Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

KELEBIHAN AL-QUR’AN DAN LAILATUL QADAR

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjatnya disisi Allah Subhanahu Wata'ala dan dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan inilah, turunnya kitab suci Al-Qur’an. Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam . Al-Qur’an adalah satu-satunya kitab yang terpelihara akan kesucian isi kandungan di dalamnya walau sedikitpun. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengagungkan dan memuliakan Al-Qur’an dengan menjaga kesuciannya, membacanya, menghafaznya serta mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya bagi memperolehi ganjaran, rahmat dan syafaat (pertolongan) pada hari akhirat kelak. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

عن أبى أمامة الباهلي رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: اقرءوا القرآن، فإنه ياتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه. {رواه إمام مسلم}

Maksudnya:

Daripada Abu Umamah Bahali Radiallahu Anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Bacalah oleh kamu Al-Qur’an kerana sesungguhnya Al-Qur’an itu akan datang pada hari qiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam banyak menyebut di dalam hadis-hadis baginda mengenai kelebihan orang yang membaca Al-Qur’an, antaranya:

Pertama: Orang yang membaca Al-Qur’an hatinya dikurniakan cahaya oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan dipelihara daripada kegelapan.

Kedua: Memperolehi kemuliaan dan ibubapanya diberi rahmat.

Ketiga: Memperolehi kedudukan yang tinggi di dalam syurga.

Keempat: Diberi ketenangan dan kewaspadaan.

Kelima: Terlepas daripada kesusahan-kesusahan di hari kiamat.

Keenam: Memperolehi pahala yang banyak kerana satu huruf Al-Qur’an yang dibaca mendapat sepuluh pahala, bayangkan jika membaca satu muka surat tentu pahalanya semakin banyak, apatah lagi di bulan Ramadhan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Termizi, daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Qur’an), maka baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan menyamai dengan sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif lam mim satu huruf tetapi Alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.

Namun semua ini tidak akan dapat kita perolehi jika kita tidak berusaha untuk mendapatkannya dan perlu diingat membaca Al-Qur’an hendaklah dengan tujuan semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala, bukan untuk menunjuk-nunjuk dan riya’. Oleh yang demikian, ambillah peluang di bulan Ramadhan ini untuk meraih pahala membaca Al-Qur’an walau sesibuk mana pun kita dengan urusan. Kerja, rakan atau keluarga. Janganlah sesekali kita lupa atau tidak meluangkan masa untuk membaca Al-Qur’an walaupun membaca Al-Qur’an sekadar beberapa ayat di dalam sehari.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di bulan Ramadhan ini juga terdapat satu malam istimewa yang penuh keberkatan dan mempunyai banyak keistimewaan iaitu Lailatul Qadar. Pada malam tersebut, Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kemuliaan kepada hamba-hambaNya yang beribadah dengan penuh khusyuk, ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam baginda bersabda: Barangsiapa mengerjakan ibadah di malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaannya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.

Sesungguhnya kita tidak mengetahui bilakah berlakunya Lailatul Qadar itu? Antara hikmah dirahsiakan waktu tersebut adalah untuk kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk beribadat pada setiap malam di bulan Ramadhan agar dapat bertemu dengan Lailatul Qadar dan tidak hanya beribadah pada malam tertentu sahaja. Menurut pendapat yang sahih, malam atau masa Lailatul Qadar adalah pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Pada kebiasaannya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sebaik sahaja memasuki malam ke-21 Ramadhan, baginda melakukan beberapa amalan seperti menghidupkan malam tersebut dengan beribadah, membangunkan ahli keluarga baginda untuk bersembahyang, berikhtikaf di dalam masjid dan mandi antara Maghrib dan Isya’ serta memakai pakaian yang bersih.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Ketahuilah, antara alamat atau tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadar ialah terjadinya keheningan dan terang tanpa suara yang kedengaran. Malam tersebut tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), dan angin tidak bertiup. Segala sesuatu yang ada di langit dan di bumi sujud kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Pada pagi harinya cahaya matahari lembut dan teduh. Bagi orang yang menjumpai Lailatul Qadar, dia akan berasa meremang bulu roma dan kedua belah matanya berair. Jika seseorang ditakdirkan bertemu dengan malam tersebut maka hendaklah memohon doa minta diselamatkan di dunia dan di akhirat. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Termizi, daripada Aisyah Radiallahu Anha katanya: aku pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Wahai Rasullullah! Bagaimana jika aku mengetahui akan malam Lailatul Qadar itu dengan tepat, apakah doa yang patut aku baca? Baginda menjawab: Katakanlah oleh mu:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْف عَنّيِ

Ertinya:

Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai kemaafan, oleh kerana itu maafkanlah aku.

Memandangkan betapa besarnya ganjaran Lailatul Qadar, maka rebutlah peluang untuk meningkatkan lagi amal ibadah terutama sekali di sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. Lailatul Qadar yang datang hanya sekali dalam setahun sewajarnya kita manfaatkan dengan meningkatkan amal ibadah di dalamnya. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan disepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Qadar 1-5:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤) سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)

صدق الله العظيم

“Sesungguhnya kami menurunkan Al-Qur’an itu pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan hingga terbit fajar.”

Attachments