Bandar Seri Begawan, Sabtu, 17 Jamadilawal 1447 bersamaan 08 November 2025–Ke arah mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Jabatan Pengajian Islam pada petang tadi menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan-Pertandingan bagi meraikan seramai 208 orang pelajar sekolah Arab dan Ugama yang telah memenangi berbagai pertandingan kokurikulum anjuran Jabatan Pengajian Islam sepanjang tahun ini. Majlis penyampaian hadiah tersebut diadakan di Dewan Bankuet, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang juga menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para penerima yang diraikan.
Antara pertandingan kokurikulum yang telah dikendalikan oleh Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam bagi persekolahan Arab pada tahun ini ialah Tilawah Al-Quran Kategori Alif (Tarannum) Kali Ke-59; Tilawah Al-Quran Kategori Ba (Tarannum) Kali Ke-59; Tilawah Al-Quran Kategori Jim (Tarannum) Kali Pertama; Dikir Syarafil Anam Kali Ke-2; Masrahiyyah Arabiyyah Kali Ke-11; dan Debat Dalam Bahasa Arab Kali Ke-5.
Bagi persekolahan Ugama pula, antara pertandingan yang telah dianjurkan termasuk Pertandingan Membaca Al-Quran Kategori Alif (Tarannum); Membaca Al-Quran Kategori Ba (Murattal) Secara Berkumpulan; Hafazan Surah Al-Mulk; Syarahan Tafsir Al-Quran; dan Dikir Syarafil Anam Berkumpulan. Selain itu, Peraduan Membaca Ayat-Ayat Lazim juga dianjurkan khusus bagi murid-murid berkeperluan khas di sekolah-sekolah Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, dan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam. Diteruskan dengan tayangan video dan kemudiannya diserikan lagi dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh 2 orang pemenang yang diraikan dan persembahan dari pemenang Masrahiyyah Arabiyyah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Jali.
Acara merupakan aktiviti tahunan Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam bagi menzahirkan penghargaan dan sebagai insentif kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha demi kejayaan dalam bidang pendidikan termasuk bidang kokurikulum, ke arah membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selaras dengan matlamat pendidikan Ugama di negara ini.