Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

BERSIFAT QANNA’AH IAITU BERASA CUKUP DENGAN APA YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam merupakan uswatun hassanah iaitu contoh teladan yang terbaik untuk diikuti bagi seluruh umat manusia dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan dan keimanan terhadap Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

  أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا

صدق الله العظيم

“Demi sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kebahagiaan) hari akhirat serta banyak berzikir dan mengingati Allah.”

Adapun antara sifat dan akhlak baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang patut dicontohi dan menjadi ikutan seluruh umat baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam itu ialah sifat baginda yang pemurah, sederhana dan qanna’ah dan bersederhana dalam kehidupan.

Qanna’ah menurut bahasa bermaksud berasa selesa dan berasa cukup dengan apa yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Imam An-Nawawi Rahimatullah Ta’ala menerangkan bahawa qanna’ah itu ialah sifat yang puas dengan apa yang dimiliki, namun pemilik sifat ini tetap berusaha dengan gigih serta mempunyai sifat luhur dan bersederhana dalam kehidupan dan berbelanja, serta mengelak daripada meminta-minta kecuali dalam keadaan darurat atau keperluan mendesak. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisaa’ ayat 32:

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬‌ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْ‌ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَ‌ۚ وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمً۬ا

صدق الله العظيم

“Dan janganlah kamu beriri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (Kerana) Untuk laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan untuk perempuan ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan. Dan pohonkanlah kepada Allah limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Ayat ini menjelaskan dan mengajar manusia untuk bersifat qanna’ah iaitu menanamkan rasa cukup dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang telah ditetapkan dan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Allah Subhanahu Wata'ala melarang kita daripada berasa iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada sebahagian hambaNya, sama ada kurniaan itu dalam bentuk harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran kerana hal yang demikian itu sudah menjadi ketetapan atau takdir Allah Subhanahu Wata'ala, dan berasa iri hati terhadap mereka tidak akan berguna dan tidak mendatangkan sebarang manfaat walau sedikitpun.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya setiap manusia telah ditetapkan rezeki mereka oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu menghindarkan diri daripada bersifat dengki terhadap rezeki orang lain kerana sifat dengki itulah yang akan menyekat sesuatu rezeki itu datang kepada kita. Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang ada atau apa yang Allah Subhanahu Wata'ala telah kurniakan kepada kita. In Sya Allah, kita akan hidup dengan sentiasa berasa cukup dengan apa yang dikurniakan dan ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam memberi peringatan kepada umat Islam, daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

ليس الغنى عن كثرة العرض، ولكن العنى غنى النفس

Maksudnya:

Kekayaan yang hakiki bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan yang hakiki ialah kekayaan jiwa iaitu hati yang selalu berasa cukup.

Sesunggguhnya orang-orang yang sentiasa bersifat qanna’ah atau berasa cukup dann bersederhana dalam kehidupannya ialah orang yang paling tenang, senang dan gembira. Mengapa ini terjadi? Ini kerana, mereka yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala telah menjamin seluruh kehidupan apatah lagi rezekinya. Meskipun pada hakikatnya mereka berada dalam keadaan serba kekurangan, namun mereka tidak akan pernah rasa hati dan berkeluh-kesah, sentiasa mencari jalan dengan berdoa dan beramal untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik, sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala, tidak pernah berputus asa dalam menghadapi sebarang ujian dalam kehidupan dan tidak cemas dalam menghadapi sebarang masalah.

Ketahuilah, terhadap banyak manfaat yang dapat diperolehi oleh seseorang itu apabila ia bersifat qanna’ah, antaranya adalah memperkuatkan keimanan dan taqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala, menjaga diri daripada perbuatan dosa dan maksiat, membendung daripada bersifat tamak haloba, cemburu dan iri hati terhadap kesenangan atau apa yang dimiliki oleh orang lain dan sentiasa berasa lapang dengan rezeki yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam untuk memohon ketaqwaan dan sentiasa bersifat qanna’ah ialah:

اللهم إني أسألك الهدى، والتقى والعفاف والغنى

Ertinya:

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadamu hidayah (petunjuk) ketaqwaan, dihindarkan daripada perbuatan yang buruk serta memohon kepadaMu kekayaan hati.

Menurut Imam An-Nawawi Rahimatullah Ta’ala Anhu, ke empat-empat perkara yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dalam doa ini ialah petunjuk dalam ilmu dan amal, ketaqwaan dalam kehidupan dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, menjauhkan dan menahan diri daripada sesuatu yang tidak halal dan kekayaan hati iaitu hati yang selalu berasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada disisi manusia. Walaupun doa ini pendek namun maksudnya sangat jelas dan mendalam. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengamalkan doa ini.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud pernah menceritakan: Pada suatu ketika beliau datang bertemu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sedang berbaring di atas tikar dan kelihatan dibelakang badan baginda terdapat kesan anyaman tikar tersebut. Lantas Abdullah bin Mas’ud mengusap-usap kesan tersebut sambil bertanya kepada baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, adakah tuan izinkan kami meletakkan sesuatu sebagai alas di atas tikar tuan? Baginda menjawab: Apalah yang ingin aku kerjakan dengan dunia ini, sesungguhnya perumpamaan diriku dengan dunia ini adalah seumpama seorang penunggang yang berhenti berehat sebentar di bawah sebatang pokok ketika hari yang panas kemudian dia berangkat pergi dari pokok ketika hari yang panas kemudia dia berangkat pergi dari pokok tersebut. Kisah ini jelas membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam ialah seorang insan yang suka hidup dalam keadaan qanna’ah atau bersederhana dan menjauhkan dirinya daripada sifat bermegah-megah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada ketika ini warga perkhidmatan awam menerima pemberian bonus sebagai inisiatif kepada mereka terhadap pekerjaan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun. Sememangnya pemberian bonus sangat dinanti-nantikan oleh setiap warga perkhidmatan awam. Walaubagaimanapun kita hendaklah berbelanja dengan berpada-pada dan tidak wajar untuk berhabis-habisan berbelanja untuk sesuatu hal yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat. Ketika kita menikmati wang bonus ini, ibubapa seharusnya jangan lupa untuk menyediakan keperluan yang sangat penting seperti barangan atau persediaan untuk persekolahan anak-anak seperti pakaian, buku-buku dan seumpamanya. Selain itu, anak-anak juga perlu dinasihati dan dilatih dengan sefat qanna’ah dengan mengunakan semula barang-barang seperti beg dan alat-alat tulis yang masih boleh dipakai atau digunakan. Berbelanjalah secara bijaksana dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara atau keperluan yang utama dan penting sahaja bukan menurut kemahuan atau hawa nafsu sehingga berlakunya pembaziran, apatah lagi bebelanja melebihi had kemampuan diri sendiri kerana sifat berjimat dalam berbelanja itu amat dituntut dalam agama Islam.

Oleh itu, amalkanlah sikap bersederhana dalam kehidupan. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rasa cukup dalam diri kita serta rahmat yang berpanjangan, di samping nikmat yang berkekalan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَأَنَّهُ ۥ هُوَ أَغۡنَىٰ وَأَقۡنَىٰ

صدق الله العظيم

“Dan sesungguhnya Dia yang mengurniakan kekayaan dan kecukupan.” (Surah An-Najm ayat 48)

Attachments