TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MENYAMBUT
AWAL TAHUN BARU MASIHI 2022
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil
'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu'
Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa
Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, tidak ada yang lebih bererti, dari merafakkan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat berada dalam tahun baru Masihi 2022.
Inilah
antara nikmat yang tidak dapat dinilai dengan apapun, seperti juga
nikmat umur, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran dan pelbagai lagi
bentuk nikmat, yang semua itu adalah merupakan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata.
Menyebut
lagi tentang wabak koronavirus, baru-baru ini dunia dikejutkan pula
oleh kemunculan varian baru (Omicron). Menurut sumber mutakhir, Omicron
setakat ini telah tersebar hampir ke seluruh dunia, yang menambahkan
lagi kebimbangan global. Namun kita selaku umat yang beriman, tetap
melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah jua.
Sebagai
usaha menghadapi wabak, Brunei telah melaksanakan program vaksinasi
kebangsaannya dengan lancar dan berjaya, sehingga mampu membawa Negara
ini memasuki fasa endemik.
Dengan
memasuki fasa ini, beberapa aktiviti yang dahulunya disekat sudah boleh
dibuat, tetapi masih saja dikehendaki untuk mengikut Prosedur Operasi
Standard (SOP). Beta juga ingin terus mengingatkan supaya kita semua
jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran, kerana sedikit sahaja
lupa, boleh mengundang padah.
Walaupun
kita sama-sama bergelut dengan wabak pandemik, namun pada tahun 2021,
Negara alhamdulillah, telah ditakdirkan berjaya mempengerusikan ASEAN.
Warga ASEAN dilihat gembira, kerana dapat meningkatkan usaha-usaha
pembangunan Komuniti ASEAN.
ASEAN
juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan
pembangunan-pembangunan mampan, di mana untuk itu ASEAN telahpun
menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Programme.
Berbalik
mengenai pencapaian negara, alhamdulillah Negara kita telah dinobat
mendapat kedudukan ke-21 daripada 214 buah negara dalam Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance indicators 2021 keluaran World Bank. Sudah setentunya pencapaian ini memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di Negara ini.
Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian. Di sini, program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.
Mengenai
pembelajaran ini, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama
Kementerian-Kementerian yang berkenaan, telahpun membuat perancangan
menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam fasa peralihan
atau fasa endemik. Beta berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik
sebagaimana yang dirancang.
Secara umumnya, di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas, agenda-agenda
pembangunan adalah berjalan dengan baik. Di bawah rancangan ini, banyak
projek telah dan sedang dalam perlaksanaan. Namun agak dikesali apabila
mengetahui, bahawa banyak bangunan kepunyaan Kerajaan yang terbiar dan
tidak digunakan lagi. Mengapa? Beta melihat, perkara ini perlu ditangani
secara holistik oleh pihak berkepentingan, supaya aset-aset berkenaan
dapat dimanfaatkan dan sekaligus untuk mengelak pembaziran. Disamping
itu, semua kementerian adalah digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities agar perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Negara 2035.
Kita
juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN). Dengan sistem
ini, permohonan bantuan kebajikan akan dapat dipercepatkan, serta
bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak
sahaja.
Akhirnya, Beta ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua
peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei,
Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain,
termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, para sukarelawan, para
barisan hadapan, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan
tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2021.
Beta
juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua
lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan
kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak mahupun dalam
mendokong agenda pembangunan negara.
Demikian
juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada
negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas
kerjasama dan bantuan yang dihulurkan, khusus ketika Negara mengalami
gelombang kedua pandemik.
Selamat
Tahun Baru Masihi 2022 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini,
termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.