Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KELEBIHAN SEMBAHYANG SUNAT HAJAT

​14 Muharram 1436H 7 November 2014M

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Allah Subhanahu Wata’ala menciptakan manusia di muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada-Nya. Ibadah itu dilakukan semata-mata untuk menegakkan agama dan menunaikan perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 56:

 
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
صدق الله العظيم


Tafsirnya : “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk menyembah-Ku.”


Adapun ibadah yang utama bagi orang Islam ialah mendirikan sembahyang fardu lima waktu. Sembahyang adalah rukun Islam yang kedua dan merupakan tiang agama.


Sembahyang adalah ibadat yang mula-mula difardukan ke atas umat Islam dan yang akan mula-mula dihisab dan dibicarakan di akhirat kelak. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis:


Maksudnya : “Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya perkara yang pertama sekali akan dihisab terhadap seorang hamba daripada amalannya pada hari kiamat ialah sembahyang (fardunya). Jika baik cara mengerjakan sembahyangnya, maka dia telah berjaya dan mendapat pahala, dan jika rosak sembahyangnya, maka dia mendapat kerugian dan kebinasaan.” (Hadis Riwayat Al-Imam At-Termidzi)


Seperti yang kita maklum bahawa sembahyang itu terbahagi kepada dua, iaitu sembahyang fardu dan sembahyang sunat. Sembahyang sunat dikerjakan bagi menambah kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam sembahyang fardu dengan tidak sengaja seperti lupa, rosak bacaannya, tertinggal tuma'ninah dan sebagainya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis:


Maksudnya : “Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Jika ada sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardunya, maka Ar-Rabbu'Azzawajjala berfirman: Kamu lihat (periksa) adakah bagi hamba-Ku ini sesuatu daripada sembahyang sunat, jika ada maka cukupkanlah dengannya (sembahyang sunat) itu apa yang kurang daripada sembahyang fardu. Kemudian lakukanlah ke atas sekalian amal fardunya dengan cara sedemikian itu.” (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)


Di samping sembahyang fardu lima waktu yang wajib dilaksanakan, sembahyang sunat juga merupakan ibadat yang dituntut oleh syarak untuk dikerjakan dan tidak dinafikan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah sebagai contoh ikutan dalam membiasakan diri untuk sentiasa mengerjakan sembahyang sunat dan Baginda lebih banyak melakukannya secara bersendirian. Kenapa tidak kita sebagai umatnya meraih atau mengikut cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memperbanyakkan amalan sembahyang sunat ini walaupun sembahyang sunat itu jika tidak dikerjakan tidak berdosa, akan tetapi perlu diingati bila dikerjakan akan mendapat pahala.


Sembahyang-sembahyang sunat yang dianjurkan untuk dikerjakan juga menjanjikan fadilat dan ganjaran yang tersendiri. Oleh yang demikian, sesetengah orang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan keistimewaan sembahyang sunat ini. Apatah lagi setelah mengetahui bahawa sembahyang sunat itu mampu menambal atau menampung kekurangan dalam sembahyang fardu seseorang itu. Di antara sembahyang-sembahyang sunat itu ialah Sembahyang Rawatib, Witir, Tahajud, Istiqarah, Taubat, Tasbih, Dhuha, Hajat dan lain-lain lagi.


Sebagaimana kelazimannya di negara ini, kita sering melakukan Sembahyang Sunat Hajat memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala terhadap perkara yang dihajati. Sesungguhnya Sembahyang Sunat Hajat merupakan sembahyang sunat yang didirikan untuk memohon hajat atau ketika berada dalam permasalahan dan kesukaran. Ia dilakukan bagi mengharapkan pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata’ala dan memohon sesuatu perkara atau menolak sesuatu yang tidak diingini agar apa yang dihajati itu dikabulkan. Walau bagaimanapun ia hendaklah disertai dengan keazaman dan usaha yang gigih di samping bertawakal kepada Allah yang Maha Pencipta.
Sembahyang Sunat Hajat boleh didirikan sama ada pada waktu siang mahupun malam hari. Lebih afdal sewaktu suasana sunyi selepas tengah malam. Sembahyang Sunat Hajat dilakukan dengan pelbagai cara dan ia boleh didirikan sehingga dua belas rakaat dan paling minima adalah dua rakaat. Antara kelebihan yang diperolehi oleh mereka yang mengerjakan Sembahyang Sunat Hajat itu ialah mereka akan berasa tenang setelah hajat disampaikan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka juga akan  menjadikan lebih bersifat ikhlas menerimaketentuan Allah Subhanahu Wata’ala. Selain itu, permohonan juga akan dimakbulkan Allah Subhanahu Wata’ala dan yang lebih penting kita sebagai hamba Allah yang bersifat lemah ini memerlukan pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Kita hanya mampu merancang dan berusaha memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai usaha kita untuk mencapai sesuatu hajat.


Memandangkan betapa besarnya kelebihan Sembahyang Sunat Hajat ini, maka rebutlah ganjaran tersebut dengan menunaikannya. Jadikanlah Allah Subhanahu Wata’ala sebagai tempat kita memohon pertolongan dan tempat kita mengadu dalam semua hal sama ada ketika susah atau senang. Sama-samalah kita memperbanyakkan amal ibadat demi meraih keredaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal'alamin.


Firman Allah SubhanahuWata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 176:

 
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
صدق الله العظيم


Tafsirnya : “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu wahai Nabi Muhammad mengenai Aku maka katakan kepada mereka: Sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”

Attachments