerjaan mahupun akhirat iaitu beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda: 'Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah nikmat sihat dan masa lapang.' (Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini mengingatkan kita bahawa ramai orang 'rugi' kerana tidak menghargai nikmat kesihatan yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala berikan. Bila kita menjaga kesihatan kita, bukan sahaja badan kita menjadi kuat, tetapi ibadah kita juga akan lebih berkualiti. Dengan tubuh yang sihat kita dapat solat dengan sempurna, berpuasa dengan penuh kesabaran dan dapat berkhidmat untuk keluarga dan masyarakat.
Demikian antara perkara yang ditekankan di dalam Tazkirah bertajuk “Sihat itu Nikmat" disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-206, Khas untuk Wanita Ke-30.
Acara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Norlah binti Haji Yaakob, Ketua Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Seroja binti Haji Siau, Muslimah Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rusita binti Haji Yahya, Guru Pembimbing Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dan Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut bersiaran dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Ibrahimiyah beramai-ramai oleh Gabungan Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas dan Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rostina binti Haji Yahya, Ketua Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas juga bersiaran dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Acara Munajat pada malam tadi turut disertai oleh para muslimah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu secara maya dari kediaman masing-masing. Turut serta, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita.
