Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BERSAMA MENJAGA KESELAMATAN DAN MEMATUHI PERATURAN JALANRAYA

Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadaNya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dan menjamin keselamatan diri, akal, nyawa, harta dan juga agama. Agama Islam juga menyuruh umatnya supaya berikhtiar sedaya-upaya menghindarkan dan menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan dan membawa kebinasaan dengan menjaga lima perkara tersebut. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 195 tafsirnya:

“Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan”

Adapun antara perkara yang boleh mendatangkan kerugian, kebinasaan, dan kemusnahan harta dan jiwa itu ialah kemalangan jalanraya. Kemalangan jalanraya merupakan antara penyebab kematian terbesar di Negara Brunei Darussalam. Memandangkan bilangan kemalangan jalanraya yang meningkat dari setahun ke setahun, bebagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah ini dan bagi menghindarkan dari berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa telahpun melipat gandakan usaha bagi membendung dan mengurangkan berlakunya kemalangan jalanraya ini dengan mengadakan sekatan jalanraya dan pemeriksaan kenderaan untuk memastikan tidak ada sebarang pengubahsuaian yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang negara dibuat oleh pemilik kenderaan agar kita semua sentiasa dalam keadaan yang selamat. Selain itu, para pemandu juga hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalanraya seperti memakai tali pinggang keselamatan, memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan lain-lain lagi supaya semua kenderaan yang dipandu oleh para penguna jalanraya benar-benar dalam keadaan yang baik dan selamat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jalanraya merupakan kemudahan awam untuk kegunaan semua orang. Oleh itu, semua penguna jalanraya hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara kemudahan ini dan mengelakkannya dari menjadi tempat berlakunya kemalangan dan kecelakaan.

Ketahuilah, untuk menjamin jalanraya itu sentiasa selamat dan selesa digunakan oleh semua penguna, sama ada kenderaan bermotor, berbasikal mahupun pejalan kaki, pihak kerajaan telah memperuntukkan peraturan dan undang-undang bagi penguna jalanraya dan peraturan dan undang-undang itu hendaklah dipatuhi untuk kesejahteraan dan keselamatan kita bersama.

Perlu diingat, adapun antara sebab dan punca kemalangan jalanraya itu berlaku ialah kerana sikap dan tabiat sebilangan penguna-penguna jalanraya yang tidak bertanggungjawab, tidak mematuhi peraturan jalanraya dan tidak menghiraukan penguna-penguna jalanraya yang lain seperti cuai ketika memandu, memandu dengan laju tanpa mengikut had laju yang telah ditetapkan walaupun di selekoh yang tajam, tidak mahu berhenti ketika lampu merah telah menyala, mengunakan telepon bimbit ketika memandu, mengekori kereta dengan terlalu dekat, memotong dalam keadaan yang tidak selamat dan terdapat juga mereka yang memotong atau memasuki persimpangan jalan tanpa mengunakan lampu isyarat dan berbagai-bagai lagi kesalahan lalulintas yang lain.

Ingatlah, kecuaian para pemandu boleh mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kenderaan dan yang lebih dahsyat lagi ialah ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Sesungguhnya agama Islam telah mengajarkan beberapa panduan dan amalan sebelum memulakan perjalanan atau bermusafir sama ada jauh mahupun dekat antaranya ialah seperti membetulkan niat terlebih dahulu agar apa yang kita kerjakan dan lakukan itu menjadi ibadah, seterusnya hendaklah memanjatkan doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan bertawakal mahupun keselamatan dalam perjalanan kita itu serta memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dari segala mara bahaya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Taubah ayat 51 tafsirnya:

“Katakanlah (wahai Nabi Muhammad kepada orang-orang munafiq itu): Sesuatu pun sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang Allah telah tetapkan bagi kami. Dialah pelindung kami. Dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Doa adalah senjata orang Islam untuk memohon segala hajat di dunia dan juga di akhirat, termasuklah doa keselamatan dan perlindungan dari segala bahaya dan bala bencana, kita dianjurkan untuk membaca dia dan memohon perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dari sebarang bahaya dan kejahatan manusia, jin dan syaitan. Antara amalan-amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang dianjurkan dalam perkara ini ialah membaca surah Al-Fatihah, membaca ayat Al-Kursi dan surah Quraisy. Baginda juga mengamalkan bacaan doa sebelum keluar rumah, iaitu:

“Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah, aku berlindung denganMu dari perbuatan sesat atau disesatkan, atau dari binasa atau dibinasakan, atau dari zalim atau dizalimi atau dari jahil (bodoh) atau diperbodohkan.”

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa:

“Maha suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami.”

Selain itu, jika di dalam perjalanan berlaku hujan, gurun, angin dan kilat, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam menganjurkan kita supaya membaca: Ketika hujan turun:

“Ya Allah jadikanlah ia (hujan) sebagai hujan yang menyenangkan”

Ketika mendengar guruh dan petir, hendaklah membaca:

“Ya Allah, janganlah engkau matikan kami dengan kemurkaanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azabMu dan ampunkanlah kami sebelum itu,”

Semasa angin bertiup kencang, dianjurkan membaca:

“Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikan (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang Engkau utusankan bersertanya, aku memohon perlindunganMu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang Engkau utuskan bersertanya.”

Mudah-mudahan dengan membaca doa-doa tersebut, kita semua akan mendapat keberkatan dan terhindar dari sebarang bahaya dan malapetaka ketika berada di dalam perjalanan. Marilah kita sama-sama membaca dan mengamalkan doa-doa yang dibaca oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan juga mematuhi peraturan-peraturan jalanraya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sebagai penguna jalanraya, kita hendaklah sentiasa mengamalkan sifat hormat-menghormati dan bertolak ansur ketika berada di jalanraya. Berhati-hatilah, jangan disebabkan oleh kelalaian dan kesibukan kita akan membawa padah kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain apatah lagi hingga menyebabkan kehilangan nyawa. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua dihindarkan dari perkara-perkara yang tidak diingini dan sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Az-Zukhruf ayat 13-14 tafsirnya:

“Supaya kamu berada tetap di atasnya kemudian kemu mengingat nikmat Tuhan kamu apabila kamu berada tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak bedaya menguasainya. Dan sesungguhnya kami tentu akan kembali kepada Tuhan kami.”

Bersama Menjaga Keselamatan Dan Mematuhi Peraturan Jalanraya

Attachments