Muslimin yang dirahmati
Allah,
MARILAH kita bertaqwa
kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan
sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala
laranganNya iaitu mentaati Allah dan rasulNya. Berpegang teguh dengan ajaran
Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam.
Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan
juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman
dalam surah Al-Kahfi ayat 46 tafsirnya:
“Harta dan anak pinak itu ialah
perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan soleh yang kekal itu lebih baik
pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan (untuk kebahagiaan
hidup di akhirat.”
Anak adalah kurnia dan anugerah yang
diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk dijaga dengan baik dengan penuh
kasih sayang. Sesungguhnya anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ibarat kain
putih yang suci bersih, maka ibubapalah yang bertanggungjawab mencorak dan
mendidik mereka dengan didikan yang baik dan sempurna. Justeru, jika anak-anak
itu dicorak dan dididik dengan baik, maka baiklah jadinya dan jika sebaliknya,
maka akan rosak binasalah mereka. Daripada Abu Hurairah Radiallahu, Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam
keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibubapanyalah yang mencorakkannya
menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Perlu diingat, bahawa ibubapa atau
penjaga adalah bertanggungjawab menjaga amanah Allah Subhanahu Wata'ala ini
dengan sebaik-baiknya. Antara tanggungjawab yang wajib dipikul oleh kedua
ibubapa atau penjaga itu ialah mempastikan bahawa anak-anak mereka mendapat
pendidikan yang sempurna terutamanya pendidikan ugama agar mereka menjadi insan
yang berpekerti dan berakhlak mulia. Ini kerana jika jiwa anak-anak itu telah
dididik dan disemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, InsyaAllah mereka akan
menjadi orang yang beriman, cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya,
menjadi anak yang soleh, taat mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi
laranganNya serta berbakti kepada agama, ibubapa, masyarakat dan negara.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Tugas mendidik anak-anak bukanlah
suatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan. Ini kerana didikan ibubapa
atau penjaga pada peringkat awal adalah pintu ke arah mana jarak dan masa depan
mereka lebih-lebih lagi di zaman moden yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.
Dalam kitab Tarbiyatul Aulad Fi Islam ada menyebutkan beberapa cara yang
berkesan untuk mendidik anak-anak, antaranya:
Pertama: Pendidikan melalui contoh
teladan.
Anak-anak suka meniru dan mengikut
apa saja yang mereka lihat terutamanya perbuatan ibubapa atau penjaga mereka.
Justeru, ibubapa selaku cermin kepada anak-anak hendaklah menunjukkan contoh
teladan yang baik sama ada dalam bentuk tingkah laku mahupun tutur kata kepada
anak-anak mereka.
Kedua: Pendidikan melalui nasihat.
Nasihat merupakan antara cara yang
lembut dan berkesan dalam mendidik anak-anak sama ada dari segi keimanan dan
akhlak. Termasuk dalam faedah nasihat itu ialah mengenalkan kepada anak-anak
mengenai kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala, melaksanakan segala suruhannya,
menjauhi segala larangannya, mengajar hukum-hukum dalam agama Islam dan
seumpamanya.
Ketiga: Pendidikan melalui
pemerhatian dan pengawalan.
Ibubapa hendaklah sentiasa
memata-matai kelakuan anak-anak, mengambil berat dan mengambil tahu tentang apa
yang dilakukan oleh anak-anak mereka ketika berada di dalam rumah ataupun di
luar rumah. Sebagai contoh menyelidiki siapa kawan-kawan anak mereka, kemana ia
pergi, untuk apa dan sebagainya. Ini bertujuan bagi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan anak-anak semasa berada di luar rumah.
Para ibubapa atau penjaga jangan
mengambil ringan dan mencuaikan serta lalai dalam menunaikan hak dan
tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kerana jika mereka lalai dan kurang
memberi perhatian kepada kelakuan atau keulahan anak-anak mereka, dikhuatiri
mereka akan terjebak pada gejala negatif atau kegiatan kurang bermoral yang
menyalahi agama Islam yang suci bahkan juga melanggar adat dan tata susila dan
juga melanggar undang-undang negara.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Pendidikan yang sempurna dan
seimbang antara duniawi dan ukhrawi amat mustahak diberikan kepada anak-anak
kerana tanpa adanya ilmu pengetahuan, kita tidak dapat membezakan antara yang
hak dan yang batil. Selain itu, sebagai ibubapa atau penjaga, kita hendaklah
sentiasa perihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak sama ada dari segi
emosi, mental mahupun fizikal.
Alhamdulillah, kita di Negara Brunei
Darussalam pada setiap tarikh 20 November setiap tahun menyambut Hari
Kanak-Kanak Sedunia. Antara matlamat Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia itu
diadakan ialah bagi mempromosi dan menyokong perkembangan kanak-kanak secara
iniklusif dari segi fizikal, mental, kerohanian dan sosial. Tema bagi Sambutan
Hari Kanak-Kanak Sedunia pada tahun ini adalah Membayangkan Semula Dunia Yang
Lebih Baik.
Tema ini adalah bertujuan untuk
menggalakkan semua lapisan masyarakat, terutama sekali kanak-kanak untuk
memberikan pandangan dan idea-idea bagi memperbaiki keadaan dunia yang
berkaitan dengan kanak-kanak dari segala aspek iaitu pendidikan, kesihatan,
pembangunan dan perancangan ke arah kehidupan yang lebih dan sesuai agar
kanak-kanak dapat berkembang dengan baik dan mencapai potensi yang teringgi.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa
semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah, memiliki akhlak yang
mulia, beriman dan bertaqwa dan semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan
perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta selamat di dunia dan di akhirat.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah At-Tahrim ayat 6 tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya
ialah manusia (orang kafir) dan batu berhala, penjaganya ialah
malaikat-malaikat yang kasar lagi keras (layanannya), mereka tidak menderhaka
kepada Allah terhadap apa jua yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka
pula tetap melakukan apa yang diperintahkan.”