Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

Manage PermissionsManage Permissions

PENTINGNYA ILMU PENGETAHUAN

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan hamba-hambaNya untuk menuntut ilmu. Ilmu adalah kunci kejayaan untuk mencapai keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Kita adalah digalakkan untuk menuntut ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya dan hidayah yang menerangi kehidupan manusia dari kegelapan dan kejahilan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali-Imran ayat 18:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلٰٓئِكَةُ وَأُو۟لُوا۟ الْعِلْمِ قَآئِمًۢا بِالْقِسْطِ ۚ لَآ إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

صدق الله العظيم

“Allah menerangkan kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia, yang mentadbir seluruh alam dengan keadilan, demikian juga para malaikat serta orang-orang yang berilmu berikrar dan mengakui juga bahawa tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Perkasa lagi Bijaksana”

Imam As-Syafiee Rahimatullah Taala mengenai perkara menuntut ilmu ini telah berkata dalam wasiatnya: Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjaga kamu dan membuat kamu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Agama Islam amat menggalakkan dan menganjurkan umatnya supaya menerapkan ilmu agama kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibubapa bertanggungjawab menjaga amanah Allah Subhanahu Wata'ala ini dengan sebaik-baiknya dengan memberikan anak-anak mereka pendidikan yang sempurna dan seimbang iaitu duniawi dan ukhrawi bagi membentuk jati diri yang menetap dan muslim yang sejati dan sebenar.

Sesungguhnya tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia akan berada di dalam kegelapan. Tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpanya juga manusia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Dengan ilmu sahajalah seseorang akan terselamat daripada tipu daya syaitan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 269:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

يُؤْتِى الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِىَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُو۟لُوا۟ الْأَلْبٰبِ

صدق الله العظيم

“Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya.”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya kita diwajibkan menuntut ilmu kerana ganjaran dan kelebihannya adalah sangat besar, antaranya:

Pertama: Dipermudahkan jalan menuju ke syurga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ومن سلك طريقا يطلب به علما سهل الله له طريقا إلى الجنة {رواه الإمام البخارى}

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk ke syurga.

Kedua: Dalam syarah hadis empat puluh karangan Imam An-Nawawi bahawa barangsiapa beramal dengan apa yang diketahuinya, Allah akan mewarisi untuknya ilmu yang tidak diketahuinya.

Ketiga: Orang yang berilmu pengetahuan dipandang tinggi oleh masyarakat dan orang yang memiliki ilmu juga sangatlah beruntung kerana ilmu itu adalah jiwa dan harta yang tidak akan hilang dan habis.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sangat mementingkan mengenai hal ehwal pendidikan di negara ini. Kajian dan kemajuan negara di masa hadapan sangat bergantung kepada keupayaan pendidikan untuk menhasilkan modal insan yang berkualiti tinggi.

Ke arah dan juga sebagaimana stratigik pendidikan wawasan negara 2035, Kementerian Pendidkan telah mengenal pasti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Programme for International Student Assessment – PISA) sebagai salah satu berfikir. Dengan penanda aras antarabangsa seperti PISA, In Sya Allah akan dapat membantu pasti peluang-peluang dalam mencapai kejayaan pendidikan dan juga sebagai pemaju ke arah usaha pembaharuan dan pembangunan pendidikan. Penyertaan Brunei Darussalam dalam PISA 2018 adalah selaras dengan hasrat Wawasan Negara 2035 iaitu melahirkan warga negara yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi dan akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber manusia yang berilmu, berkemahiran dan bertamadun tinggi.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan itu sangat berharga dan ilmu itu tidak akan diperolehi jika tidak dicari dan dipelajari. Oleh itu semua orang perlu berusaha mencari dan menuntut ilmu sebanyak mungkin dan terus meningkatkannya dari semasa ke semasa. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita tergolong daripada kalangan orang-orang sentiasa ditambahkan ilmu pengetahuan, mempunyai fahaman para nabi, ilmu hafazan para rasul, mempunyai ilham para malaikat dan memperolehi keafiatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya akan mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Thaha ayat 114:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

فَتَعٰلَى اللهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْءَانِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰٓ إِلَيْكَ وَحْيُهُۥ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًا

صدق الله العظيم

“Maka Maha Tinggi Allah yang menguasai lagi Maha Benar. Dan janganlah engkau (wahai Nabi Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Qur’an sebelum selasai diwahyukan kepadamu dan berdoalah: Ya Tuhanku! Tambahilah aku ilmu”

Attachments