Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENGHARGAI DAN MEMANFAATKAN MASA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Masa itu sangat berharga dan ia berlalu dengan begitu pantas tanpa kita sedari. Justeru, kita hendaklah menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa itu jika tidak dimanfaatkan oleh manusia dengan sebaik-baiknya, nescaya ia akan benar-benar dalam kerugian. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-‘Asr ayat 1-3 tafsirnya:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, dan saling berpesan untuk mengikut yang hak serta saling berpesan untuk bersabar.”

Oleh yang demikian, kita hendaklah menghargai masa, memanfaatkannya dan tidak membiarkan masa itu berlalu dengan sia-sia. Ini kerana di akhirat kelak, kita semua akan ditanya adakah kita telah menggunakan pembayaran atau nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebaik-baiknya. Daripada Abu Barzakh Aslami Radiallahu Anhu ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Tidak akan bergerak kedua-dua kaki seseorang hamba itu pada hari kiamat di Padang Mashyar sehingga ia disoal tentang umurnya bagaimana dihabiskan, tentang ilmunya apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan untuk apa yang dibelanjakan dan tentang tubuh badannya bagaimana ia menggunakannya. (Hadis riwayat Imam Termizi)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam telah berpesan dan memberi nasihat perihal masa dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Hakim. Daripada Ibnu Abas Radiallahu Anhuma ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda kepada seseorang lelaki dan baginda menasihatinya: Rebutlah lima perkara sebelum kamu diingati oleh lima perkara yang lain. Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum fakirmu, masa lapangmu sebelum kesibukanmu dan masa hidupmu sebelum matimu.

Justeru, orang yang bijak menguruskan dan menggunakan masanya dengan mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala laranganNya, membuat amal perbuatan yang baik dan melakukan perkara yang berfaedah, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung dan berjaya dalam kehidupan di dunia apatah lagi di akhirat.

Manakala orang yang lalai dan membiarkan masa itu berlalu dengan begitu saja tanpa mengisi masa itu dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat dan berfaedah sehingga meninggalkan dan melalaikan kewajipan yang diperintahkan Allah Subhanahu Wata'ala. Maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa beringat dan memanfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya dan memanfaatkan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya.

Dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari, kita sering merasakan bahawa masa itu berlalu dengan begitu cepat sehingga terdapat segelintir daripada kita yang merasakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan keperluan dan kehidupan seharian. Perlu diingat, bahawa masa itu sifatnya pantas dan apabila masa itu telah berlalu, maka ia tidak akan kembali lagi, itulah antara sifat dan ketentuan yang ada pada masa.

Ketahuilah, bahawa masa atau waktu yang berlalu dengan pantas itu adalah termasuk dalam tanda-tanda hampir berlakunya hari kiamat. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti sambaran api. (Hadis riwayat Imam Termizi)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Orang yang tidak tahu menghargai dan memanfaatkan masanya pada masa ini, maka dia akan menyesal di akhirat kelak. Dalam Al-Qur’an ada disebutkan bahawa manusia itu akan menyesal pada dua keadaan, yang mana penyesalannya pada ketika itu sudah tidak ada gunanya lagi, iaitu:

Pertama: Disaat ajal sudah hampir tiba. Pada sangat ini manusia akan berdoa dengan penuh harapa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar usia mereka dipanjangkan untuk membolehkan mereka memperbaiki diri akan tetapi Allah Subhanahu Wata'ala sekali-kali tidak akan menangguhnya kematian seseorang itu apabila sudah sampai ajalnya.

Kedua: Di akhirat kelak, seisi neraka mahupun agar mereka dikembalikan semula ke dunia supaya mereka dapat berbuat amal soleh. Akan tetapi, masa untuk merayu sudah habis tempohnya. Allah Subhanahu Wata'ala tidak lagi menerima sebarang rayuan kerana pada masa itu hanyalah untuk untuk masa perhitungan dan hari pembalasan.

Sesungguhnya kita hidup di dunia yang fana ini hanya sementara. Justeru, kita hendaklah menggunakan dan mengurus masa itu dengan penuh bijaksana. Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan agar masa kita itu tidak terabai dan terbuang begitu sahaja, antaranya seperti menggunakan masa itu untuk memperbanyakkan amal ibadah dan amal kebajikan, mengisi masa itu dengan menimba ilmu pengetahuan, menggunakan masa itu untuk memikirkan dan merancang masa depan, meluangkan masa depan, meluangkan masa bersama ahli-ahli keluarga dan memanfaatkan masa dengan berusaha untuk sentiasa memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Akhirnya, semoga Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan kita dari kalangan hamba-hambaNya yang sentiasa menghargai dan memanfaatkan masa serta memimpin kita agar terus beristiqamah dalam melakukan ketaatan bagi meraih kebahagiaan di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Dd-Dhuha ayat 4:

“Dan sesungguhnya (kehidupan) akhirat adalah lebih baik bagimu daripada (kehidupan) dunia.”
Attachments