Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

MENJAUHKAN DIRI DARIPADA NERAKA

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita bertaqwa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya iaitu mentaati Allah dan rasulNya. Berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an dan mengikuti sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya, selamat dan bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai orang Islam kita wajib percaya dengan adanya hari akhirat dan wajin beriman kepada semua perkara-perkara sam’iyat seperti syurga dan neraka. Sesungguhnya syurga dan neraka itu adalah tempat yang kekal abadi. Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan berita dan khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya dengan ganjaran syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Manakala bagi orang-orang yang kufur dan ingkar terhadap Allah Subhanahu Wata'ala, mereka telah dijanjikan azab yang paling pedih dan menakutkan iaitu neraka.

Sesungguhnya neraka itu wujud dan diciptakan Allah Subhanahu Wata'ala sebagai tempat hukuman dan tempat pembalasan atas perbuatan derhaka, dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia ketika hayatnya di dunia. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Fath ayat 17 tafsirnya:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya, nescaya Dia akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, tetapi sesiapa yang berpaling. Dia akan mengazabnya dengan azab yang pedih.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Neraka itu dipenuhi dengan api yang sangat panas dan dahsyat malah bahang panas neraka itu lebih panas dari api yang ada di dunia. Sekiranya setitis api neraka itu jatuh ke dunia, maka hancur leburlah dunia ini. Namun ada kalanya neraka itu menjadi sejuk, malah suhunya lebih sejuk dari apa yang pernah dirasakan di dunia sehingga menyebabkan berguguran daging dari tubuh manusia akibat dari rasa sejuk yang keterlaluan.

Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bahawa bahan bakar api neraka itu adalah manusia dan batu-batu berhala akan tetapi ada beberapa golongan yang tidak akan disentuh oleh api neraka. Hal ini ada dijelaskan dan disebutkan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam mengenai empat golongan yang tidak akan disentuh oleh api neraka. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Mahukah kamu aku tunjukkan orang yang haram baginya tersentuh api neraka? Para sahabat berkata: Mahu, wahai Rasulullah! Baginda menjawab:

Pertama: Hayyin iaitu orang yang memiliki ketenangan, tidak mudah marah, penuh pertimbangan dalam setiap keputusan yang diambilnya dan tidak suka memaki akan kekurangan dan keburukan orang lain.

Kedua: Layyin iaitu orang yang lembut dan bersopan santun sama ada dari segi tutur kata mahupun tingkah laku, tidak kasar dan tidak mudah marah jika berbeza pendapat atau pandangan.

Ketiga: Qarib iaitu orang yang memiliki sifat akrab, ramah dan mesra terhadap sesama insan. Selain itu, orang yang qarib juga memiliki wajah yang berseri-seri, sentiasa murah dengan senyuman jika bertemu dan selalu memberi salam.

Keempat: Sahl iaitu orang yang memudahkan dan tidak suka menyusahkan orang ataupun mempersulit sesuatu perkara bahkan selalu menyelesaikan permasalahan orang lain.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Siapakah di antara kita yang tidak berasa gerun dan gentar apabila mendengar dan disebut neraka? Sesungguhnya tidak akan ada seorang pun antara kita yang mahu masuk ke dalam neraka, waima ia adalah orang yang jahat dan pendosa. Ini kerana, neraka itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Furqan ayat 66 tafsirnya:

“Sesungguhnya Neraka Jahannam itu seburuk-buruk tempat kediaman dan tempat tinggal.”

Sesungguhnya kita semua berharap dan mengimpikan agar dapat masuk ke dalam syurga Allah Subhanahu Wata'ala, akan tetapi bagaimanakah caranya untuk mendapatkan syurga itu? Kita tidak akan dapat memperolehi syurga itu dengan hanya mengimpikannya tanpa disertai dengan ikhtiar dan usaha.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ada menyebutkan dalam hadis baginda mengenai amalan yang membolehkan seseorang itu memasuki syurga Allah Subhanahu Wata'ala sekaligus menjauhkannya daripada api neraka. Daripada Abu Ayub Al-Ansari Radiallahu Anhu berkata: Bahawasanya ada seorang lelaki mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam lalu bertanya, ya Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku amalan yang dapat memasukkanku ke syurga dan menjauhkan diriku daripada api neraka, baginda menjawab: Hendaklah engkau beribadah kepada Allah dan janganlah mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan menyambung silaturrahim. Ketika orang itu pergi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Jika dia berpegang teguh dengan hal tersebut, maka dia akan masuk syurga. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Kita sangat dianjurkan untuk sentiasa memanjatkan doa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang merupakan antara sebab yang boleh menyelamatkan seseorang itu dan terlindung dari azab api neraka. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa meminta syurga kepada Allah Subhanahu Wata'ala tiga kali, syurga akan berkata “Ya Allah, masukkan dia ke dalam syurga”, barangsiapa meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dari neraka, neraka pun berkata, “Ya Allah, lindungilah dia dari neraka”. (Hadis riwayat Imam Termizi)

Adapun antara doa yang boleh kita amalkan bagi memohon perlindungan dari neraka itu ialah doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang dibaca ketika tashid akhir sebelum salam, iaitu:

الَّلهُمَّ إِنّيِ أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا والْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya:

Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari siksa neraka Jahannam, dari siksa kubur, dari ujian hidup dan mati, serta dari godaan dajjal.

Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin, marilah kita menjauhkan dan menyelamatkan diri dan keluarga kita dari api neraka iaitu dengan mempastikan bahawa kita mengerjakan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita semua akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang akan menerima balasan syurga dengan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala dan dijauhkan dari azab api neraka. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Furqan ayat 65 tafsirnya:

“Dan juga mereka yang berdoa: “Ya Tuhan kami! Jauhkanlah azab neraka Jahannam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu adalah sentiasa kekal.”

Attachments