Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

TAWADUK AKHLAK DAN SIFAT MULIA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Menghiasi diri dengan akhlak yang baik dan mulia itu adalah satu keutamaan bagi membina dan membangun kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Dalam agama kita, orang-orang yang berakhlak baik dan mulia ini menempati kedudukan yang tinggi.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam hadis baginda ada menjelaskan mengenai kedudukan ataupun darjat orang yang baik dan mulia akhlaknya itu di hari kiamat kelak. Daripada Jabir Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku cintai dan paling dekat denganku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak terbaik. Dan orang yang paling aku benci dan yang paling jauh dariku di akhirat nanti adalah orang yang mempunyai akhlak yang paling keji, iaitu orang yang mereka-reka percakapannya, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan bongkak). (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Antara akhlak mulia yang patut dimiliki oleh setiap umat Islam itu adalah tawaduk. Apakah dia sifat tawaduk itu? Tawaduk bererti taat, tunduk dan menyerahkan diri dalam melaksanakan segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata hanya kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala tanpa merasakan dirinya itu lebih baik daripada orang lain.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Agama kita menuntut umatnya agar sentiasa mengamalkan sifat tawaduk dalam kehidupan seharian. Ini selari dengan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam. Daripada Aid bin Himar Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Dan Allah mewahyukan kepadaku agar kamu saling merendah diri kerana tidak ada seorang pun yang berbangga diri kepada yang lain dan agar tiada seorang pun berlaku zalim kepada yang lain.

Sesungguhnya tawaduk itu ada lima jenis, iaitu:

Pertama: Tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala iaitu sentiasa merasakan diri terlalu kerdil di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala.

Kedua: Tawaduk kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam iaitu menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sebagai ikutan dalam segenap aspek kehidupan seharian.

Ketiga: Tawaduk kepada agama iaitu sentiasa berpegang dan meyakini dalil-dalil yang benar iaitu Al-Qur’an dan Al-Hadis.

Keempat: Tawaduk kepada kebenaran iaitu tunduk dan merendahkan diri kepada kebenaran yang telah nyata.

Kelima: Tawaduk kepada sesama manusia.

Hakikatnya tawaduk itu adalah sifat yang sangat mulia. Oleh yang demikian walaupun kita mempunyai pangkat, darjat dan kemewahan, namun semua itu tidak boleh dijadikan sebab untuk kita sombong dan bangga diri dengan nikmat yang ada kerana semuanya itu adalah Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, seorang wanita datang bertemu dengan Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam, lalu berkata kepada baginda, “Aku mempunyai hajat denganmu.” Lantas baginda kepadanya: Duduklah (tunggulah aku) di mana-mana jalan di Madinah yang kamu kehendaki,  nescaya aku akan duduk bersamamu (untuk membincangkan hajat kamu). (Hadis Riwayat Imam Termizi)

Hadis ini jelas membuktikan bahawa betapa tawaduknya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam kepimpinan dan kehidupannya, baginda sentiasa bersedia bertemu dan melayan hajat orang yang ingin bertemu dengannya atau memerlukan bantuannya, tanpa mengira masa atau tempat biar pun baginda itu adalah seorang nabi dan seorang ketua.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Adapun antara perkara yang boleh merosakkan tawaduk itu ialah:

Pertama: Sifat sombong. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terhadap kesombongan sebesar biji sawi.

Kedua: Angkuh dan membangga diri iaitu merasakan diri lebih hebat daripada orang lain. Sifat ini bukan sahaja boleh merosakkan sifat tawaduk seseorang, bahkan Allah Subhanahu Wata'ala tidak menyukainya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Luqman ayat 18 tafsirnya:

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu daripada manusia (kerana memandang rendah terhadap mereka) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka tiap-tiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Ketiga: Riak dan sum’at. Riak ialah melakukan amalan untuk memperlihatkan kepada orang lain, manakala sum’at pula adalah beramal supaya diperdengarkan kepada orang lain.

Dalam arti kata lain, sesuatu ibadah itu dilakukan untuk mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang. Daripada Muaz bin Jabal Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak ada seorang hamba yang berdiri di dunia ini kerana sum’at dan riak kecuali Allah akan mempermalukannya dengan memperlihatkan niat busuknya pada hari kiamat di hadapan makhluk-makhluknya. (Hadis Riwayat Tabarani)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap ibadah yang dilakukan pasti ada faedah dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah tanda kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala terhadap para hambaNya yang berakhlak mulia. Adapun antara ganjaran Allah Subhanahu Wata'ala bagi sesiapa yang bersifat dengan sifat tawaduk ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

Pertama: Mendapat ganjaran di dunia.

Apabila seseorang itu benar-benar ikhlas dan tawaduk dalam melaksanakan amalannya, Allah Subhanahu Wata'ala akan mengangkat martabatnya. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Kedua: Mendapat ganjaran di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan syurga bagi para hambanya yang bersifat tawaduk. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua memiliki akhlak mulia serta bersifat tawaduk dan terhindar dari sifat sombong. Mudah-mudahan dengan yang demikian kita semua akan dapat menikmati kehidupan yang aman dan bahagia di dunia dan juga di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Furqan ayat 63 tafsirnya:

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka menjawab dengan perkataan yang baik-baik (untuk menghindarkan dosa).”

Attachments