Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Soalan-Soalan Lazim (Frequently Asked Questions)

 1.  Apakah perbezaan antara Sijil Halal & Permit Halal?

Sijil Halal hendaklah dipohonkan oleh mana-mana orang yang memiliki suatu perniagaan yang menyediakan makanan di suatu tempat seperti restoran, gerai atau kantin. Termasuk dalam kategori ini ialah mana-mana orang yang menjalankan perniagaan membuat dan menjual makanan dari rumah terus kepada pelanggan, TANPA diedarkan kepada pemborong atau peruncit.

Permit Halal hendaklah dipohonkan oleh mana-mana orang yang memiliki suatu perniagaan yang menyediakan makanan bagi maksud mengedarkan kepada pemborong dan peruncit atau untuk dieksport. Dengan Permit Halal ini, Logo Halal MUIB hendaklah dipamerkan atau diletakkan pada bungkusan produk-produk yang dipohonkan. 

 

 

 2.  Saya memiliki / mengurus sebuah restoran. Apakah jenis permohonan yang perlu saya buat?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal.

 

 3.  Saya memiliki / mengurus restoran yang terdapat beberapa cawangan. Adakah saya perlu membuat  permohonan Sijil Halal bagi kesemua cawangan-cawangan restoran?

Ya. Sijil Halal hendaklah dipohonkan bagi setiap tempat penyediaan makanan. Awda perlu melengkapkan satu borang permohonan Sijil Halal bagi setiap satu cawangan.


 4.  Saya memiliki / menguruskan sebuah gerai makanan dan saya menyediakan makanan sepenuhnya di gerai tersebut. Apakah jenis permohonan yang perlu saya buat?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal.

 

 5.  Saya memiliki / mengurus gerai makanan. Sebahagian makanan yang dihasilkan disediakan di rumah dan sebahagiannya lagi disediakan di gerai makanan itu sendiri. Adakah saya perlu membuat permohonan Sijil Halal bagi kedua-dua tempat penyediaan makanan?

Ya. Sijil Halal hendaklah dipohonkan bagi setiap tempat penyediaan makanan dijalankan.

 

 6.  Saya mempunyai perkhidmatan katering. Apakah jenis permohonan yang perlu saya buat?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal.

 

 

 7.  Saya menyediakan makanan berdasarkan tempahan pelanggan dan pelanggan akan datang mengambil  (pick up atau take away) tempahan mereka atau mengadakan tempat berjumpa (Meeting Point). Apakah jenis permohonan yang perlu saya buat?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal.

 

 8.  Saya pemilik / pengurus restoran yang pernah menghidangi bahan yang mengandungi khinzir dan saya ingin memohon untuk mendapatkan Sijil Halal untuk mengembangkan perniagaan dan menembusi pasaran halal. Adakah saya berkelayakan?

 

Ya, awda boleh membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal. Walau bagaimanapun, proses penyertuan (ritual cleansing) hendaklah dijalankan terlebih dahulu terhadap restoran tersebut. Proses penyertuan akan dibimbing oleh pihak Bahagian Kawalan Makanan Halal.

 

 

 9.  Saya pemilik / pengurus restoran yang terdapat papan tanda "Bukan Makanan Untuk Orang Islam" (atau sebanding dengannya) dan saya ingin memohon untuk mendapatkan Sijil Halal. Adakah saya berkelayakan?

Ya, awda boleh membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal. Walau bagaimanapun, proses penyertuan (ritual cleansing) hendaklah dijalankan terlebih dahulu terhadap restoran tersebut. Proses penyertuan akan dibimbing oleh pihak Bahagian Kawalan Makanan Halal.

 

 10.  Saya hanya menyediakan makanan dan akan menghantar makanan tersebut ke kedai runcit atau kedai kiub. Apakah jenis permohonan yang perlu saya buat?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Permit Halal.

 

 11.  Saya pemilik / pengurus Restoran A dan ingin menggunakan produk yang disediakan oleh Restoran B yang sudah mempunyai Sijil Halal. Adakah saya dibenarkan untuk menggunakan produk tersebut?

Restoran B hendaklah memiliki Permit Halal terlebih dahulu bagi produk tersebut, sebelum Restoran A menggunakannya.

 

 12.  Sebagai pemohon Permit Halal, adakah saya perlu memohon bagi setiap produk yang dihasilkan?

Ya. Permit Halal hendaklah dipohonkan bagi setiap produk makanan yang dihasilkan yang sememangnya akan diedarkan ke kedai-kedai seperti gedung pasaraya, kedai runcit atau kedai kiub.

Dengan adanya Permit Halal, Logo Halal MUIB hendaklah dipamerkan pada setiap  bungkusan produk yang dihasilkan.

 

 13.  Saya membuat bermacam-macam jenis kuih-muih dan menghantarnya ke kedai runcit dan kedai kiub. Adakah saya perlu memohon Permit Halal untuk kesemua jenis kuih-muih yang dihasilkan? Berapakah jumlah yang perlu dibayar?

Awda perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Permit Halal bagi setiap produk yang dihantar ke kedai runcit dan kedai kiub.

Bayaran bagi Permit Halal adalah sebanyak BND 50.00 bagi setiap produk yang dipohonkan setelah Permit Halal dikeluarkan. Permit Halal tiada bertempoh atau tarikh luput.

Walau bagaimanapun, kadar harga Permit Halal sedang dalam penilaian oleh pihak berkenaan.

 

 14.  Saya seorang pengusaha makanan di negara ini. Adakah saya perlu memohon untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Ya, awda diwajibkan untuk memohon mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

Perkara ini adalah antara dasar yang telah diperuntukkan dalam Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 iaitu MEWAJIBKAN PERMOHONAN untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi mana-mana pengusaha yang berkaitan dengan penyediaan makanan di negara ini.

 

 15.  Saya hanya pengusaha makanan secara kecil-kecilan. Adakah saya perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Ya, awda diwajibkan untuk memohon mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

Perkara ini adalah antara dasar yang telah diperuntukkan dalam Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 iaitu MEWAJIBKAN PERMOHONAN untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi mana-mana pengusaha yang berkaitan dengan penyediaan makanan di negara ini.

 

 16.  Saya hanya menjual makanan melalui tempahan secara online (Facebook atau Instagram). Adakah saya perlu membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Ya, awda diwajibkan untuk memohon mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

Perkara ini adalah antara dasar yang telah diperuntukkan dalam Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 iaitu MEWAJIBKAN PERMOHONAN untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi mana-mana pengusaha yang berkaitan dengan penyediaan makanan di negara ini.

 

 17.  Saya mengimport makanan dari luar negara. Adakah saya perlu memohon untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Permohonan Sijil Halal atau Permit Halal adalah diwajibkan bagi pengusaha-pengusaha makanan yang menghasilkan makanan di negara ini sahaja.

Permohonan Permit Halal bagi produk makanan luar negara adalah secara sukarela dan dialu-alukan.

 

 

 18.  Saya memiliki / mengurus perniagaan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran. Adakah saya perlu memohon untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal tidak diwajibkan bagi perniagaan menjual bahan semulajadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

 

 19.  Saya memiliki / mengurus perniagaan penternakan ikan. Adakah saya perlu memohon untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal tidak diwajibkan bagi perniagaan menjual bahan mentah seperti ikan. Namun, bagi kilang memproses ikan atau isi ikan untuk menghasilkan produk seperti bebola ikan, pengusaha kilang tersebut adalah diwajibkan membuat permohonan untuk mendapatkan Permit Halal bagi produk yang dihasilkan.

 

 20.  Bolehkah permohonan dibuat secara online?

Maaf, buat masa ini permohonan yang lengkap hanya boleh dihantar ke pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal dan di daerah-daerah cawangan Bahagian Kawalan Makanan Halal.

 

 

 21.  Adakah saya perlu mendapatkan Sijil Pendaftaran Perniagaan sebelum membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Ya. Sijil Pendaftaran Perniagaan atau yang sebanding dengannya adalah salah satu dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sijil Pendaftaran Perniagaan, awda boleh layari www.roc.gov.bn atau datang ke Pejabat Pendaftar Syarikat-Syarikat dan Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan.

 

 22.  Saya tidak mempunyai orang yang cukup untuk didaftarkan sebagai Penyelia Halal. Apa patut saya lakukan?

Salah satu kehendak untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal ialah mendaftarkan sekurang-kurangnya dua (2) orang Penyelia Halal bagi setiap permohonan. Salah seorang daripadanya hendaklah sentiasa berada di premis penyediaan makanan semasa waktu beroperasi.

Selaku pemilik atau pengurus berugama Islam, awda juga boleh mendaftarkan diri sebagai Penyelia Halal dan seterusnya berusaha mendapatkan seorang lagi untuk dilantik menjadi Penyelia Halal bagi memenuhi kehendak permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

 

 23.  Siapakah yang boleh memohon sebagai Penyelia Halal tersebut?

Orang yang boleh memohon sebagai Penyelia Halal adalah seseorang yang berugama Islam dari Mazhab Syafie atau boleh juga dalam mana-mana satu mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali yang telah diterima pakai oleh Negara Brunei Darussalam, dengan syarat memahami hukum-hakam daripada Mazhab Syafie.

 Mempunyai kefahaman, penghayatan dan pengetahuan tentang kesucian, kebersihan dan kehalalan makanan dan barang gunaan orang-orang Islam.

 

 24.  Apakah peranan atau tanggungjawab sebagai seorang Penyelia Halal?

Peranan dan tanggungjawab Penyelia Halal  adalah mengawal kehalalan produk makanan dan hal-hal penyediaan dan pengendalian bahan-bahan yang dimasak termasuk alat, perkakas atau sebagainya yang digunakan di tempat perniagaan.

 

 25.  Di mana boleh saya perolehi dokumen-dokumen rujukan seperti Piawaian Brunei Darussalam mengenai Makanan Halal atau garispandu-garispandu yang berkenaan?

Dokumen-dokumen rujukan seperti Piawaian Brunei Darussalam mengenai Makanan Halal atau garispandu-garispandu yang berkenaan boleh diperolehi di :

Pusat Standard Kebangsaan.

Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian

Blok 19, Simpang 32-15,

Jalan Anggerek Desa,

Negara Brunei Darussalam

 

 26.  Berapa lamakah tempoh untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Tempoh Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) adalah selama 45 hari kalendar bagi permohonan yang LANCAR.

 

 27.  Bilakah Tempoh Peralihan (Grace Period) untuk membuat permohonan untuk Sijil Halal atau Permit Halal berakhir?

Tempoh Peralihan (Grace Period) untuk membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal ialah sehingga 26 November 2017 bagi pengusaha-pengusaha makanan yang sudah beroperasi sebelum Pindaan ini dikuatkuasakan pada 26 Mei 2017.

 

 

 28.  Saya hanya mula berniaga selepas tarikh Pindaan ini dikuatkuasakan. Berapa lamakah tempoh bagi saya untuk membuat permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal?

Bagi pengusaha-pengusaha makanan yang mula beroperasi SELEPAS tarikh Pindaan ini dikuatkuasakan (selepas 26 Mei 2017), awda diberi tempoh selama enam (6) bulan dari tarikh mula beroperasi untuk membuat permohonan mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

 

 

 29.  Berapakah bayaran bagi permohonan Sijil Halal? Bilakah mansuhnya Sijil Halal tersebut?

Permohonan Sijil Halal adalah percuma. Bayaran bagi Sijil Halal adalah sebanyak BND 90.00, setelah Sijil Halal dikeluarkan dan ia sahlaku selama tiga (3) tahun.

 

 30.  Sebagai pemohon Sijil Halal, adakah saya perlu memohon bagi setiap menu yang dihidangkan / disediakan?

Pemohon Sijil Halal hanya perlu menyenaraikan semua menu yang dihidangkan / disediakan sahaja.

Manakala bayaran sebanyak BND 90.00 bagi Sijil Halal itu sudah merangkumi semua menu tersebut tanpa mengira jumlahnya.

 

 31.  Berapakah bayaran bagi permohonan Permit Halal? Bilakah mansuhnya Permit Halal tersebut?

Permohonan Permit  Halal adalah percuma. Bayaran bagi Permit Halal adalah sebanyak BND 50.00 bagi setiap produk yang dipohonkan setelah Permit Halal dikeluarkan. Permit Halal tiada bertempoh atau tarikh luput.

Walau bagaimanapun, kadar harga Permit Halal sedang dalam penilaian oleh pihak berkenaan.

    

 32.  Setelah Sijil Halal atau Permit Halal saya dikeluarkan, di manakah tempat untuk membuat pembayaran dan mengambilnya?

Awda dikehendaki untuk menyelesaikan pembayaran Sijil Halal dan Permit Halal di:

Tingkat 1, Bahagian Kewangan dan Perakaunan,

Jabatan Majlis Ugama Islam,

Kementerian Hal Ehwal Ugama,

Jalan Dewan Majlis, BB3910


Seterusnya, resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa untuk mengambil Sijil Halal dan Permit Halal di:

Tingkat 3, Jabatan Majlis Ugama Islam,

Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama,

Jalan Dewan Majlis, BB3910

 

 33.  Adakah pembayaran bagi Sijil Halal atau Permit Halal boleh dilakukan secara online?

Pada masa ini, pembayaran hendaklah melalui kaunter pembayaran Jabatan Majlis Ugama Islam.

 

 34.  Di mana boleh saya mendapatkan Borang Permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal? Di mana saya menghantar Borang Permohonan tersebut?

Borang Permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal (Borang 'E') boleh didapatkan melalui:-

(i)     Muat turun dari laman sesawang rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama  iaitu www.kheu.gov.bn,

(ii)    Kaunter permohonan Pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah serta mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Borang Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke kaunter-kaunter permohonan di daerah-daerah  dimana tempat perniagaan itu dijalankan:

 
 
 
Bagi Daerah Brunei-Muara:
Unit Permohonan Bahagian Kawalan Makanan Halal,
Tingkat Bawah,
Jabatan Hal Ehwal Syariah,
Kementerian Hal Ehwal Ugama (Bangunan Lama),
Jalan Elizabeth II,
Bandar Seri Begawan BS 3510,
Negara Brunei Darussalam

 

 

Bagi Daerah Belait:

Unit Kawalan Makanan Halal.

Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam,

Lot No. 3850, Simpang 63, Jalan Dato Shahbandar,

Kampong Melayu Asli, Kuala Belait, KA 1331,

Negara Brunei Darussalam

 

Bagi Daerah Tutong:

Unit Kawalan Makanan Halal,

Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong,

Kementerian Hal Ehwal Ugama,

Kampung Suran,

Daerah Tutong, TA 1741,

Negara Brunei Darussalam

 

Bagi Daerah Temburong:

Unit Kawalan Makanan Halal,

PWD 175, Bahagian Hal Ehwal Syariah,

Pekan Bangar,

Daerah Temburong, PA 1151,

Negara Brunei Darussalam